saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/01/2008

Atur bekalan pengguna


KAMAL SALIH.


MUKADIMAH
KELMARIN kerajaan mengumumkan pewujudan Stok Penimbal Kebangsaan iaitu inisiatif baru untuk memperkukuh strategi bagi memastikan harga barangan keperluan terus stabil dan bekalannya sentiasa mencukupi.

Stok penimbal itu akan berfungsi menyimpan barangan komoditi tertentu yang boleh diagihkan untuk kegunaan rakyat sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan di pasaran.

Minyak masak dan gula dilihat antara barangan keperluan pengguna yang boleh dijadikan stok simpanan di bawah inisiatif tersebut.

Namun timbul tanda tanya mengenai mekanisme yang akan diguna pakai untuk memastikan pewujudan Stok Penimbal Kebangsaan di bawah Majlis Harga Negara (MHN) itu mencapai matlamatnya.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. NIZAM YATIM bersama jurugambar ASWAD YAHYA menemu bual Ketua Kumpulan Pakar MHN, datuk dr. kamal salih bagi menjelaskan fungsi Stok Penimbal Kebangsaan dalam menyelesaikan kemelut kekurangan bekalan barangan keperluan pada musim tertentu.

Penjelasan Kamal turut tertumpu kepada peranan dua lagi inisiatif iaitu Pusat Panggilan Kebangsaan dan Kumpulan Pakar - kedua-dua berfungsi menyalurkan aduan pengguna mengenai kekurangan bekalan dan juga kenaikan harga barangan.

Ketiga-tiga langkah itu, menurut Kamal juga membantu menstabilkan harga barangan keperluan.

Utusan Malaysia: Apakah tujuan penubuhan Majlis Harga Negara (MHN) dan peranan yang bakal dimainkan olehnya?

DR. KAMAL SALIH: Keputusan menubuhkan MHN ialah untuk menangani masalah kenaikan harga dan kesannya ke atas kos sara hidup. Ia juga bertanggungjawab menangani masalah orang tengah yang kini menguasai pengedaran barangan keperluan sehingga menyebabkan jurang harga barangan di kebun dan pasar raya begitu besar.

Adakah akan berlaku pertindihan tugas dengan Jawatankuasa Kabinet Bagi Barangan Kawalan yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Sebenarnya kerajaan menubuhkan MHN ini untuk memperluaskan terma rujukan dan bidang kuasa jawatankuasa Kabinet yang kini disatukan dalam majlis. Ini penting kerana isu kenaikan harga barangan telah menjadi terlalu kompleks.

Ada pihak yang cuba mengaitkan penubuhan MHN dengan pilihan raya yang semakin dekat?

Tidak betul. Tiada pilihan raya pun majlis ini pasti akan ditubuhkan kerana masalah kenaikan harga barangan ini menjadi semakin rumit dengan pelbagai isu yang wujud dari segi makro dan mikroekonomi.

Sebab utama majlis ini ditubuhkan?

Kita bukan tubuhkan MHN secara mendadak sebaliknya disebabkan kajian yang telah lama dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Direktorat Pelaksanaan Kebangsaan (NID) yang kini dirangkum dalam Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai kesan kenaikan harga minyak yang telah melampaui AS$100 setong ke atas ekonomi, belanjawan negara dan kos sara hidup. Kita dapati impaknya adalah besar dan menyeluruh. Jika ia semakin meningkat maka kerajaan mungkin tidak dapat hendak menampung subsidi ini.

Kenapa tidak diteruskan langkah memberikan subsidi seperti yang dibuat sekarang?

Subsidi kini berjumlah RM40 bilion iaitu 40 peratus daripada bajet kerajaan. Sedangkan kalau subsidi dikurangkan mungkin kita dapat belanja dalam bidang-bidang lain. Misalnya, subsidi untuk petrol, boleh kita salurkan untuk membangun jalan raya dan menambah baik pengangkutan awam.

Adakah ini bermakna kerajaan berhasrat mengurangkan atau menghapuskan terus subsidi?

