saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 24/02/2008

Gelanggang dibuka -- Hampir 1,500 calon dijangka kemuka pencalonan hari ini

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-12 mula dibuka esok apabila hampir 1,500 calon dijangka mengemukakan pencalonan masing-masing di seluruh negara seawal pukul 9 pagi.

Lebih 200 pusat penamaan calon yang dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menjadi tumpuan mereka dan para penyokong parti-parti politik mahupun calon bebas.

Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon di semua 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kali ini, manakala parti pembangkang dijangka turut menurunkan calon masing-masing bagi memastikan semua kawasan yang ditandingi BN dicabar.

Jika formula satu lawan satu yang dirancang oleh pakatan pembangkang menjadi, pilihan raya kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit di semua kawasan.

Kecuali berlaku kesilapan teknikal sebagaimana berlaku pada pilihan raya umum 2004 yang membolehkan 17 calon menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen dan 12 bagi kerusi DUN.

Antara kawasan panas yang menjadi tumpuan ialah kerusi Parlimen Permatang Pauh, Bagan, Marang, Kuala Terengganu, Bukit Bintang, Pasir Mas, Ipoh Barat, Pendang dan Sik.

Turut menarik perhatian ialah beberapa kawasan yang menampilkan personaliti seperti Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Parlimen Tasek Gelugor; Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Parlimen Rembau; Exconya, Datuk Mukhriz Mahathir (Jerlun); Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Esok, pusat-pusat penamaan yang ditempatkan di pejabat daerah, dewan majlis perbandaran, dewan serba guna, sekolah, balai raya dan stadium akan dibuka dari pukul 9 hingga 10 pagi untuk menerima kertas pencalonan.

Ini diikuti dengan tempoh bantahan selama sejam sebelum pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan nama-nama calon sekiranya ada pertandingan.

Mengikut peraturan SPR, calon kerusi Parlimen disyaratkan membayar deposit RM10,000 semasa mengemukakan kertas pencalonan, manakala RM5,000 pula bagi kerusi DUN.

Selain syarat lama iaitu pencadang dan penyokong mesti daripada kalangan pengundi berdaftar di tempat yang hendak ditandingi, semua calon juga perlu mengemukakan borang Akuan Bersumpah serta duti setem yang dibayar atau mungkin menghadapi risiko kertas pencalonan mereka ditolak.

Berhubung soal penamaan calon esok, SPR meminta calon yang bertanding agar tiba lebih awal di kawasan penamaan masing-masing sebelum pukul 9 pagi bagi mengelak sebarang kesulitan.

Di MELAKA, Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mengingatkan calon supaya datang awal kerana sebarang kertas penamaan yang dikemukakan selepas pukul 10 pagi tidak akan dilayan.

Mengulas tindakan Pas mempersoalkan syarat duti setem RM10 ke atas calon, beliau berkata, ia tidak perlu diperbesarkan.

‘‘SPR bukan sengaja nak wujudkan (syarat baru). Jabatan Peguam Negara baru sahaja maklumkan kepada kita yang duti setem diperlukan agar selaras dengan undang-undang,’’ katanya.

Di PEKAN, dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat menunjukkan kematangan semasa proses pilihan raya dengan memastikannya berjalan secara aman dan berkesan.

Beliau menasihati semua penyokong parti yang bertanding supaya tidak bertindak ganas, sebaliknya bersikap rasional pada hari penamaan calon esok.

Menurut beliau, kejadian seperti pergaduhan ketika proses penamaan calon tidak seharusnya berlaku memandangkan negara telah menjalani proses pilihan raya sebanyak 11 kali sejak merdeka.

‘‘Esok merupakan kali yang ke-12 kita menjalani proses pilihan raya dan tidak sepatutnya berlaku kejadian tidak diingini seperti pergaduhan di kalangan penyokong,” katanya.

Sejumlah 10,922,139 pemilih berdaftar termasuk 221,085 pengundi pos, layak mengundi pada pilihan raya kali ini berbanding 10.3 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-11.

Pada pilihan raya umum lepas, SPR menerima 449 pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 1,121 pencalonan bagi kerusi DUN daripada sembilan parti politik dan calon-calon bebas.

SPR juga akan terus menggunakan kertas undi tanpa nombor siri selepas memperkenalkannya pada pilihan raya negeri Sarawak pada 2006.

Seramai 149,000 kakitangan SPR dan 50,000 pekerja am ditempatkan di seluruh negara bagi membantu perjalanan pilihan raya umum kali ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan menggerakkan 60,000 anggotanya untuk memastikan pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan atau gangguan.

Pada pilihan raya umum lalu, BN menang 199 kerusi Parlimen, DAP (12), Pas (enam) dan satu masing-masing oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon bebas.

Di peringkat DUN, semua negeri kecuali Kelantan, BN berjaya membentuk kerajaan.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.