KELUARGA
ARKIB : 27/02/2008
Empat pelumba wanita mengegar Litar Sepang
![]() |
Dari kiri, Norlina, Leona, Putri Ayu Jasmin dan Norbaizura. |
APABILA pihak Asia Advanced Driving Academy Sdn. Bhd. (AADA) menghulurkan topi keledar bertutup, penulis tergamam seketika.
Tidak sangka kerana diberi peluang untuk merasai sendiri berada di dalam kereta yang enjinnya telah diubah suai dan dipandu pada had laju lebih 190 kilometer sejam, lebih-lebih lagi di atas trek litar lumba bertaraf dunia di Litar Sepang.
Setelah menandatangani perjanjian dengan pihak pengurusan, terbit rasa takut namun perasaan teruja untuk merasai sendiri dan yakin peluang tidak akan datang lagi selepas ini, maka penulis nekad menyarung topi keledar berkenaan.
Justeru, pengalaman menaiki kereta lumba dengan tiga kali pusingan di atas trek dengan jarak 5.543 kilometer dan 15 selekoh adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Pada fikiran penulis, tidak semua berpeluang menaiki kereta yang dipandu di atas litar tersebut, apatah lagi diberi pula peluang memandu kereta lumba itu sendiri.
Hakikatnya, memang bukan senang untuk golongan wanita memperoleh peluang sebegitu. Pelbagai rintangan perlu dilalui termasuk menjalani sesi temu duga, ujian pemanduan, ujian bertulis, pemilihan daripada aspek personaliti, kekuatan fizikal dan mental, serta beberapa ujian lain, barulah mereka berpeluang memandu kereta lumba.
Inilah juga antara kriteria yang perlu dipenuhi untuk layak menganggotai pasukan Pelumba Wanita Redbull, seterusnya menyertai pertandingan lumba kereta Merdeka Millenium Endurance Race yang akan diadakan pada bulan Ogos nanti.
Pencarian Pelumba Wanita Redbull bermula pada Julai tahun lalu, telah berjaya menemukan empat gadis yang menepati kriteria pilihan penganjur dan juri.
Empat gadis bertuah tersebut ialah Norlina Johor, 27; Putri Ayu Jasmin Abdul Hamid, 24; Norbaizura Ruslan, 24; dan Leona Chin, 22.
Mereka terpilih menerusi beberapa tapisan daripada 600 peserta yang menjalani sesi temu duga di tiga peringkat kawasan iaitu utara, selatan dan tengah.
Selain aspek pemanduan, peserta juga dinilai menerusi personaliti, kekuatan fizikal dan mental serta pengetahuan dalam sukan bermotor.
Setelah terpilih, mereka perlu mengikuti latihan, bengkel, yang telah diatur oleh pihak penaja, Redbull.
Setakat ini, mereka telah diberi peluang memandu di atas litar lumba F1 Sepang sebanyak dua kali.
Ketua tenaga pengajar dari AADA, Kenvin Low berkata, keempat-empat peserta wanita yang terpilih telah beberapa kali mengikuti kelas pemanduan asas.
Mereka dilatih oleh beberapa tenaga pengajar daripada AADA selama beberapa bulan ini, sebelum ke pertandingan yang akan berlangsung pada Ogos nanti.
“Sebenarnya adalah lebih mudah untuk mengajar pemandu wanita berlumba berbanding lelaki, kerana mereka lebih fokus dan mengikut arahan,” ujarnya ketika sesi sidang akhbar di Litar Lumba Antarabangsa Sepang, baru-baru ini.
Sementara itu, wakil penaja Redbull berkata, pencarian ini akan menjadi acara tahunan mereka.
Keempat-empat gadis yang terpilih ini juga akan diberi peluang menjadi jurucakap Redbull, di mana mereka akan dikenali sebagai Red Bull Female Rookies Team.
Katanya, pihak Redbull telah terpanggil untuk mengadakan pencarian ini memandangkan kurangnya jumlah pemandu kereta lumba wanita.
Keadaan begitu terjadi berikutan tiada saluran serta peluang untuk pemandu wanita menjadi pelumba kereta profesional.
“Matlamat kami ialah untuk mencari dan menanam inspirasi kepada bakat-bakat wanita di samping menyediakan mereka menghadapi perlumbaan terbesar Asia seperti Merdeka Millenium Endurance Race ini,” katanya.
Beliau berkata, program ini bukan sahaja tentang perlumbaan malah juga melibatkan latihan fizikal, bahasa, budaya, skil ketika bertemu para media, dinamik dalam kumpulan dan bermacam lagi.
Mengenai proses pemilihan, katanya, pencarian bermula menerusi pertunjukan bergerak (roadshow) Redbull di tiga kawasan iaitu di utara, selatan dan tengah.
Penyertaan dibuka pada semua wanita bukan selebriti yang berminat, berusia 18 tahun ke atas dan tidak mengira apa juga latar belakang mereka.
“Pada setiap kawasan pemilihan, peserta dipilih menerusi skil pemanduan asas, pengetahuan tentang perlumbaan kereta menerusi sesi temu duga yang dijalankan.
“Selain itu terdapat beberapa lagi ujian bertulis, ujian praktikal yang perlu diikuti peserta. Daripada 600 peserta, disaring menjadi 45, kemudian 12 dan akhirnya empat sahaja yang terpilih ke peringkat akhir,” katanya.
Menurutnya lagi, skil pemanduan mungkin menjadi perkara asas ukuran namun cara pemanduan, kecerdasan pemandu, personaliti, skil persembahan, di samping beberapa perkara lain seperti asas komunikasi juga turut diberi perhatian dalam pemilihan.
Para juri telah bersepakat memilih empat peserta yang mempunyai personaliti juga dilihat berpotensi untuk berjaya dalam bidang sukan bermotor.
“Mereka menepati ciri pemandu wanita yang dicari oleh pihak juri dan penganjur Redbull,” katanya.
Ringkas dan moden kontemporari
Fadzlina bermula kosong
Kek kahwin ikut konsep
Sajian seantero dunia di Kontiki
Kisah hero kanak-kanak
Permainan bantu anak capai potensi
Didik anak dengan baik
Ragam hidup berjiran
Mitos mengenai cinta sejati
Akibat lupa tanggungjawab
#OOTD bukan sekadar fesyen
Hormati tudung yang dipakai
Barang lama orang muda
Tidak anggap diri alim
Qarmasutra bilik studio
Jamu mata, jamu selera
Berjaya selepas terima dugaan besar
Menyambung kerja anak
Buku masakan tingkap ke Gaza
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||












