saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 16/02/2008

Keindahan seni bina rumah warisan Penghulu Abu Seman


WARISAN...Keindahan seni bina Rumah Penghulu Abu Seman berjaya dikembalikan selepas dibaik pulih oleh Badan Warisan Malaysia.


KUALA LUMPUR 15 Feb. - Peredaran masa dan kesibukan dengan tugas harian menyebabkan ramai di kalangan kita hampir lupa kepada sejarah dan warisan bangsa.

Hakikatnya, tanpa sejarah dan warisan orang terdahulu, kita tidak boleh mendabik dada dengan segala kejayaan yang dikecapi pada hari ini.

Justeru itu, inisiatif Badan Warisan Malaysia (BWM) untuk mengekalkan bangunan dan rumah-rumah lama yang memaparkan seni warisan bangsa seharusnya diberi pujian.

Malah, BWM sanggup turun padang ke lokasi di seluruh negara untuk melihat sendiri warisan-warisan yang telah ditinggalkan untuk dibaik pulih.

Salah sebuah rumah yang telah dipulihara ialah Rumah Penghulu Abu Seman yang kini terletak di No. 2, Jalan Stonor di sini.

Menurut Pegawai Projek BWM, Intan Syaheeda Abu Bakar, Rumah Penghulu Abu Seman itu termasuk dalam Projek Pemuliharaan dan Pemindahan yang dijalankan oleh BWM pada tahun 1996.

Ujarnya, projek pemuliharaan rumah berkenaan adalah antara usaha BWM mempromosikan pemuliharaan warisan seni bina Malaysia.

Selain itu, ia juga menunjukkan komitmen BWM terhadap usaha pemuliharaan dan pengekalan warisan Melayu.

Rumah yang berkonsepkan gabungan seni bina masyarakat dari Kedah, Perak, Thailand dan China itu menyimpan pelbagai sejarah dalam pembinaannya.

Siapa sangka, hasil usaha BWM itu, rumah yang asalnya didirikan di Kampung Sungai Kechil, Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu, Kedah lebih 90 tahun lalu kini berdiri megah di kelilingi bangunan pencakar langit di ibu kota.

Menurut Intan Syaheeda, pembinaan semula rumah tersebut mengambil masa selama tujuh hari setelah dipindahkan dari lokasi asalnya.

"Ketika mula-mula ditemui, keadaan rumah tersebut banyak yang reput berikutan terlalu lama ditinggalkan serta rosak dimakan anai-anai dan kulat.

"Bagaimanapun, sebahagian ukiran kayu pada dinding, alang dan tingkap masih kukuh, sekali gus menunjukkan kualiti dan keutuhan senibina dan budaya Melayu satu masa dulu,'' katanya.

Ujar Intan Syaheeda berkata, proses baik pulih rumah tersebut melibatkan banyak pihak khususnya dalam memastikan struktur rumah itu dibina semula dengan tepat.

Beliau berkata, lakaran dan dokumentasi dibuat oleh Syed Iskandar Syed Arifin dari Universiti Teknologi Malaysia, Hong Lay Thong dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yahaya Ahmad dari Universiti Malaya.

Katanya, pembinaan semula rumah itu secara rasmi disempurnakan oleh Presiden Badan Warisan Malaysia, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid pada 13 Mei 1996.

"Pada 8 Ogos 1996, tiang serinya dinaikkan dan dimulakan pembinaannya di sini.

"Proses pemindahan dan membaik pulih rumah ini menelan kos kira-kira RM500,000 yang merangkumi dokumentasi, kajian, pembelian dan pemindahannya ke Kuala Lumpur," jelasnya.

Rumah Penghulu Abu Seman adalah satu contoh seni bina Melayu tradisional yang mengagumkan dengan seni binanya mempamerkan pelbagai pengaruh dan budaya yang unik.

Keindahan reka bentuk seni bina rumah itu bukan sahaja menggambarkan pengaruh budaya, agama dan keluarga penghuninya tetapi juga mengambil kira faktor cuaca untuk keselesaan penghuninya.

Menurut kajian, pada waktu dahulu, ukiran melambangkan status seseorang di mana semakin banyak ukiran, semakin tinggi dan berkuasa status pemiliknya.

Seni bina Rumah Penghulu Abu Seman jelas menggambarkan apa yang dimiliki oleh tokoh tersebut pada waktu dahulu iaitu seorang penghulu yang disegani dan dihormati masyarakat.

Pada awalnya, struktur rumah itu memiliki tiga bahagian iaitu rumah ibu, rumah tengah dan dapur yang dibina di sekitar tahun 1910 hingga 1920 sebelum sebahagian balai ditambah sekitar tahun 1930-an.

Rumah berkenaan berbeza dengan rumah tradisional Melayu ketika itu yang kebiasaannya tidak mempunyai balai.

Bagaimanapun, Abu Seman membina balai bagi memudahkan beliau menjalankan tugas serta berfungsi sebagai pejabat dan tempat penduduk bertemu dengannya serta menjadi tempat tahanan sementara pesalah.

Bahagian utama pula menempatkan rumah ibu iaitu sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga, sekali gus menyaksikan kedudukannya lebih tinggi daripada dapur.

Bilik tidur juga ditempatkan di rumah ibu manakala dapur berfungsi sebagai tempat memasak dan kedudukannya lebih rendah daripada rumah ibu dan selalunya dipisahkan oleh tangga.

Bumbungnya pula berkonsepkan limas berlima dan pintunya dibina rendah sebagai tanda pengunjung perlu menghormati tuan rumah dengan cara menundukkan kepala untuk memasuki rumah tersebut.

Menurut Intan Syaheeda, sejak rumah tersebut dibuka pada 1997 untuk lawatan, ia sering dikunjungi pelawat terutamanya pelancongan asing, pelajar, arkitek dan perancang bandar untuk membuat rujukan tentang seni bina Melayu yang mengambil kira adat dan budaya Melayu dalam penggunaan ruang dan reka bentuknya.

Selain itu, agensi pelancongan juga menyertakan lawatan ke rumah itu sebagai sebahagian daripada pakej pelancongan jelajah Kuala Lumpur.

Rumah Penghulu Abu Seman juga pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Kehormat bagi Pemuliharaan Warisan Budaya Asia Pasifik UNESCO pada tahun 2000 dan Anugerah Merit dalam Anugerah Kecemerlangan Aseanta pada 2003.

Rumah Penghulu Abu Seman dibuka setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum. Lawatan berpandu pula diadakan dua kali sehari iaitu pukul 11 pagi dan 3 petang.

Selain itu, terdapat juga aktiviti bercorak pendidikan diadakan di sini dengan pengunjung dewasa lebih difokuskan kepada keindahan senibinanya dan budaya orang Melayu.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut tentang Rumah Penghulu Abu Seman boleh menghubungi 03-21449273 atau melayari laman web www.badanwarisan.org.my.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.