saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 19/01/2008

Eusoff Chin diasak isu cuti bersama Lingam

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin mengakui beliau membenarkan peguam Datuk V.K. Lingam menyertai percutian keluarganya di New Zealand pada 1994.

Namun begitu, kata Mohd. Eusoff, penyertaan Lingam sekeluarga sepanjang percutian keluarganya di New Zealand berlaku secara kebetulan.

Beliau berkata, mereka menaiki pesawat yang sama dari Singapura ke Auckland, New Zealand selepas bertembung di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Katanya, semasa di Auckland, mereka sekali lagi bertembung selepas sarapan dan Lingam meminta menyertai lawatan keluarga bekas Ketua Hakim Negara itu ke sebuah zoo di situ.

Ketika itu, katanya, beliau bercuti bersama isteri, Toh Puan Rosaini Mustaffa serta dua anak mereka, Zubaidah dan Johan.

Eusoff berkata, ketika bertembung di Auckland dan Singapura, Lingam bersama isteri dan dua anak perempuannya.

“Saya bertembung dengannya (Lingam) di Singapura, di lapangan terbang. Saya tak ingat ke mana saya nak pergi, ke Auckland ataupun tempat lain,” katanya sebagai saksi ke-11 dalam prosiding Suruhanjaya Diraja Siasatan klip video yang masuk hari kelima hari ini.

Mohd. Eusoff, 73, memegang jawatan Ketua Hakim Negara dari September 1994 hingga 20 Disember 2000.

Isu percutian Mohd. Eusoff dan Lingam sekeluarga dibangkitkan oleh wakil Badan Peguam Malaysia, Ranjit Singh yang mahu membuktikan wujud hubungan rapat antara kedua-dua mereka.

Ranjit mengemukakan laporan akhbar The Sun bertarikh 7 Jun 2000 yang menyiarkan kenyataan Mohd. Eusoff yang menafikan dakwaan percutian keluarganya di luar negara dibayar oleh Lingam.

Ranjit turut mengemukakan pesanan faks jadual perjalanan mengandungi maklumat penerbangan yang disediakan oleh sebuah agensi pelancongan, Holiday Tours.

Faks tersebut dihantar oleh seorang yang bernama Woo dan ditujukan kepada Rohani/Jeyanthi.

Ketika dirujuk mengenai faks itu, Eusoff berkata, Rohani ialah setiausahanya ketika itu.

Mengenai nama Jeyanthi yang turut dinyatakan dalam kandungan faks itu, katanya, beliau tidak kenal siapa Jeyanthi dan tidak tahu bagaimana nama tersebut ditulis dalam pesanan itu.

Faks daripada Woo itu menyatakan nama Tan Sri Mohd. Eusoff Chin, Puan Sri Rosaini Mustaffa, Cik Zubaidah Mohd. Eusoff (7 tahun) dan Encik Johan Mohd. Eusoff (6 tahun).

Kandungan pesanan itu ialah:

Pengesahan tempahan tiket kelas pertama penerbangan MH611 Kuala Lumpur-Singapura, tiket kelas perniagaan penerbangan NZ28 Singapura-Auckland, 22 Disember 1994.

Pengesahan tempahan tiket kelas perniagaan penerbangan NZ1541 Auckland-Christchurch, 26 Disember 1994.

Pengesahan tempahan tiket kelas perniagaan bagi penerbangan NZ504 Christchurch-Auckland dan NZ73 Auckland-Singapura, 30 Disember 1994.

Pengesahan tempahan tiket kelas pertama penerbangan MH616 Singapura- Kuala Lumpur, 30 Disember 1994.

Menjawab soalan Ranjit tentang maklumat penerbangan itu, Mohd. Eusoff berkata, beliau tidak ingat mengenainya tetapi maklumat itu tercatat dalam jadual perjalanan itu.

Ranjit: “Adakah Tun menaiki pesawat yang sama dengan Lingam dari Singapura ke Auckland?”

Mohd. Eusoff: (Mengangguk).

Lalu Ranjit berkata: “Ya.’’ (menterjemah anggukan itu).

Ranjit: (merujuk penerbangan NZ1541) “Adakah Tun menaiki pesawat ini?”

Mohd. Eusoff: “Ya.”

Ranjit: “Adakah Tun terbang bersama-sama V.K. Lingam dan keluarganya?”

Mohd. Eusoff: “Ya.”

Ranjit: “Adakah Tun bercuti di Auckland bersama-sama Lingam dan keluarganya?”

Mohd. Eusoff: “Ceritanya begini...dia berada di sana dan mahu menyertai kami dan saya kata, baiklah (OK).”

Ranjit: “Adakah Tun menginap di hotel yang sama dengan Lingam?”

Mohd. Eusoff: “Hotel mana yang baik di Auckland? Saya tak ingat.”

Ranjit: “Adakah mereka menyertai semua program percutian sepanjang masa Tun berada di Auckland?’’

Mohd. Eusoff : “Ya.”

Ranjit: “Di mana zoo ini?’’

Mohd. Eusoff: “Saya tak ingat.’’

