saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 28/01/2008

Kreativiti, kualiti tarik minat membaca

SERINGKALI kita membaca perihal budaya membaca di Malaysia yang masih belum berkembang baik. Namun begitu penulis sedikit sangsi dengan kajian Perpustakaan Negara yang menyebut rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Tetapi, mungkin juga itu hakikatnya.

Jadi, di mana silapnya? Ramai yang beranggapan bahawa keluargalah yang memainkan peranan utama. Dan pada penulis, sangkaan ini ada benarnya.

Penguasaan ilmu di dalam semua bidang tidak boleh bermula daripada sekolah, atau pada peringkat universiti. Ia perlu dimulai dari rumah. Maka disebabkan itulah, peranan ibu bapa amat penting. Walaupun kebanyakan alasan yang diberi untuk tidak bekerjasama ialah kerana kesempitan waktu. Apatah lagi bagi ibu bapa yang bekerja.

Sepertimana yang disebut oleh Prof. Dr. Hasan Langgulung di dalam bukunya Pengenalan Tamadun Islam dalam Pendidikan, bahawa kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah yang baik. Unsur-unsur luar sama ada yang baik atau buruk boleh mempengaruhi fitrah kanak-kanak.

Sudah tentu ibu bapa merupakan unsur-unsur luar yang paling rapat dengan kanak-kanak. Segala perlakuan si ibu dan bapa, sudah tentu sedikit sebanyak mempengaruhi kelakuan si anak. Namun begitu, unsur dalaman yang tercipta seiring dengan fitrah mereka sebagai manusia tidak boleh dipandang dengan sebelah mata.

Kualiti

Setiap kanak-kanak yang dilahirkan mempunyai kualiti dan sifat-sifat tersendiri. Biarpun begitu, ibu bapa masih boleh mempengaruhi kualiti dan sifat-sifat anak-anaknya ke arah input yang diingini mereka.

Sekiranya ibu bapa menginginkan anak-anak mereka menjadi seorang pelukis, tentunya sifat-sifat pelukis akan digarap. Begitu juga sekiranya mereka menginginkan anak-anaknya menjadi seorang pemuzik, sudah tentu anak-anak itu akan sentiasa dihiburkan dengan muzik, malah menghantar mereka ke kelas-kelas muzik.

Cuma, terlalu sedikit pula ibu bapa mengintegrasikan minat anak-anak mereka itu dengan budaya membaca. Seolah-olah bidang lukisan dan muzik, misalnya, tidak ada kaitan secara langsung dengan budaya membaca.

Seharusnya setiap bidang yang bakal diceburi oleh kanak-kanak perlulah diintegrasikan dengan ilmu. Ilmu pula boleh didapati daripada pelbagai sumber, dan sudah tentu salah satu sumber yang paling murah dan mudah ialah menerusi pembacaan.

Misalnya, untuk mempelajari muzik, sebagai contoh piano, antara sumber ilmu ialah daripada guru piano itu sendiri. Namun begitu, untuk menjadi seorang pemuzik yang profesional, bukanlah sekadar kemahiran bermain piano itu patut menjadi tanda arasnya. Malah, seseorang pemuzik perlu mendalami ilmu piano itu dari pelbagai perspektif, termasuklah sejarah, falsafah, matematik dan sebagainya.

Buku mampu menyediakan ilmu-ilmu ini. Guru dan ibu bapa perlulah membantu perkembangan minat kanak-kanak menerusi kemahiran dan pembacaan. Buku dan majalah berkaitan yang berkualiti perlulah sentiasa disediakan.

Kecenderungan

Buku dan majalah perlu dipilih, bersesuaian dengan bidang dan minat anak-anak. Ibu bapa perlulah mampu mengenal pasti kecenderungan anak-

anak mereka. Ini penting sebagai salah satu langkah proaktif untuk memastikan matlamat negara tercapai untuk menghasilkan lebih ramai cerdik pandai di dalam semua bidang.

Kerana itulah Malaysia perlu mempunyai buku-buku dan majalah-majalah yang benar-benar berkualiti. Kualiti yang perlu dilihat bukan sekadar pada bentuk atau kulit buku. Malah yang terpenting ialah isinya. Maka, seharusnya peranan penulis dan penerbit perlu dipertingkatkan lagi.

Ibu bapa juga perlu dididik menerusi pelbagai punca sumber untuk menggalakkan pembacaan di kalangan anak-anak mereka. Misalnya pemilihan buku atau majalah, kaedah pembacaan dan pengurusan masa.

Manakala penulis dan penerbit perlu lebih kreatif. Pemilihan kertas, kualiti tulisan dan lukisan, malah jika perlu ‘permainan’ menerusi tulisan antara idea-idea yang boleh diaplikasikan.

Malah media juga boleh memainkan peranan yang penting sepertimana yang pernah dilakukan oleh salah sebuah stesen televisyen di United Kingdom yang mengasimilasikan buku ke dalam programnya.

Misalnya, seorang pengacara rancangan kanak-kanak membaca buku dengan tumpuan kamera kepada lukisan yang juga dari buku yang sama.

Sekiranya semua pihak bekerjasama - ibu bapa, guru, media, penulis dan penerbit memainkan peranan masing-masing, maka sudah tentu tiada lagi sebab bagi kanak-kanak untuk tidak membaca.

- PENULIS ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.