KESIHATAN
ARKIB : 10/02/2008
Kanta lekap: Penggunaan dan kesan
PEMERIKSAAN mata secara menyeluruh sepatutnya dilakukan mengetahui kesesuaian seseorang untuk menggunakan kanta lekap.
Ini kerana kanta lekap akan memberi kesan secara langsung terhadap metabolisme dan fisiologi kornea mata. Jika anda ingin memahami fungsi kanta lekap, anda perlu menjalani pemeriksaan mata yang teliti dan mendapatkan preskripsi pakar mata sebelum menggunakan kanta lekap. Ini bagi mengelakkan berlakunya komplikasi yang tidak diingini pada mata anda kelak.
Semasa awal pengenalannya di negara ini sekitar awal 1980-an, kanta lekap diberikan secara preskripsi kepada mereka yang benar-
benar layak menggunakannya sahaja. Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan dengan menganalisis kesemua kemungkinan kesan penggunaan kanta lekap pada mata.
Kemudiannya sesi penerangan dibuat dengan bakal pengguna kanta lekap agar pengguna tidak terdedah kepada sebarang komplikasi buruk.
Cara ini semakin hilang kini dengan kesedaran pengguna tentang kaedah pemakaian dan penjagaan kanta lekap semakin berkurangan.
Ini mungkin disebabkan oleh sikap tidak serius sesetengah kedai optikal semasa memberi preskripsi atau sikap pengguna sendiri yang tidak mengambil berat. Ramai pengguna kini tidak pernah bertanyakan apa komplikasi yang mungkin timbul daripada pengunaan kanta lekap.
Ramai yang menganggap bahawa kanta lekap berfungsi dengan cara yang sama dengan cermin mata. Kerana itu, pengguna tidak berfikir untuk mendapatkan khidmat nasihat yang betul sebelum membuat keputusan untuk memakai kanta lekap.
Keadaan ini bertambah teruk dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah kedai optikal yang tidak membuat pemeriksaan teliti terlebih dahulu kepada bakal pengguna.
Perkembangan dalam kualiti kanta lekap kini telah menghasilkan produk yang lebih bermutu dan selamat pada mata. Kini secara kasarnya kanta lekap terdiri daripada tiga jenis mengikut pengelasan bahan yang digunakan untuk menghasilkannya, iaitu;
1. Kanta Keras – Dibuat daripada bahan Asid Polymethyl Metacrylate (PMMA)
2. Kanta Separa Keras – dihasilkan daripada bahan PMMA dan CAB
3. Kanta Lembut – dihasilkan daripada bahan Poly Hema
Cara pemakaian kanta lekap pula terdiri daripada dua jenis iaitu:
1. Penggunaan Harian – 8 jam sehari
2. Penggunaan Berpanjangan – 8 hingga 14 jam
* Sebaik-baiknya jangan tidur dengan memakai kanta lekap.
Kini, terdapat juga kanta lekap jenis pakai buang (Disposable). Penghasilan kanta lekap jenis ini adalah bagi menjaga tahap kesihatan mata dan mutu kebersihan dengan menggunakan bahan yang cukup telap (mudah ditembusi) oksigen.
Ketelapan bahan terhadap oksigen penting untuk proses pernafasan sel kornea pemakai kanta lekap. Ini kerana bahagian kornea mata adalah satu-satunya struktur dalam tubuh manusia yang tidak mempunyai salur darah. Jangka masa pemakaian kanta lekap juga menjadi faktor yang amat penting untuk mengelak komplikasi sampingan kepada mata.
Ini disebabkan bahan kanta lekap yang amat telap pada oksigen tetap akan mengurangkan jumlah bekalan oksigen pada bahagian kornea. Bahan kanta lekap pakai buang juga selalunya akan mula mengurai selepas sebulan digunakan. Pengguna akan terdedah pada risiko kecederaan mata jika terus menggunakannya selepas tamat tempoh tersebut.
Kriteria memakai kanta lekap
Antara kriteria penting untuk memakai kanta lekap adalah mempunyai kandungan air mata yang cukup, integriti kornea yang baik, tiada alahan (alergi) dan tiada penyakit pada bahagian dalaman mata. Kesemua kriteria ini hanya boleh dipastikan sekiranya pemeriksaan mata dengan menggunakan peralatan bersesuaian oleh pakar mata dijalankan sebelum pengguna menggunakan kanta lekap.
