saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/03/2008

Pecah tradisi dua pertiga


MASYARAKAT berbilang kaum menyemak daftar pemilih sebelum membuang undi.


PERTAMA kali dalam sejarah sejak tahun 1959, parti induk – ketika itu Perikatan dan kini Barisan Nasional (BN) – hilang majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum.

Semestinya keputusan di luar jangkaan Pilihan Raya Umum Ke-12 kelmarin membawa cerita, maksud, nilai dan pengajaran tersendiri yang tidak boleh disimpulkan secara sepintas lalu.

Ini kerana kehilangan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen bukannya berlaku secara tidak sengaja, jauh sekali dianggap sebagai eksperimen rakyat untuk menguji setiap undi mereka.

Jika rakyat ingin bereksperimen, pilihan raya 2008 dilihat bukan masanya – mungkin tahun 1999 adalah masa yang terbaik untuk berbuat demikian lantaran ada isu untuk dijadikan bahan kajian.

Manakala bagi tempoh selepas pilihan raya 2004 hingga tahun ini – iaitu selepas BN mencatat kemenangan besar, perkembangan semasa dilihat umpama air tenang yang membolehkan segala agenda pembangunan untuk rakyat dilaksanakan secara berkesan.

Dan menjelang pilihan raya hangat diperkatakan, banyak pihak seolah-olah bersetuju bahawa ‘tiada isu’, ‘tiada isu’ dan ‘tiada isu’ kecuali kenaikan harga barang yang mungkin boleh menyimpangkan sedikit undi rakyat kepada pembangkang.

Pendek kata, tiada isu lain yang boleh menggugat pendirian pengundi – justeru keyakinan BN amat terserlah untuk memperoleh majoriti dua pertiga sebagaimana rekod 11 pilihan raya yang telah dilangsungkan.

Namun bak kata pepatah air tenang jangan disangka tiada buaya, di sebalik dikatakan hanya satu isu (kenaikan harga barang) – suara rakyat memilih sebaliknya.

Ini kerana hakikatnya, isu-isu seperti Hindraf, suruhanjaya video klip hakim, pemilihan calon tanpa mengambil kira sentimen rakyat setempat, memberi kesan kepada jiwa pengundi dan secara senyap mereka memprotes sehingga membentuk majoriti senyap yang amat besar jumlahnya.

Malah, kempen-kempen yang agak perlahan terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sehingga ada calon masih tidak dikenali menjelang hari pengundian memberi isyarat awal tentang prestasi BN kali ini.

Pencapaian 2008 disimpulkan sebagai yang terburuk bagi BN dalam sejarah pilihan raya Malaysia dengan empat negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak jatuh ke tangan pembangkang, manakala Pas mengekalkan status quo di Kelantan.

Rekod Pas di negeri Serambi Mekah itu amat cemerlang berbanding pencapaian pada 2004, manakala prestasi BN di empat negeri lain begitu memeranjatkan terutamanya jika dianalisis peningkatan majoriti undi yang diperoleh calon-calon pembangkang.

Semasa pilihan raya umum pertama, Perikatan menang 74 daripada 104 kerusi Parlimen; dan 207 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Tradisi penguasaan majoriti dua pertiga itu diteruskan dalam 10 lagi pilihan raya selepas itu biarpun pada tahun 1969, 1974 dan 1999, pilihan raya berlangsung dalam suasana yang tidak begitu memihak kepada parti induk.

Tragedi 13 Mei yang menyaksikan rusuhan kaum tercetus sehingga mengakibatkan pertumpahan darah, dilihat ketika itu bakal mengurangkan sokongan kaum Cina kepada parti Perikatan.

Ia dikatakan bakal menjejaskan perolehan majoriti dua pertiga Perikatan namun keputusan yang diperoleh ternyata tidak sedemikian.

Perikatan masih mampu memperoleh majoriti dua pertiga, diikuti dengan pilihan raya- pilihan raya selepas itu termasuk pada tahun 1999 di mana ketika itu rakyat Malaysia dibelenggu oleh isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ternyata simpati serta sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri yang menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih juga gagal menidakkan keupayaan BN untuk meraih majoriti dua pertiga.

Malah isu Anwar dengan suruhanjaya mata lebamnya tidak menjejaskan kemaraan BN pada pilihan raya ke-11, malah BN mencatatkan kemenangan besar dan hampir-hampir merampas Kelantan daripada Pas.

Ternyata gelombang pilihan raya ke-11 itu seolah-olah meletakkan BN dalam keadaan yang amat selesa dan yakin ketika membuat perkiraan untuk mengadakan pilihan raya ke-12 sebelum mandat lima tahun berakhir pada Mac tahun depan.

Pembubaran Parlimen pada 13 Februari lalu dengan tempoh kempen hampir dua minggu berjalan tanpa ragu-ragu biarpun ada sedikit gangguan dalam senarai calon.

Tersasar

Walaupun ada kesangsian bahawa ini bukan masa yang terbaik untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat membuat pilihan, namun kerajaan mempunyai sandaran lain untuk membuat keputusan seumpama itu.

Dan natijahnya – tanpa dijangka, pengundi memberi isyarat yang ternyata tersasar jauh daripada harapan serta impian asal BN untuk mengekalkan tradisi majoriti dua pertiga.

