saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 01/03/2008

Isu ‘fatwa’ Hadi

*Jangan terpesong
BESUT 29 Feb. – Masyarakat Islam di negara ini diminta tidak terpengaruh dengan fatwa pilihan raya Pas yang sengaja direka oleh pemimpin parti itu bagi memikat pengundi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, usaha terdesak itu dilakukan kerana Pas serta pembangkang lain tidak mempunyai isu untuk diketengahkan kepada rakyat.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) berkata, Pas semakin menggelabah apabila rakyat menolak parti itu meskipun dijanjikan dengan pelbagai perkara termasuk negara berkebajikan yang sememangnya telah lama dilaksanakan oleh BN.

‘‘Rakyat perlu merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab dan lebih arif untuk mendapatkan penjelasan lengkap agar tidak terpesong dan terpedaya dengan fatwa yang dibuat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas dalam kempen-kempen menjelang pilihan raya umum 8 Mac ini.

Terbaru ialah fatwa yang dikeluarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membenarkan calon-calon parti itu mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan semasa berkempen.

Abdullah berkata, kenyataan keterlaluan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas kini banyak memberi kesan negatif dan memburukkan imej agama Islam.

Pada masa yang sama, menurut beliau, timbul perpecahan di kalangan masyarakat Islam kerana perbezaan fahaman politik dan tindakan pemimpin Pas yang sengaja mempolitikkan setiap isu.

Jelasnya, keadaan yang berlaku sebenarnya menunjukkan pemimpin Pas tidak konsisten dalam perjuangan kerana sengaja memperbesarkan sesuatu isu jika ia menguntungkan mereka.

‘‘Bagaimanapun, apabila sesuatu isu itu tidak membawa keuntungan, maka ia akan ditutup dengan pelbagai alasan,” katanya.

*‘Gelagat orang terkejut’
KUALA LUMPUR 29 Feb. – Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan ‘fatwa’ yang membenarkan semua calon pembangkang mendedahkan keburukan lawan masing-masing ketika berkempen disifatkan sebagai gelagat ‘orang terkejut’.

Penyandang kerusi Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pemimpin pembangkang itu terkejut selepas menyedari peluang partinya semakin sukar hingga menyebabkannya bertindak ‘menghalalkan’ calon-calon Pas mengumpat dan membuat tuduhan untuk meraih undi.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu menyatakan, tindakan tersebut mencerminkan kredibiliti Pas yang semakin hancur kerana mengamalkan falsafah perjuangan yang mementingkan peribadi.

‘‘Orang Islam wajar melupakan ‘gelagat terkejut’ Hadi dan berpaling kepada Barisan Nasional (BN),’’ katanya ketika mengulas ‘fatwa’ terbaru Hadi pada sidang akhbar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Rais turut menyifatkan kenyataan DAP kononnya MCA merupakan ‘pengawal peribadi’ kepada UMNO dan MIC sebagai suatu retorik politik yang sudah tenggelam.

Katanya, kiasan seperti itu telah ketinggalan zaman dan terbukti tidak berkesan meraih undi untuk memenangi pilihan raya.

‘‘Isu-isu retorik tidak banyak membantu dalam pilihan raya, percayalah saya sudah mengalaminya.

“Masyarakat mahu melihat sama ada perubahan dan pembangunan dilaksanakan di depan mata mereka,’’ ujarnya.

Sebelum itu, Rais merasmikan pelancaran Akademi Buku Malaysia yang berfungsi mengukuhkan industri penerbitan buku negara di bawah pengurusan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Dalam ucapannya, beliau berkata, cadangan penubuhan akademi itu termaktub dalam Dasar Buku Negara 1985 yang mengesyorkan sebuah institusi latihan diwujudkan untuk membantu perkembangan industri buku seperti yang terdapat di negara-negara maju.

Menurut Rais, antara masalah yang mengekang industri itu termasuk kuantiti dan kualiti buku tempatan yang rendah, bidang-bidang penting masih belum diterokai oleh penulis tempatan, kebajikan penulis kurang diambil perhatian, penguasaan buku import dan kekurangan promosi.

Beliau menganggarkan, kira-kira 10 juta naskhah buku setahun mampu dijual jika pelbagai pihak termasuk syarikat penerbitan, penulis dan masyarakat sama-sama membangunkan industri buku melalui penjualan naskhah pada harga munasabah.

*Mengumpat haram
KANGAR 29 Feb. – Perbuatan mengumpat dan mengata keburukan seseorang di khalayak umum adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, sesuatu perkara hanya boleh dinyatakan keburukannya jika terdesak dan sekiranya ia boleh membahayakan masyarakat.

