saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/02/2008

Faktor pengundi atas pagar


Bendera UMNO dan lambang Barisan Nasional serta Pas ‘memagari’ tepi jalan pesisir Pantai Perangingan Kelulut, Terengganu.


DERETAN bendera UMNO dan Pas jelas kelihatan dari tingkap kapal terbang MAS MH1336 sebaik melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu kira- kira pukul 3.40 petang, Khamis lalu.

Pada hari tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan sidang akhbar mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh membuang undi selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan pembubaran Parlimen pada 13 Februari.

Biarpun ketika itu teka-teki mengenai tarikh pilihan raya baru terjawab, suasana pilihan raya di negeri yang kini terkenal dengan Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam sudah mula dirasakan.

Kibaran bendera boleh dilihat di mana-mana sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke Hotel Permai Inn International – di hadapannya pernah tercatat tragedi demonstrasi Batu Burok yang sedikit sebanyak mencacatkan perjalanan sebuah negara demokrasi.

Semestinya gambaran pertama senario di Kuala Terengganu memberi imbasan awal tentang persaingan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pas di negeri ini untuk memastikan kemenangan masing-masing pada pilihan raya yang akan berlangsung pada 8 Mac ini.

Sememangnya sejarah pilihan raya di negeri penyu menangis ini amat menarik untuk diteliti. Pernah sekali diterajui oleh Pas dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besar, namun kerajaan yang bercita-cita menubuhkan negara Islam itu tidak mampu bertahan lama.

Selepas sepenggal diberi mandat, penduduk Terengganu membuat penilaian sendiri.

Mereka menggunakan neraca akal fikiran untuk menimbang sejauh mana kerajaan Pas dan barisan pimpinannya serius untuk mengotakan janji-janji yang telah diukir sebelum meraih kemenangan.

Dan perkembangan sepanjang lima tahun bermula pada tahun 1999 menjadi saksi untuk mendorong rakyat negeri ini menolak Pas pada Mac 2004, biarpun masih ada kawasan yang terlepas bukan disebabkan ada bakti yang telah ditabur tetapi lebih kerana fahaman politik yang telah menebal sehingga menyukarkan pilihan lain dibuat.

Itu cerita 2004 – ketika mana para pengundi di Terengganu menggunakan kematangan sepenuhnya sehingga BN beroleh 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membolot kesemua kerusi Parlimen.

Menariknya lapan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh UMNO adalah dengan majoriti antara 4,000 dan 12,000 undi. Di peringkat DUN, di antara kerusi yang dimenangi UMNO, 21 daripadanya dengan majoriti antara 1,000 dan 4,000 undi.

Dan sentimen 2004 itu diyakini oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan barisan pimpinan BN Terengganu akan berulang pada pilihan raya ke-12 malah tidak mustahil catatan angkanya akan lebih meriah.

Keyakinan itu berdasarkan pada fakta kejayaan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini yang boleh dinilai sendiri oleh penduduk tempatan biarpun ‘bulan mengambang’ masih memenuhi kiri dan kanan jalan dari Rusila ke Rhu Rendang, dari bandar Marang melintasi Pengkalan Berangan hingga ke Ajil.

Sememangnya, sebagai orang luar yang pertama kali berada di negeri ini semasa musim pilihan raya, saya terpesona dengan kemeriahan poster-poster Pas yang lebih mendominasi jalan utama terutama dari Kuala Terengganu ke Marang biar- pun kerusi Parlimen itu menjadi milik Datuk Abdul Rahman Bakar yang mewakili BN.

Begitu juga ketika merentasi kampung- kampung kecil di DUN Alur Limbat, Bukit Payung dan Pengkalan Berang, ada saja poster Pas yang dikibarkan di situ. Hatta tempat menunggu bas dicat hijau dan dibaluti dengan bendera Pas yang sarat dengan bulan mengambang.

Malah jika poster dijadikan kayu pengukur prestasi jentera parti dalam membuat persiapan pilihan raya, mahu saja disimpulkan betapa Pas amat bekerja keras untuk menghantar sekurang-kurangnya satu suara ke Parlimen iaitu menerusi Marang.

Kesempatan bertukar pandangan dengan orang-orang kuat Menteri Besar mengenai kerja keras Pas itu, mereka menjawab: “Semestinya Pas terpaksa bekerja keras kerana mereka tahu sokongan para pengundi semakin merosot.

“Malah tiada isu besar di Terengganu yang boleh dibangkitkan oleh Pas bagi membuktikan bahawa kerajaan BN tidak berkhidmat kepada rakyat.”