Mengikut kajian sekumpulan pelajar Optometri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sekitar Kuala Lumpur, 70 peratus daripada pengguna kanta lekap adalah golongan wanita yang berumur 21 tahun ke atas.
Antara sebab-sebab mereka memilih kanta lekap;
* 35 peratus menyatakan untuk kelihatan lebih menarik atau tujuan kosmetik.
* 34.4 peratus menyatakan untuk membetulkan masalah rabun.
* 29.7 peratus menyatakan untuk tujuan rekreasi dan sukan.
Di Malaysia, trend membeli kanta lekap di kedai optikal tanpa preskripsi daripada pakar mata semakin ketara. Kebanyakan pengguna, terutamanya yang memakai kanta lekap berwarna untuk tujuan kosmetik, tidak mengambil peduli risiko yang bakal dihadapi.
Mereka tidak membuat pemeriksaan mata dengan teliti atau mendapatkan khidmat nasihat tentang penjagaan kanta lekap dengan sempurna. Pembelian kanta lekap bagaikan membeli lampin pakai buang sahaja. Trend ini boleh membahayakan pengguna memandangkan setengah komplikasi akan menyebabkan kerosakan kekal terhadap tisu kornea.
Pengurangan kadar resapan oksigen dalam jangka waktu yang panjang akan menyebabkan berlakunya edema pada kornea. Kekerapan berlaku edema pada kornea dan dalam tempoh waktu yang panjang mungkin akan menyebabkan sel-sel kornea pecah dan mengakibatkan terjadinya ulser.
Lebih kurang 80 hingga 90 peratus ulser kornea yang direkodkan di hospital bandar-bandar utama Malaysia dilaporkan mempunyai hubung kait dengan kesan pemakaian kanta lekap. Ulser kornea yang amat teruk juga mungkin boleh menyebabkan pengguna kanta lekap menjadi buta.
Masalah selalu dihadapi pengguna
Kira-kira 37 peratus pengguna kanta lekap menghadapi masalah mata terasa kering, 23 peratus dengan masalah mata menjadi merah dan 19 peratus lagi tidak selesa dengan penggunaannya. Selain itu, sesetengah pengguna turut menghadapi masalah jangkitan kuman dan fungus serta masalah ulser kornea.
Sekiranya anda pengguna kanta lekap dan mempunyai masalah tertentu, berhubunglah dengan pakar mata (Optometris) anda untuk mendapatkan nasihat. Kanta lekap adalah sejenis produk bersih yang memerlukan penjagaan yang rapi serta pengguna yang menjaga kebersihan.
Sekiranya anda ingin atau bakal menggunakan kanta lekap, lakukan pemeriksaan mata terlebih dahulu dan dapatkan nasihat daripada pakar mata yang berkelayakan sebelum anda menggunakannya. Cuba patuhi setiap temu janji yang ditetapkan kerana ia bukan sahaja untuk memastikan kanta lekap berfungsi dengan baik malahan untuk menjamin kesihatan dan keselamatan mata anda.
- Pembaca ruangan ini ditawarkan pakej istimewa daripada Clear Optical dengan membawa keratan berlogo artikel ini ke mana-mana cawangan Clear Optical Sdn. Bhd. sehingga 30 Jun 2008.
Pelajar akan diberikan bingkai cermin mata secara percuma (selagi stok masih ada) sementara potongan diskaun diberikan untuk pakej keluarga.
Untuk maklumat lanjut sila e-mel ke [email protected] atau hubungi Clear Optical di talian 03-42705543 atau 03-42784525.
Artikel ini dibawa oleh Clear Optical dan akan diterbitkan setiap dua minggu sekali.
Sopak sejenis penyakit kulit
Lambatkan penuaan
Sakit permulaan haid
Vitamin C, kolagen untuk kulit
Rawat sebelum terlambat
Jangan abai tanda awal diabetes
Elak penyakit akibat jerebu
Elak payudara membengkak
Peria bersihkan darah
Implan dwi-stent untuk jantung
Hidup selesa tanpa GERD
Teknik baharupembedahan saraf
Flos gigi, kumur mulut anda
Risiko Obesiti semasa hamil
Kulit baru harapan baru
Botak di usia muda
Fibroid semasa hamil
Risiko kanta lekap
Keputihan tidak halang keintiman
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||












