saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/02/2008

Siapa Ketua Menteri P. Pinang?

‘‘MENANG dulu baru bincang siapa Ketua Menteri.’’ Itu kata seorang veteran UMNO Pulau Pinang apabila diajukan mengenai siapa bakal mengisi kekosongan yang akan dikosongkan oleh Dr. Koh Tsu Koon sekiranya pendirian Ketua Menteri itu untuk ke Pusat tidak berubah menjelang hari penamaan calon nanti.

‘‘DAP sebelum ini menyasarkan menang sekurang-kurangnya 14 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang,’’ kata veteran itu yang juga mengingatkan hasrat itu tidak boleh dipandang ringan.

Bagi veteran UMNO itu, tidak timbul siapa menjadi Ketua Menteri kerana semangat setiakawan BN terbukti pada tahun 1990. Ketika itu jawatan Ketua Menteri tetap menjadi milik Gerakan walaupun daripada 33 kerusi DUN, Gerakan hanya menang tujuh, DAP 14 sementara UMNO memenangi kesemua 12 kerusi yang ditandingi sehingga mencetuskan jawatan Timbalan Ketua Menteri untuk UMNO pada tahun 1990.

‘‘Maka tidak timbul sebarang isu mengenai dakwaan DAP bahawa UMNO campur tangan dan sebagainya dalam penentuan jawatan Ketua Menteri,’’ katanya.

Sebenarnya ini bukan kali pertama DAP cuba mencetuskan sentimen sedemikian kerana sebelum ini pun, Tsu Koon digambarkan sebagai Ketua Menteri di bawah telunjuk UMNO dalam kempen pilihan raya termasuk pada satu pilihan raya kecil di Perai pada tahun 1991.

Ketika itu DAP membawa bersama mereka ‘patung raksasa’ Tsu Koon yang menganggukkan kepala sambil tersenyum dan melambaikan tangan kepada orang ramai. Mereka yang turut menyaksikan gelagat penyokong-penyokong DAP itu ialah dua naib Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiringi calon BN ke pusat penamaan calon. Akibatnya, calon DAP, Karpal Singh gagal mempertahankan kerusi tersebut sebaliknya MIC menebus kembali satu-satunya kerusi untuk parti itu.

‘‘DAP sebenarnya tidak memahami semangat setiakawan yang wujud dalam BN,’’ katanya sambil meminta supaya parti-parti komponen menumpukan perhatian kepada kerjasama untuk memastikan calon-calon BN memenangi semua kerusi yang ditandingi dalam pertandingan yang mungkin dianggap sengit.

Lebih-lebih lagi Tsu Koon sendiri pernah mengingatkan anggota-anggota parti Gerakan supaya tidak mengambil mudah cabaran pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, cabaran yang akan diterima oleh kerajaan pada pilihan raya umum ke-12 dijangka sama hebat seperti pada pilihan raya umum 1990 dan 1999.

‘‘Pada 1990 kerajaan berhadapan dengan cabaran dari parti pembangkang Semangat 46 dan pada 1999 kerajaan dicabar Parti Keadilan yang ditubuhkan untuk membela Anwar Ibrahim,’’ kata Tsu Koon yang mahukan Gerakan berhati-hati dan lebih fokus.

Namun pengumuman Tsu Koon untuk berhijrah ke Parlimen mengundang khalayak untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan politik di Pulau Mutiara itu.

Pertamanya soal kerusi mana yang akan ditandingi oleh Tsu Koon? Dan siapa pula bakal Ketua Menteri – yang keempat selepas Wong Pow Nee, Dr. Lim Chong Eu dan Tsu Koon?

Tiga nama yang sudah lama disebut-sebut sebagai orang yang layak untuk mengisi jawatan Ketua Menteri ialah Naib Presiden, Dr. Teng Hock Nan, Setiausaha Agung, Chia Kwang Chye dan Timbalan Setiausaha Agung, Lee Kah Choon. Sekadar catatan mereka ini pernah menumbangkan ‘gergasi DAP’ – Lim Kit Siang dan Karpal Singh pada pilihan raya sebelum ini. Hock Nan pernah mengalahkan Kit Siang di Kebun Bunga sementara dalam pertarungan ‘dua setiausaha agung parti’, Kwang Chye (Gerakan) mengalahkan Kit Siang (DAP) di Bukit Bendera pada 1999 sementara pertarungan dua peguam di Jelutong pula menyaksikan Kah Choon mengalahkan Karpal pada tahun yang sama.

Dan di kalangan tiga nama ini, Hock Nan terkeluar daripada senarai kerusinya akan ‘diambil’ oleh Tsu Koon kerana beliau sememangnya mewakili DUN. Maka yang tinggal ialah Bukit Bendera yang diwakili Kwang Chye dan Jelutong oleh Kah Choon.

Selamat

Manakah pilihan Tsu Koon? Bukit Bendera atau Jelutong? Hampir pasti ialah Bukit Bendera, kerusi yang dianggap agak selamat lebih-lebih lagi Tanjong Bunga yang diwakili Ketua Menteri itu terletak di kawasan Parlimen berkenaan. Tetapi apabila Tsu Koon ke Parlimen, ke mana pula Kwang Chye? Setiausaha Agung Gerakan itu sudah tiga penggal mewakili kawasan itu selepas kali pertama mengalahkan orang kuat DAP Pulau Pinang ketika itu, Gooi Hock Seng (majoriti 2,918 undi) dan kemudiannya mengalahkan Kit Siang (104 undi) seterusnya mengekalkan kerusi itu untuk penggal ketiga pada 2004 dengan menang lebih besar iaitu 10,717 undi. Perlu diingat bahawa Bukit Bendera antara kubu kuat DAP sebelum itu. Tetapi apabila Tsu Koon ke Parlimen, adakah Bukit Bendera benar-benar selamat? DAP sentiasa berusaha untuk mengalahkan Ketua Menteri itu.