Semestinya, pembangkang juga tidak menjangkakan keputusan secemerlang itu – bukan sahaja berkuasa di lima negeri malah menambah kerusi di Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Keputusan yang amat mengejutkan itu ternyata mendorong semua pihak untuk membuat analisis, mencari jawapan sebenar di sebalik undi rakyat yang kini dimasukkan dalam peti lut sinar.

Paling menarik ialah untuk mengikuti sidang Dewan Rakyat kelak.

Setiap usul, mahupun rang undang-undang memerlukan undi majoriti dua pertiga sebelum dapat diluluskan. Dengan 82 pembangkang kini yang terdiri daripada 23 wakil rakyat Pas, DAP (28) dan Parti Keadilan Rakyat (31) – proses meluluskan usul dan rang undang- undang tidak semudah dulu.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Dr. Sham Rahayu Abd. Aziz mengakui, keputusan pilihan raya kali ini amat menarik untuk dianalisis terutama dari segi jumlah wakil parti pembangkang di Dewan Rakyat.

“Berbanding 2004, pembangkang hanya mempunyai 19 wakil di Dewan Rakyat dan seorang wakil bebas. Oleh itu tidak sukar untuk memperoleh majoriti dua pertiga setiap kali ada usul atau rang undang-undang dibentangkan. Malah boleh dikatakan semua usul akan diterima atau ditolak sebulat suara tanpa perlu bercerita panjang,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu, biarpun keputusan pilihan raya kali ini agak mengecewakan BN namun ia menandakan demokrasi yang sihat di mana check and balance di Parlimen dapat dilihat secara berkesan.

Perkembangan itu, katanya, akan menuntut kerajaan supaya lebih berhati-hati setiap kali membentangkan usul baik berupa undang-undang mahupun belanjawan yang semestinya melibatkan duit rakyat.

Menurut Sham Rahayu, ini bukan bermakna kerajaan selama ini tidak berhati-hati ketika membentangkan usul, tetapi dengan adanya suara pembangkang yang lebih besar maka setiap unsur diteliti supaya mereka tidak dipersoalkan kelak.

Semestinya, perbahasan mengenai sesuatu usul juga akan menjadi lebih hangat bersama hujah-hujah yang pastinya membuka minda sebelum ia dapat diluluskan mengikut rasional.

Sesungguhnya keputusan pilihan raya menunjukkan sikap pengundi terhadap parti yang memerintah dan parti pembangkang. Jika pembangkang yang menjadi pilihan, tidak semestinya mereka menawarkan yang lebih baik.

Sebaliknya mungkin ada yang kurang memuaskan hati di pihak parti kerajaan sehingga melahirkan undi senyap dan undi protes.

Seperkara lagi yang menarik perhatian ialah keputusan pilihan raya kali ini bakal menyaksikan wakil kaum Cina dan India dalam Kabinet yang pastinya berkurangan.

Walhal sebelum berlangsungnya pilihan raya, kaum-kaum di Malaysia telah diingatkan supaya mengundi BN untuk memastikan mereka mempunyai wakil dalam Kabinet sekali gus segala masalah mereka dapat dibawa kepada perhatian kerajaan tanpa memerlukan orang ketiga.

Namun perkembangan terbaru menunjukkan kaum Cina dan India rela tidak diwakili di Kabinet asalkan suara mereka berkumandang di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri.

Jika itu keputusan mereka, maka kerajaan BN mungkin boleh memikirkan untuk memperuntukkan kuota menteri, timbalan menteri atau setiausaha Parlimen berketurunan India dan Cina mengikut sokongan yang diberi kepada BN.

Jika kurang sokongan atau undi mereka kepada BN, maka kecillah kuota untuk mereka, jangan ditambah kerana ia akan mewujudkan suasana selesa yang pasti memberi kesan lebih parah pada pilihan raya umum akan datang.

Apa pun, tanpa kemenangan majoriti dua per tiga, BN membentuk sebuah kerajaan yang dipilih menerusi amalan demokrasi berparlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 113 hingga Perkara 120 berserta Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tugas seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 113 hingga Perkara 120 Perlembagaan. Segala urusan berkaitan pilihan raya seperti yang dituntut oleh Perlembagaan telah dipenuhi.

Selepas selesai pilihan raya, sebuah jemaah menteri akan ditubuhkan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43 dan Jadual Keenam Perlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun menghadap Yang di- Pertuan Agong bagi memaklumkan BN telah memperoleh kemenangan mudah.

Dalam proses tersebut, Perdana Menteri akan memohon untuk menubuhkan kerajaan baru dan mengemukakan cadangan keanggotaan Kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong apabila pemilihan jemaah menteri selesai diadakan.

Mengikut Perlembagaan, Perdana Menteri sekali lagi akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan senarai Kabinet Kerajaan Pusat selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin BN.

Ia akan disusuli dengan istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah menyimpan rahsia oleh anggota Kabinet dan timbalan-timbalan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan berlangsung di Istana Negara.

Sementara itu, fungsi kerajaan sementara yang mengambil alih pentadbiran negara sebaik Parlimen dibubarkan akan diteruskan walaupun selepas berlangsungnya pilihan raya sehingga Kabinet baru dibentuk.

Justeru setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan sementara sebelum Kabinet dibentuk seperti menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memanggil mesyuarat Dewan Rakyat adalah sah di sisi Perlembagaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.