saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/01/2008

Jambatan kedua politik P. Pinang

PULAU PINANG sekali lagi menjadi tumpuan DAP pada pilihan raya umum kali ini. Di bawah pimpinan Karpal Singh sebagai Pengerusi dan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, DAP nampaknya belum berputus asa untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai barisan hadapannya selain tumpuan kepada negeri-negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seperti hasrat kerajaan mahu membina jambatan kedua Pulau Pinang selepas kejayaan jambatan pertama semasa era kepimpinan Ketua Menteri, Dr. Lim Chong Eu, parti politik seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas juga mahu membina ‘jambatan kedua’ politik di negeri itu.

Mungkin jambatan pertama mereka sebelum ini yang menggabungkan DAP, Pas, Semangat 46, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan IPF gagal direalisasikan melalui projek Tanjong tetapi kali ini impian itu mahu diteruskan melalui ‘jambatan kedua’ yang dinamakan kerjasama Pas-PKR dan PKR-DAP. Menyorot kembali kejayaan DAP melalui Tanjong I dan Tanjong II pada 1986 dan 1990, jelas memperlihatkan kehebatan DAP di negeri itu. tetapi dalam siri Tanjong III pada 1995, DAP mengalami kejutan.

Dan selepas itu, tidak ada lagi siri Tanjong yang mampu menggugat kerajaan negeri pimpinan Gerakan.

Sejak pilihan raya umum 1995, DAP kekal dengan satu kerusi DUN sehingga sekarang tetapi masih menunjukkan ‘taring’ bagi kerusi Parlimen. Sesuatu yang paling mengecewakan parti itu ialah apabila pemimpin utama mereka seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh kecundang pada 1999 sebelum kembali bangkit pada 2004.

Kit Siang kalah kepada calon Gerakan, Chia Kwang Chai (sekarang Setiausaha Agung Gerakan) di Bukit Bendera manakala Karpal tewas kepada seorang anak muda juga dari Gerakan, Lee Kah Choon di Parlimen Jelutong. Mereka juga kalah bagi kerusi DUN.

Akhirnya, pada 2004, Kit Siang berpindah ke Ipoh Timur dan Karpal ke Bukit Gelugor, jiran baru bagi Parlimen Jelutong.

Kini Guan Eng mengambil alih kepimpinan bapanya sebagai Setiausaha Agung. Dan sudah lama kedengaran bahawa bekas ahli Parlimen Kota Melaka itu akan berhijrah ke Pulau Pinang seperti yang pernah dilakukan oleh bapanya.

Kit Siang berhijrah dari Kota Melaka ke Pulau Pinang pada pilihan raya 1986 dengan mencatatkan kejayaan mengalahkan Dr. Koh Tsu Koon bagi kerusi Parlimen Tanjong dan memenangi kerusi DUN Kampung Kolam.

Pada 1990, beliau mempertahankan kerusi Tanjong dan di peringkat DUN menumbangkan Dr. Lim Chong Eu di Padang Kota, sekali gus memberi laluan kepada Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Sekali lagi pada 1995, Kit Siang menang di Tanjong tetapi cubaannya untuk mengulangi kejayaan menewaskan seorang lagi ketua menteri gagal. Kit Siang tewas kepada Tsu Koon di Tanjong Bunga.

Bagaimanapun, kegemilangan Kit Siang di Pulau Pinang berakhir pada 1999 apabila beliau tewas di Parlimen Bukit Bendera dan di DUN Kebun Bunga.

Nasib

Turut mengalami nasib yang sama ialah Karpal. Ternyata kekuatan DAP bersama Parti Keadilan Nasional dan Pas ketika itu gagal membantu. Ini berbeza dengan kerjasama pembangkang pada 1986 dan 1990.

Setelah Pas memutuskan untuk tidak bekerjasama secara langsung dengan DAP pada pilihan raya umum lalu, DAP kini mengharapkan sokongan PKR untuk bangkit semula di Pulau Pinang.

‘‘Kami perlu bersikap realistik. Sasaran kami pada pilihan raya kali ini iaitu untuk menafikan Barisan Nasional sekurang-kurangnya 14 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang,’’ kata Guan Eng yang jelas mahu mengulangi kejayaan yang dirintis bapanya pada tahun 1990.

Namun hakikatnya, untuk memerintah Pulau Pinang masih jauh kerana DAP tidak mampu bersendirian. Parti itu hanya berupaya menghadapi calon-calon BN yang diwakili Gerakan, MCA atau MIC. Sedangkan di kawasan lain, melibatkan UMNO yang tidak mampu ditandingi DAP.

Justeru DAP mengharapkan PKR menunjukkan prestasi yang baik di kawasan-kawasan yang ditandingi UMNO. Begitu juga dengan Pas yang diharap dapat membantu DAP mengurangkan ‘cengkaman’ BN di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Tetapi apa yang lebih menarik di Pulau Pinang kali ini apabila Tsu Koon dijangka beralih ke pusat walaupun semasa era Chong Eu, Presiden Gerakan terus kekal di Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada Dr. Lim Keng Yaik sebagai presiden.

Tsu Koon dijangka kembali ke pusat sesuai dengan kedudukannya – Pemangku Presiden Gerakan. Kedudukan Tsu Koon menarik perhatian pemerhati politik mengenai siapakah yang bakal menggantikan beliau. Pada masa yang sama timbul persoalan di manakah beliau akan bertanding? Adakah di kawasan lamanya di Tanjong yang masih kekal di tangan DAP?