Kita kena kaji implikasinya, mengenai siapa akan terjejas. Kalau kita tarik subsidi baja, pesawah dan penanam kelapa sawit kena bayar tinggi harga baja, ini akan menjejaskan keuntungan mereka dan meningkat harga bahan ini. Jadi kita perlu terus subsidi, tetapi secara perlahan-lahan apabila produktiviti mereka naik baru ia ditarik.

Kajian seperti ini perlu dibuat di setiap industri kerana masing-masing berbeza. Kalau hendak dilaksanakan pengurangan subsidi ia perlu dibuat secara teratur dan terancang supaya akhirnya belanjawan kerajaan dapat dikawal atau dikurangkan langsung, keduanya, kesan ke atas pengguna itu tidak mendadak dan dibuat secara teratur dan ketiga, pihak industri akan dapat diberi masa yang sesuai untuk sesuaikan dasar pengeluaran mereka. Penelitian juga perlu dibuat terhadap harga barangan keperluan kerana ia juga adalah satu bentuk subsidi.

Apakah sebab lain penubuhan MHN?

Kita dapati sejak akhir-akhir ini wujud masalah kekurangan bahan keperluan pengguna secara berulang seperti ayam dan tepung khususnya pada musim perayaan. Ini telah menyebabkan rakyat merungut. Perkara ini berpunca kerana terdapat perbuatan monopoli, penyeludupan dan menyorok barangan. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Jadi kita berpendapat ini perlu ditangani secara menyeluruh dan komprehensif dengan penubuhan majlis ini.

Adakah tumpuan MHN hanya melibatkan barangan keperluan pengguna sahaja?

Ia melibat semua barangan yang perlu untuk rakyat, bukan sahaja makanan malah yang diperlukan industri seperti keluli. Sebab itu hampir kesemua kementerian mempunyai wakil dalam MHN kerana barangan berkenaan banyak jenis.

Apakah jaminan penubuhan majlis akan memastikan harga barangan di negara ini terus stabil?

Ini adalah pertama kali kita menubuhkan majlis seperti ini dalam sejarah negara kita. Tetapi berdasarkan pengalaman negara lain ia sebenarnya amat berkesan.

Penubuhan majlis seperti ini telah dibuat oleh Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom ketika krisis kenaikan harga minyak dunia pada 1974 dan 1979 apabila bahan itu meningkat daripada AS$2.50 setong kepada AS$30 setong. India juga melaksanakan langkah sama sejak 1950-an khususnya bagi mengawal harga barangan pertanian.

Bagaimanakah caranya Stok Penimbal Kebangsaan (SPK) berfungsi?

Apabila berlaku kekurangan barangan maka stok ini akan dikeluarkan. Gudang yang akan kita guna akan disewa daripada sektor swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC) dan sekiranya ada keperluan kita akan bina gudang baru. Semua urusan stok penimbal ini akan diuruskan oleh Badan Stok Penimbal Negara (BSPN) dan bukannya syarikat swasta. Kita juga akan mendapat bantuan daripada (GLC) dan perbadanan kerajaan.

Kita juga akan mewujudkan sistem pengurusan jual beli yang tersusun iaitu pembelian awal mengikut musim dan berapa bulan yang perlu disimpan dan juga memastikan barangan mudah rosak dapat dijual dengan segera. Kita perlu memastikan stok yang disimpan tidak menyebabkan kerajaan rugi.

Apakah barangan yang akan disimpan sebagai stok penimbal?

Ia melibatkan semua jenis barangan yang sering berlaku kekurangan di pasaran termasuk minyak mentah. Petronas menyatakan kita mungkin terpaksa mengimport sepenuhnya minyak mentah menjelang 2011.

Jadi kita akan jadikan minyak mentah sebagai stok penimbal strategik seperti yang dilakukan oleh AS, Jepun dan Korea Selatan. Ini termasuk juga arang batu yang kini sebanyak 25 bilion tan yang kita import untuk menjana elektrik.

Adakah kaedah lain mewujudkan stok penimbal selain menyimpan di gudang?

