saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/02/2008

Yusof Haslam 23 tahun terbitkan drama kepolisan

NAMA penerbit, pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Yusof Haslam memang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada para peminat drama dan perfileman tempatan.

Beliau mula mencipta nama sebagai pelakon dan penerbit drama-drama bersiri televisyen (TV) sebelum bergelar pengarah filem.

Bagaimanapun, Yusof paling sinonim dengan penerbitan, pengarahan dan lakonannya menerusi drama-drama TV bersiri berkonsepkan kepolisan yang telah disiarkan menerusi saluran RTM sejak 23 tahun lalu.

Menurut Yusof, sejak 1985 syarikatnya, Skop Productions telah menerbitkan tidak kurang 600 episod drama bersiri kepolisan yang ditayangkan menerusi RTM.

“Saya mula-mula menerbitkan drama bersiri TV berbentuk kepolisan pada 1986 berjudul Remang-Remang Kotaraya. Sejak saat itu, saya tidak pernah berhenti menerbitkan drama-drama bersiri TV kisah kehidupan polis sehinggalah kini.

“Antaranya berjudul Debu-Debu Kota, Roda-Roda KL, Di Sebalik Ombak, Skuad Khas dan Gerak Khas,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi meraikan kejayaan penerbitan drama-drama bersiri kepolisan terbitan Skop Production, beliau merancang mengadakan sambutan ulang tahun Gerak Khas tidak lama lagi.

Sambutan

Jelasnya, beliau merancang mahu mengadakan sambutan itu termasuklah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang banyak membantu penerbitan drama-drama bersiri TV berbentuk kepolisan yang diterbitkannya selama ini.

“Idea itu memang sudah ada dalam kotak fikiran saya sejak dari dulu lagi. Ini kerana, setakat ini saya belum pernah membuat sambutan bagi meraikan kejayaan penerbitan drama-drama TV bersiri kepolisan yang telah saya terbitkan.

“Saya merupakan penerbit yang banyak menerbitkan drama-drama bersiri kepolisan di negara ini. Dalam hal ini, saya amat berterima kasih kepada RTM dan PDRM kerana kerjasama yang telah mereka berikan,” ujarnya.

Ekoran kerjasama erat itu, Yusof seakan-akan sukar untuk melupakan jasa terutamanya RTM yang telah banyak memberi ruang kepada tayangan drama-drama bersiri kepolisan terbitan Skop Production.

Justeru, kata bapa kepada lima anak dan tiga cucu ini, sejak menerbitkan drama-drama bersiri kepolisan, dia tidak pernah menjual produk tersebut kepada stesen-stesen TV lain.

“Sewaktu RTM membuka ruang dengan membeli drama-drama swasta, saya merupakan antara penerbit pertama yang mendapat peluang itu. Saya merupakan penerbit tempatan pertama yang menerbitkan drama-drama bersiri kepolisan.

“Saya bangga apabila drama bersiri kepolisan saya merupakan yang pertama ditayangkan menerusi kaca TV di negara ini,” katanya yang mula menceburi bidang lakonan sejak tahun 1970-an.

Menceritakan tentang minatnya yang mendalam terhadap drama-drama kepolisan, Yusof berkata, semuanya bermula selepas dia berlakon dalam filem Bukit Kepong pada tahun 1981 bersama Jins Shamsudin.

Selepas berlakon dalam filem itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini, mula cuba menerbitkan drama-drama bersiri kepolisan dengan bantuan kawan-kawannya yang terdiri daripada para pegawai kanan PDRM.

“Antara pegawai polis yang banyak membantu saya memulakan penerbitan drama-drama bersiri kepolisan ialah Datuk Latifi Ahmad yang ketika itu merupakan Penasihat Teknikal dalam penggambaran filem Bukit Kepong.

“Dia (Latifi Ahmad) banyak membantu saya memberi idea dan tunjuk ajar bagaimana untuk menerbitkan drama-drama kepolisan,” ujarnya yang sebelum itu pernah cuba menyertai pasukan polis tetapi gagal ketika pemilihan.

Minat

Kata penerbit, pengarah dan pelakon berusia 53 tahun ini, dia memang berminat menyertai pasukan PDRM dan pernah menghadiri sesi temu duga pada tahun 1972.

“Saya memang bercita-cita mahu menjadi Inspektor polis tetapi permohonan saya itu gagal. Sekarang ini, walaupun tidak berpeluang menjadi anggota polis yang sebenar tetapi saya tetap seronok kerana dapat melakonkan watak sebagai anggota polis,” katanya yang melakonkan watak ASP Helmi dalam drama bersiri Gerak Khas.

Selepas enam tahun menerbitkan drama-drama bersiri kepolisan, barulah beliau memberanikan diri menerbitkan filem pertamanya berjudul Bayangan Maut pada 1990.

Selain menerbitkan drama-drama bersiri kepolisan, Yuosf juga menerbitkan filem berkonsepkan kepolisan antaranya berjudul Gerak Khas The Movie yang mencatat kutipan tiket berjumlah RM4 juta.

Tambah Yusof, drama-drama bersiri berbentuk kepolisan bukan sahaja lebih sinonim dengan dirinya tetapi ia juga banyak membantu menaikkan nama serta menjana pendapatan syarikat miliknya, Skop Productions Sdn. Bhd.

Ini kerana katanya, Skop Productions ketika ditubuhkan pada 1984 hanya mempunyai dua orang kakitangan sahaja.

“Tetapi kini syarikat saya bukan sahaja semakin berkembang tetapi juga mempunyai seramai 60 orang kakitangan termasuk pekerja tetap dan secara kontrak,” katanya lagi.

Terbaru, Skop Productions akan menayangkan filem terbaru terbitannya berjudul Evolusi KL Drift arahan anaknya, Shamsul Yusof yang dijangka akan ditayangkan di pawagam pada 3 April ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.