Ketika ini Tsu Koon mewakili DUN Tanjong Bunga yang berada di bawah Parlimen Bukit Bendera dan diwakili Kwang Chai.

Jika Kwang Chai terpaksa memberi laluan kepada Tsu Koon, adakah Timbalan Menteri Penerangan itu pula akan ke DUN? Turut mendapat perhatian ialah Lee Kah Choon, yang pada pilihan raya umum 1999 berjaya mengalahkan Karpal. Beliau juga disebut-sebut antara pemimpin yang boleh dipertimbangkan ke DUN. Turut mendapat perhatian ialah Naib Presiden Gerakan, Dr. Teng Hock Nan yang pada 1999 berjaya mengalahkan Kit Siang di DUN Kebun Bunga.

Sama ada Tsu Koon ke pusat, Kwang Chai atau Kah Choon ke negeri, gabungan parti pembangkang tentu mengharapkan nasib mereka berubah pada kali ini.

Mampukah

Tetapi mampukah PKR dan Pas membantu DAP? Adakah PKR yang diterajui Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang memenangi kerusi tunggal PKR mampu mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh itu?

Apakah Dr. Wan Azizah akan mempertahankan kerusinya atau memberi laluan kepada orang lain? Jika Wan Azizah berundur, apakah calon BN mampu menandinginya? Apakah benar Permatang Pauh kekal kepada PKR hanya kerana Dr. Wan Azizah atau sokongan kuat para penyokong suaminya, Anwar Ibrahim yang juga bekas ahli parlimen kawasan itu?

Kekuatan pembangkang di Permatang Pauh tidak dinafikan apabila PKR dan Pas bergabung dengan baik untuk memenangi kawasan itu berbanding kawasan lain. Pembangkang hampir menguasai Permatang Pauh apabila menguasai dua dari tiga kerusi dalam kawasan itu - satu PKR dan satu Pas di samping Parlimen milik PKR. Tetapi itu berlaku pada 1999 dan sebaliknya pada 2004, PKR hampir kecundang. Adakah Permatang Pauh sahaja menjadi taruhan pakatan PKR-Pas? Bagaimana pula dengan kawasan lain? Apakah kekuatan pembangkang merangkumi seluruh negeri itu?

Isu sekarang ialah sama ada pembangkang benar-benar bersedia? Dengan nama Barisan Alternatif yang merupakan gabungan longgar DAP-PKR dan PKR-Pas, ia bukan mudah untuk mewujudkan satu barisan kerjasama yang baik seperti ditunjukkan oleh BN.

Memang benar kata bekas Presiden Gerakan, Dr. Lim Keng Yaik: ‘‘Mereka tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.’’

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Azhari Ibrahim pula berkata, UMNO tidak gentar dengan sebarang bentuk kerjasama yang diwujudkan oleh parti-parti pembangkang itu.

“Kami tidak peduli mengenai mereka. Kami akan tentang mereka pada pilihan raya umum akan datang,’’ katanya.

Asas perjuangan masing-masing amat berbeza atau dalam erti kata lain Pas tidak dapat menerima perjuangan DAP dan begitulah sebaliknya. Maka orang tengah yang menjadi jambatan perpaduan pembangkang ini ialah PKR, junior yang gagal menunjukkan keupayaan mereka dalam dua pilihan raya umum lalu. PKR lebih banyak menjadi ‘pelakon pembantu’ kepada aktor-aktor utama di dalam Pas dan DAP untuk memastikan jaguh-jaguh utama memenangi kerusi-kerusi Parlimen atau DUN.

Memang di atas kertas, pakatan parti pembangkang ini nampak cantik tetapi apabila melihat lebih jauh, banyak perkara yang tidak sehaluan. Meminjam kata-kata Nik Aziz Nik Mat – ‘bercelaru’.

Justeru bagaimana mereka mahu memerintah sekiranya menang? Apakah mereka mampu menjalin kerjasama seperti BN?

Tanpa jumlah kerusi yang meyakinkan, gabungan pembangkang tidak akan ke mana Pakatan pembangkang akan sentiasa ada masalah kerana ada isu-isu yang sukar diselesaikan antara tiga pihak itu.

Lebih menggusarkan apabila Pas kini tidak yakin dengan PKR dan sama sekali tidak mengharapkan DAP. Begitu juga sebaliknya, DAP tidak mengharapkan kerjasama Pas yang mahu menjadikan Islam agenda terpenting parti itu.

Memang PKR-DAP sudah mencapai persefahaman mengenai kerusi apabila DAP bersetuju bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN di Pulau Pinang. Baki 21 kerusi negeri dan enam kerusi Parlimen akan ditentukan oleh Pas dan PKR.

Apa pun pilihan raya umum kali ini pastinya menarik kerana sudah timbul ura-ura bahawa Guan Eng akan berhijrah ke Pulau Pinang. Sebagai Setiausaha Agung, tentunya beliau boleh memilih mana-mana kerusi yang difikirkan selamat. Mungkin Tanjong, Bukit Mertajam, Bagan atau Bukit Gelugor. Dan di kawasan kurang selamat – Bukit Bendera atau Batu Kawan.

Tetapi di Bukit Gelugor, Karpal Singh menyatakan kesediaannya untuk terus bertanding walaupun berkerusi roda sejak 2005 akibat kemalangan jalan raya. Baginya tidak timbul soal bersara dalam politik pada masa sekarang. Jika itu menjadi pegangan veteran politik DAP itu, di mana Guang Eng mahu membina ‘jambatan politiknya’ di Pulau Pinang?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.