‘‘Sebagai contoh, perkara yang boleh dinyatakan keburukannya seperti ajaran sesat dan jenayah kerana ia membabitkan keselamatan awam.

‘‘Perkara ini jika tidak dibendung membawa ancaman kepada masyarakat tetapi ia perlu berlandaskan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Asri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ‘fatwa’ terbaru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membenarkan semua calon Pas yang bertanding mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Menurut Presiden Pas itu, Islam membenarkan tindakan tersebut kerana urusan memilih pemimpin merupakan satu perkara yang amat besar selain menepati sistem demokrasi moden.

Abdul Hadi turut menyamakan tindakan tersebut dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. berhubung soal mencari jodoh yang membenarkan keburukan seseorang itu didedahkan bagi mengelak berlakunya penganiayaan kepada pasangan.

Bagaimanapun, Mohd. Asri berkata, dalam kes tertentu sesuatu keburukan boleh dinyatakan tetapi dengan kadar tertentu dan berdasarkan bukti-bukti yang kukuh.

‘‘Sebagai contoh, pada masa pilihan raya perkara rasuah membabitkan pemimpin tertentu dibenarkan kerana masyarakat perlu tahu bagi memilih pemimpin yang betul tetapi ia bukan berdasarkan tohmahan dan tuduhan melulu.

“Sebaliknya, bukti yang kukuh perlu dinyatakan oleh individu terbabit sebelum keburukan seseorang itu didedahkan,” jelasnya.

Sementara itu, Mufti Perlis itu meminta ahli-ahli politik tidak memainkan isu mengkafir sesama umat Islam kerana bimbang akan wujud salah faham mengenai perkara tersebut di kalangan masyarakat Islam negara ini.

Katanya, perbuatan itu perlu dihentikan segera demi kebaikan umat Islam.

‘‘Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi perlu menjelaskan perkara ini agar difahami oleh semua orang kerana perbuatan menuduh kafir sesama sendiri adalah amalan puak Khawarij,” katanya.

*Ulama Pas sokong
PUTRAJAYA 29 Feb. – Setiausaha Majlis Syura Pas Pusat, Abdul Ghani Samsudin hari ini mempertahankan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membenarkan calon-calon parti itu mengumpat dan mendedahkan keburukan lawan masing-masing.

Abdul Ghani yang juga calon Pas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burung, Selangor, berkata, pendedahan tentang hakikat sebenar seorang pemimpin dibenarkan oleh syarak bagi mengelakkan orang ramai teraniaya.

‘‘Pendedahan itu dilakukan demi kebaikan dan berdasarkan keilmuan supaya pemilihan pemimpin dibuat dengan teliti dan difikirkan secara matang.

‘‘Konsep ini adalah dibenarkan dalam Islam kerana jika tidak didedahkan keburukan dan kelemahan seseorang pemimpin yang bakal dipilih itu, bimbang nanti berlaku kerosakan yang lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Abdul Ghani yang juga bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang menyebut Abdul Hadi mengeluarkan ‘fatwa’ membenarkan semua calon Pas yang bertanding mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing.

Menurut Abdul Ghani, meskipun Allah menyatakan dalam ayat 148, Surah al-Nisa tentang larangan mendedahkan keburukan seseorang secara terang-terangan tetapi dalam ayat tersebut juga menyatakan perkara itu dikecualikan jika melibatkan mereka yang teraniaya.

‘‘Dalam hal ini, rakyat akan teraniaya jika kita tidak menyatakan hakikat sebenar dan rekod perilaku seseorang pemimpin.

‘‘Sebab asas memilih pemimpin mesti berasaskan kepada ketakwaan mereka kerana mereka yang tinggi martabatnya ialah mereka yang paling bertakwa,” jelas beliau.

Katanya, pendedahan tentang segala kelemahan dan rekod buruk seseorang itu dilakukan demi kepentingan umum seperti skandal atau kelakuan buruknya.

‘‘Ini termasuk dalam perkara amar makruf dan nahi mungkar dan nasihat dalam agama atau hisbah. Ini sama seperti dalam proses memilih pasangan atau meminang, mesti dinyatakan hakikat sebenar latar belakang pasangan kerana proses membina rumah tangga berasaskan kepada mahabbah iaitu kasih sayang,” katanya.

Katanya, konsep tersebut juga boleh diamalkan dalam proses memilih kepimpinan yang membabitkan soal kepentingan negara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.