Menjawab pertanyaan sama ada beliau melanjutkan tempoh percutian di New Zealand, Mohd. Eusoff berkata, beliau tidak ingat.

“Ini (jadual perjalanan) adalah apa yang diberi. Apa yang sebenarnya berlaku, saya tidak tahu. Saya tak ingat sama ada jadual perjalanan ini adalah benar,” katanya.

Beliau berkata, mereka juga menaiki pesawat yang sama ke Singapura semasa pulang dari Auckland.

Mohd. Eusoff menegaskan, ketika terbang dengan pesawat MH611 dari Kuala Lumpur ke Singapura, beliau pasti Lingam dan keluarganya tidak ada bersama-sama.

“Saya ingat kerana kami membuat tempahan tiket,” ujarnya.

Mendengar jawapan itu, Ranjit berkata, sejak bertembung di Singapura, Lingam asyik mengekori Mohd. Eusoff di New Zealand malah tinggal di hotel sama.

Ranjit: “Adakah Tun menyatakan bahawa Lingam menyalin jadual perjalanan Tun dan mengekori awak untuk berada hampir dengan Tun?”

Mohd. Eusoff: “(Datuk) Edgar Joseph Jr. beritahu saya New Zealand sebuah tempat yang menarik dan saya patut melawatnya. Saya beritahu setiausaha saya untuk merancang percutian selama seminggu. Jika dia (Lingam) mahu ikut serta, saya tidak dapat menghalangnya.”

Mohd. Eusoff berkata, semasa di New Zealand, beliau sekeluarga melawat bandar Queenstown dan pergi ke sana menaiki van.

Katanya, Lingam sekeluarga menyertai lawatan itu dan menaiki van yang sama, malah dia berkongsi membayar separuh daripada kos lawatan itu.

Ranjit mempersoalkan bagaimana Mohd. Eusoff sebagai hakim boleh melayan kerenah Lingam sedangkan dia peguam yang pernah hadir di hadapan Mohd. Eusoff.

Jawapan Mohd. Eusoff ialah: “Van memuatkan sembilan orang termasuk pemandu dan kami berlapan cukup untuk sebuah van itu.”

Ranjit: “Bukankah orang yang kesembilan itu ialah Tan Chong Paw?”

Mohd. Eusoff: “Saya tak ingat.’’

Ranjit meminta Mohd. Eusoff menjelaskan bagaimana Lingam boleh membeli tiket dari Queenstown ke Christchurch untuk penerbangan yang sama dengannya.

Mohd. Eusoff: “Saya beritahu sudah sampai masanya saya pulang. Dia pergi ke lapangan terbang dan tempah tiket. Dia kata dia nak ikut. Saya tak boleh halang dia. Itu adalah wangnya. Macam awak juga.”

Ranjit: “Saya tak akan bercuti bersama-sama Eusoff Chin.”

Komen Ranjit membangkitkan ketegangan saksi menyebabkan Ahli Suruhanjaya, Datuk Mahadev Shankar menegur perbuatan Ranjit yang tidak patut membuat komen sebegitu, lalu peguam itu memohon maaf.

Menjawab soalan mengenai gambar-gambar yang dirakam semasa percutian itu, Mohd. Eusoff berkata, ke mana saja beliau pergi, beliau sentiasa didekati oleh rakyat Malaysia untuk bergambar bersama-sama termasuk dengan Lingam dan keluarganya yang mungkin lima hingga 10 keping.

Ranjit juga mengemukakan sekeping gambar sebagai bahan bukti tetapi sebelum sempat ia ditandakan, pegawai pengendali suruhanjaya, Datuk Nordin Hassan bangun mengemukakan bantahan.

Gambar yang dikemukakan itu menunjukkan Mohd. Eusoff dan isteri, Rosaini bergambar dengan Lingam dan seorang wanita yang dipercayai isterinya.

Pada ketika itu, peguam M. Puravelan bangun untuk memberi penjelasan mengenai terma rujukan berhubung salah laku hakim-hakim tetapi ditegur oleh Haidar.

Suasana dalam bilik inkuiri menjadi agak kecoh dengan suara-suara kedengaran dari galeri awam dan peguam pemerhati.

Ahli Suruhanjaya, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong kemudiannya memberikan cadangan supaya Mohd. Eusoff melantik peguam mewakilinya dalam prosiding itu.

Mohd. Eusoff: “Pada mulanya, saya meletak kepercayaan kepada kebijaksanaan Ahli Suruhanjaya untuk menentukan bukti yang boleh diterima atau sebaliknya.”

Haidar: “Terpulang kepada awak (untuk lantik peguam).”

Haidar: “Kalau Tun mahu lantik peguam, kami akan beri masa. Adalah lebih baik peguam berhujah bagi pihak Tun.”

Mohd. Eusoff: “Saya mahu melantik peguam. Beri saya masa untuk melantiknya.”

Berikutan itu, Haidar membenarkan Mohd. Eusoff menangguhkan keterangannya sehingga beliau melantik peguam.

Persidangan bersambung Isnin ini.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.