saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 12/03/2008

ATM akan guna pesawat UAV buatan Malaysia


Allatif (tengah) serta pegawai kanan Markas Angkatan Bersama mendengar penerangan tentang replika TUAV dari pegawai CTRM di Batu Berendam, Melaka, baru-baru ini.


TIDAK ramai yang sedar bahawa pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) mula popular di dunia semasa berlakunya Perang Dingin antara pejuang ideologi demokrasi, Amerika Syarikat (AS) dengan pejuang fahaman komunis atau sosialis iaitu Kesatuan Soviet (kini Rusia) antara 1945-1991.

Perang yang berlaku tanpa pertempuran secara langsung antara dua kuasa besar dunia pada waktu itu nyata tegang, sehinggakan beberapa negara di muka bumi ini antaranya Jerman dan Korea secara geopolitiknya terbahagi kepada dua iaitu prodemokrasi menentang prokomunis.

Sepanjang waktu itu juga, industri ketenteraan di kedua-dua buah negara kuasa besar berkenaan membangun secara rancak sehinggakan terciptanya teknologi-teknologi canggih.

Pada era itu juga kedua-dua buah negara, AS dan Kesatuan Soviet yang berseteru untuk memenangkan ideologi masing-masing ligat menguatkan teknologi ketenteraan serta sistem perisikan sendiri.

Dengan terciptanya teknologi canggih dan stigma keperluan menguatkan sistem perisikan, AS melalui angkatan tentera dan Agensi Perisikan Pusatnya (CIA) membangunkan UAV secara serius sekalipun penciptaannya dilaporkan telah bermula seawal tahun 1916.

Jika diimbas perkembangan industri pertahanan negara bermula 1970-an, kemampuan industri pertahanan kita begitu kecil dan terbatas.

Pada ketika itu, kebanyakan mereka yang terlibat dalam bidang pertahanan sekadar menjadi agen kepada Pengeluar Peralatan Asli (OEM) sahaja.

Dalam pertahanan, kita bermula dengan Syarikat SME Ordnance yang mengeluarkan peluru kecil.

Kita tidak mempunyai industri pertahanan yang berkemampuan tinggi dalam bidang lebih canggih dan sofistikated.

Tetapi selepas 35 tahun berlalu, kita boleh lihat industri pertahanan sudah dianggap industri yang strategik oleh negara.

Dengan memulakan langkah berani terjun dalam industri ini dengan menubuhkan Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd (CTRM) dan membeli sebuah syarikat pembuat pesawat ringan yang dipanggil Eagle Australia.

Dengan pembelian tersebut, kita telah menghasilkan pesawat Eagle di Batu Berendam Melaka.

Baru-baru ini Panglima Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Allatif Mohammad Noor serta delegasi berkesempatan melawat CTRM untuk melihat sendiri perkembangan pesawat UAV buatan Malaysia yang pertama dan akan dikeluarkan tidak berapa lama lagi bagi meningkatkan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjaga keselamatan negara.

Pengarah Eksekutif Unmanned Systems Technology Sdn. Bhd. (UST), Datuk Rosdi Mahmud dalam taklimatnya berkata, di bawah syarikat konsortium para pencipta UAV itu, CTRM mengepalai program tersebut bagi tujuan rekaan, ujian dan pembuatan pesawat.

Ikramatic pula membangunkan persepaduan rekaan perisian, sistem juruterbang automatik dan muatan (payload), sementara Syarikat SCS membangunkan sistem penyambungan data serta stesen kawalan di darat.

“Hasilnya, konsortium yang disokong dan diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu nyata membuahkan hasil.

“UST yang tertubuh pada 15 Januari 2007 berjaya mencipta UAV buatan Malaysia iaitu Aludra MK I dan kini dalam proses menyiapkan Aludra MK II mereka pula,” katanya.

Malaysia sememangnya berkemampuan menghasilkan pesawat seumpama itu, dengan saintis-saintis tempatan yang sedia ada, Malaysia boleh berjaya dalam industri dan penyelidikan aeroangkasa.

Antara negara-negara lain yang mengkaji dan membina teknologi UAV ini termasuk Amerika Syarikat, UK, Israel dan Singapura.

Kebanyakan negara ini tidak mendedahkan perkembangan teknologi pesawat seumpama itu atas faktor-faktor keselamatan.

Panglima Angkatan Bersama menganggap pesawat yang diusahakan oleh tiga syarikat tempatan itu sebagai satu projek yang berjaya.

Beliau sendiri menyaksikan sendiri pesawat itu di Lapangan Terbang Batu Berendam di sini sebaik saja selesai taklimat dan lawatan ke kilang.

UAV adalah sejenis pesawat ringan yang menggunakan kawalan jauh dan ia mampu membawa kamera, penjejak, peralatan komunikasi.

Kelebihan

Kelebihan pesawat itu adalah kebolehannya melaksanakan misi-misi yang dianggap berbahaya dan berisiko tinggi.

UAV buatan Malaysia itu direka bentuk menggunakan komposit dan perisian tempatan manakala enjin dan kameranya pula diimport dari luar negara.

Aludra MK I, kata Rosdi, telah dipersetujui untuk digunakan oleh Markas Angkatan Bersama (MAB), iaitu gabungan perkhidmatan dalam ATM bermula awal 2008, antaranya di sekitar kawasan operasi perkhidmatan tersebut.

“Ini jelas merupakan sebuah usaha sama yang menguntungkan ATM dan UST,’’ katanya.

Kelebihan memiliki aset berkenaan dilihat dapat memperkasakan MAB selaras dengan arus pemodenan ATM dan sistem pertahanan negara.

Dari segi sejarah Malaysia bukanlah sebuah negara yang agresif dan suka bermusuhan tetapi penggunaan UAV dilihat perlu kerana keadaan politik semasa yang ‘mengancam’ secara bukan konvensional seperti aktiviti pengganas.

Antara spesifikasi Aludra MK I, menurutnya, adalah ia berupaya terbang selama dua jam tanpa henti dengan kawalan dilakukan dalam jarak radius 50 kilometer (km).

Muatannya pula adalah sebanyak 25 kilogram (kg) dan antara lain dibina menggunakan kaca dan fiber.

Sementara itu, UST kini turut membangunkan siri kedua Aludra iaitu MK II dan antara kelebihannya nanti termasuk kemampuan untuk beroperasi sehingga lapan jam tanpa henti.

MK II juga dikatakan mampu dikawal dalam radius sejauh 100 hingga 150 km selain sistem kamera untuk peninjauannya adalah setaraf dengan yang dimiliki negara-negara besar seperti AS dan Perancis.

Ini disebabkan sistem tersebut dibangunkan oleh UST sendiri dengan kerjasama daripada syarikat yang mengusahakan teknologi ketenteraan terkemuka dunia, Thales Corporation.

Keupayaan ini membolehkan UST menjadi syarikat pertama yang mendapat kontrak menyelenggara dan mengoperasikan UAV untuk ATM atau lebih tepat, Markas Angkatan Bersama yang baru ditubuhkan.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah pegawai-pegawai kanan Markas Angkatan Bersama iaitu Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahim Mohd. Yussof, Mejar Jeneral Datuk Roslan Saad, Brig. Jen. Datuk Abu Bakar Md Said, Brig. Jen. Sheikh Mohsin Sheikh Hassan dan Laksamana Pertama Mohd Som Ibrahim.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.