Kita mungkin mencontohi China yang kini membeli lombong arang batu di Indonesia dan Sudan bagi memastikan bekalan berterusan. Langkah menguasai aset di luar negara adalah satu kaedah melakukan stok penimbal. Ini boleh dilakukan oleh kerajaan melalui GLC dan perbadanan. Langkah lain ialah kerajaan membuat kontrak jangka panjang dengan pihak pengeluar untuk membeli barangan tetapi bahan itu tidak dihantar kecuali apabila diperlukan.

Bagaimana pula langkah mengimport bekalan apabila berlaku kekurangan di pasaran tempatan seperti dilakukan sekarang?

Langkah ini akan diteruskan. Kaedah permit import (AP) boleh digunakan oleh MHN sekiranya barangan tidak cukup. Kalau gula tidak ada kita boleh lulus permit import gula supaya harga barangan itu tidak melambung.

Apakah kaedah lain yang akan digunakan bagi mendapatkan maklum balas daripada orang ramai selain mewujudkan Pusat Panggilan Kebangsaan?

Kita akan mengadakan seminar yang akan dihadiri pelbagai pihak bagi mendapatkan idea tentang mekanisme paling elok dan dasar terbaik yang boleh diperkenalkan. Maklum balas pengguna juga akan diperoleh menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan yang mewakili kakitangan kerajaan, pekerja swasta dan pengguna.

Penubuhan MHN akan menyebabkan peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak lagi diperlukan?

Ini tidak benar kerana penubuhan MHN bukan mengganti KPDNHEP sebaliknya membantu kementerian kerana ia tidak boleh bersendirian menangani isu yang besar ini. Kenaikan harga juga melibatkan pengeluar dan industri dan harga barangan dunia serta import dan eksport yang bukan di bawah bidang kuasa kementerian itu.

Penubuhan majlis ini ialah supaya wujud kerjasama dan koordinasi antara agensi kerajaan dan kementerian-kementerian. Fungsi KPDNHEP akan terus kekal malah kita akan mencadangkan bilangan pegawai penguat kuasanya ditambah bagi menangani penyeludupan dan perbuatan menyorok barangan.

Adakah penubuhan MHN bermakna inflasi kita dapat dikurangkan ke tahap sifar?

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini ialah 2.4 peratus. Maknanya kita dapat bertahan dan tidak naik mendadak seperti di negara-negara lain. Inflasi akan terus berlaku kerana ia bergerak selari dengan pertumbuhan negara yang pesat.

Ekonomi terlalu pesat bermakna akan terdapat banyak permintaan berbanding pengeluaran. Tetapi kita perlu mengawal IHP supaya ia tidak terlalu tinggi sehingga mencecah lima atau tujuh peratus.

Bagaimanakah keadaan inflasi di Malaysia sekarang?

Orang kata IHP negara kita yang rendah tidak mencermin keadaan harga pasaran sebenar kerana sebahagian besar barangan yang meliputi 30 peratus indeks adalah barangan kawalan. IHP juga rendah kerana subsidi yang diberikan terhadap minyak sehingga membolehkan kos pengangkutan dan tol tidak meningkat.

Bagi saya, ini adalah bagus kerana ia bermakna kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan subsidi supaya harga terkawal.

Tetapi subsidi perlu dikurangkan sekiranya ia mengganggu peranan proses pasaran, menyebabkan pembaziran dan menjadikan sektor tertentu tidak efisien. Kita juga akui, harga barangan tidak dikawal naik lebih tinggi, contohnya ikan tenggiri.

Ini bermaksud inflasi akan berlaku sekiranya negara terus membangun?

Ya. Inflasi mempunyai kebaikan. Kenaikan harga barangan merupakan satu insentif kepada pekilang untuk mengeluarkan produk dengan lebih banyak. Ini merupakan perkara yang lumrah bagi sistem pasaran.

Adakah undang-undang sedia ada perlu diperketatkan bagi mengawal perbuatan monopoli dan menyorok barangan?

KPDNHEP telah membuat satu cadangan untuk mewujudkan rang undang-undang baru yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang iaitu Rang Undang-Undang Dasar Persaingan. Ia sama seperti yang dilaksanakan di negara maju yang merangkumi isu monopoli oleh sektor industri dan cukai bahan import. Kita harap ini dapat mengawal perbuatan tidak beretika ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.