Kebencian

Malah salah seorang orang kanan Idris menarik perhatian mengenai petunjuk ekonomi yang memberangsangkan di Terengganu sehingga menutup mulut pembangkang, biarpun ada cubaan untuk meniup kebencian rakyat terhadap penganjuran Monsoon Cup kononnya tidak memberi faedah kepada rakyat kebanyakan.

Menurut beliau, memang ada suara-suara sumbang yang membangkitkan perihal Monsoon Cup, namun penduduk negeri Terengganu bukan lagi berfikiran tertutup seperti dahulu sehingga sanggup menerima apa sahaja dakyah yang dibawa oleh pembangkang.

Pembangunan modal insan yang menjadi agenda utama kerajaan BN di negeri ini telah berjaya menampakkan hasilnya apabila khabar-khabar seumpama itu berjaya ditapis oleh penduduk di sini yang semakin celik minda dan tajam akalnya.

Beliau mengakui, satu kelemahan di kalangan penduduk negeri ini ialah pembangunan minda yang agak perlahan sehingga ada kalangan mereka yang tergamak menolak pembangunan dan sanggup hidup merempat biarpun negeri ini sarat dengan hasil perut bumi.

Dan kelemahan tersebut semakin dapat ditangani apabila generasi kedua yang dibentuk pemikiran mereka menerusi sistem pendidikan mula tampil ke hadapan untuk mengubah masa depan mereka di bawah kerajaan BN.

Rakyat Terengganu semakin bersedia untuk berubah, sekali gus menukar kedudukan mereka sebagai penduduk termiskin di Semenanjung Malaysia dengan mengambil setiap peluang yang disediakan oleh kerajaan BN.

Perubahan itu diyakini oleh BN akan menjadi kenyataan apabila kira-kira 60 peratus pengundi yang berdaftar di negeri ini bagi pilihan raya 2008 adalah terdiri daripada pengundi muda.

Hasil kajian jentera pilihan raya BN negeri mendapati rata-rata pengundi muda inginkan pembaharuan dan mahu mengangkat kedudukan negeri ini sama seperti negeri-negeri lain yang menikmati pembangunan pesat.

Oleh itu, undi pengundi muda pada 8 Mac depan dilihat sebagai senjata paling penting untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri yang juga kaya dengan produk pelancongan ini.

Di sebalik keyakinan terhadap kecerdikan pengundi muda membuat pilihan masih ada kebimbangan tentang kewujudan pengundi atas pagar. Trend pengundi kategori ini memang tidak boleh diperkecilkan dan ini terbukti menerusi kemenangan BN atau pembangkang dengan catatan majoriti kecil.

Malah Abdul Hadi dalam temu bual dengan Utusan Malaysia baru-baru ini turut mengakui bahawa kemenangannya di DUN Rhu Rendang antara lain didorong oleh sikap murah hati pengundi atas pagar.

Justeru, antara cabaran yang perlu ditangani oleh Idris dan barisan kepimpinan negeri Terengganu ialah menawan hati pengundi atas pagar menerusi pelbagai projek pembangunan berkepentingan rakyat yang tidak boleh tidak akan membuka hati para pengundi untuk menyokong kerajaan BN.

Hanya kemajuan Terengganu ditambah faktor kepimpinan berakhlak tinggi serta bersikap profesional mampu mengubah trend pengundi atas pagar kerana tiada apa yang lebih istimewa dapat ditawarkan oleh pembangkang.

Jika diukur dari sudut pembangunan, sememangnya rata-rata kawasan di negeri ini baik di Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman misalnya, telah menampakkan pelbagai perubahan termasuk pelaksanaan projek-projek pertanian berdaya maju yang membuka peluang kepada penduduk setempat untuk mengambil bahagian.

Program pembentukan modal insan juga menjadi perhatian kerajaan BN di Terengganu bagi memastikan generasi kedua terbentuk akal fikirannya dan tidak lagi berpeluk tubuh membiarkan setiap peluang berlalu begitu sahaja.

Ternyata ungkapan “tidak pernah sebelum ini’' dan “tidak terlintas di fikiran ini’' cukup untuk memberi gambaran betapa kerajaan BN telah berjaya mengubah wajah Terengganu sekali gus membuka mata semua pihak bahawa pembangkang tidak akan mampu melakukan sejauh itu.

Lebih daripada itu, rakyat Terengganu belum bersedia menerima orang luar seperti Mohamad Sabu yang dinamakan sebagai calon Pas di Kuala Terengganu sebagaimana mereka menolak Nasharuddin Mat Isa di Besut pada pilihan raya ke-11.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.