Dan jangan lupa, sejarah di Pulau Pinang pernah menyaksikan Ketua Menteri tewas kepada DAP.

Chong Eu yang ketika itu sudah lima penggal mengetuai kerajaan negeri terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat negeri itu setelah kalah kepada Kit Siang di DUN Padang Kota dengan majoriti 706 undi.

Adakah sejarah seperti ini akan berulang lagi tetapi pada kali ini akan melibatkan bakal Ketua Menteri?

Ini kerana awal-awal lagi, DAP sudah menyusun strategi untuk menumbangkan salah seorang yang disebut-sebut sebagai bakal Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Hock Nan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu jika diberi peluang sekali lagi dijangka mempertahankan kerusi Pulau Tikus. Beliau seorang yang berpengalaman dalam politik, pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) selama empat tahun.

Bagaimana jika beliau tewas?

Mungkin dalam menghadapi situasi ini, tiga nama yang disebut-sebut bakal mengisi kerusi Ketua Menteri akan diturunkan di peringkat DUN.

Dalam pembahagian kerusi baru-baru ini DAP sudah menukar kerusi dengan Keadilan apabila parti itu sedia bertanding di Pulau Tikus sementara Keadilan di Kebun Bunga. Pada pilihan raya umum lalu, DAP dan PKR kalah di kedua-dua kerusi itu tetapi bagi DAP adalah lebih sukar untuk menghadapi BN di Pulau Tikus yang dikatakan sekali lagi akan diwakili oleh Hock Nan.

Selain Bukit Bendera, daripada 11 kerusi Parlimen, Gerakan diperuntukkan kerusi Tanjong, Jelutong dan Batu Kawan. Bagaimanapun Gerakan kalah di Tanjong, kawasan yang menyaksikan Tsu Koon ditewaskan oleh Kit Siang dalam episod Tanjong II pada 1990. Sejak itu, Tanjong kekal dalam genggaman DAP.

Jika Tsu Koon mengambil tempat Kwang Chye, ini bermakna Timbalan Menteri Penerangan itu akan berpindah kawasan – sama ada kekal di dalam Parlimen Bukit Bendera tetapi ke kawasan DUN.

Ada juga yang mengatakan Presiden dan Setiausaha Agung perlu berada di peringkat pusat. Maka sekali lagi Kwang Chye akan menjadi pertaruhan sama ada kekal di Bukit Bendera atau berhijrah ke kawasan lain. Tetapi di mana?

Pemerhati politik berpendapat Kwang Chye boleh dikekalkan di Bukit Bendera sementara Tsu Koon memilih sama ada Jelutong atau Batu Kawan.

Namun satu sumber memberitahu, Jelutong bukanlah satu kawasan yang boleh dianggap selamat bagi Tsu Koon kerana tidak pasti siapa pula yang akan diturunkan oleh DAP kali ini. Adakah Kit Siang akan kembali ke sana?

Tetapi jika Jelutong menjadi pilihan Tsu Koon, maka ia memberi laluan kepada seorang lagi calon iaitu Kah Choon, bekas peguam untuk muncul sebagai Ketua Menteri pada usia yang muda. Tetapi bagaimana pula jika Kah Choon terus kekal di Parlimen Jelutong?

Satu lagi kawasan yang dianggap selamat bagi Tsu Koon ialah Batu Kawan. Jiran Parlimen Nibong Tebal, yang baru diwujudkan pada pilihan raya umum lalu itu, Gerakan akan dicabar oleh calon Keadilan.

Terdapat juga cakap-cakap mengenai kemungkinan Hock Nan turut berpindah ke Parlimen dan ini akan membuka ruang lebih luas kepada Kwang Chye dan Kah Choon untuk menduduki kerusi Ketua Menteri.

Tetapi apabila tiga nama ini yang disebut-sebut – tanpa sesiapa pun tahu kecuali Tsu Koon atau mungkin penasihat parti Dr. Lim Kheng Yaik – maka mereka ini akan diturunkan di peringkat DUN.

Menyedari corak politik di Pulau Pinang yang tidak menentu, Gerakan tidak boleh sekadar mempertaruhkan hanya seorang yang layak menjadi Ketua Menteri.

Dalam pilihan raya umum 1990 misalnya, selain Chong Eu yang mahu mempertahankan kerusi, BN negeri ketika itu turut mengenal pasti beberapa calon lain untuk jawatan Ketua Menteri sekiranya sesuatu berlaku ke atas Chong Eu.

Selain Tsu Koon turut menjadi tumpuan ketika itu ialah Dr. Goh Cheng Teik dan Dr. Kang Chin Seng.

Biar apa pun spekulasi, gambaran awal jawatan Ketua Menteri hanya akan diketahui apabila Tsu Koon mengumumkan senarai calon BN – siapa ke DUN dan siapa ke Parlimen – menjelang hari penamaan calon pada 24 Februari ini. Dan selepas itu, peringkat kedua akan diketahui apabila siapa di antara tiga calon yang dimaksudkan memenangi kerusi yang ditandingi.

Dan pastinya yang turut menarik perhatian selain kerusi Ketua Menteri ialah siapa pula bakal Timbalan Ketua Menteri? Adakah ada kejutan kali ini?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.