saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/03/2008

Pelantikan Md. Isa selesai kemelut jawatan MB Perlis?

KETIKA cakap-cakap mengenai upacara angkat sumpah Menteri Besar Perlis hangat diperkatakan, Datuk Seri Shahidan Kassim tampil dengan watikah daripada Perdana Menteri berhubung pelantikan beliau ke jawatan itu.

Kenyataan Shahidan disambut dengan reaksi dan nada yang hampir sama oleh kebanyakan orang yang mengikuti perkembangan politik di negeri Indera Kayangan itu.

Rata-rata memberi pandangan sambil mengaitkan pemilihan Shahidan (seperti yang tertera dalam watikah pelantikan itu) dengan 'perjanjian' yang kononnya termeterai ketika pemilihan calon pilihan raya hendak dimuktamadkan.

Ketika itu terdengar cerita bahawa Shahidan akan dilantik semula ke jawatan Menteri Besar untuk tempoh dua tahun sahaja, manakala selepas itu wakil 'kem' yang satu lagi akan mengambil alih.

Itu adalah serpihan daripada 'fail sulit' UMNO Perlis yang didakwa sarat dengan perjanjian timbal balik dalam menentukan siapa bakal menjadi Menteri Besar.

Biarpun ketika itu, belum dapat dipastikan sama ada Barisan Nasional (BN) akan menang di Perlis, namun kedengaran telah ada percaturan tentang jawatan tersebut.

Malah, ketidakserasian nama-nama calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum juga tidak dapat disembunyikan daripada pengetahuan umum. Malah Shahidan sendiri dikatakan tidak mendapat restu pihak tertentu untuk bertanding.

Senario itu menimbulkan cakap-cakap lagi tentang kononnya nama Shahidan tidak tersenarai, begitu juga nama Datuk Seri Azmi Khalid dan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Namun sebaik senarai terakhir diumumkan jelas kesemuanya dicalonkan untuk bertanding, dan semacam ada kelegaan tentang jawatan Menteri Besar apabila Azmi dan Radzi yang disebut-sebut kononnya akan dilantik ke jawatan itu bertanding di kerusi Parlimen.

Namun cakap-cakap mengenai pengisian jawatan Menteri Besar tidak terhenti apabila nama ADUN Pauh, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail pula dikaitkan. Ketika itu nama Datuk Dr. Md. Isa Sabu langsung tidak kedengaran.

Bak kata seorang ahli politik kanan, Perlis biarpun kecil tetapi agenda politiknya amat besar; kerenah ahli politiknya juga amat rencam malah apa yang berlaku dalam politik Perlis tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Sebab itu apabila selepas enam hari berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga, isu pelantikan Menteri Besarnya masih tidak selesai.

Dan ia dilihat oleh banyak pihak sebagai menyambung 'sesuatu yang tidak kena' sebelum pilihan raya lalu yang terhenti kerana masing-masing sepakat untuk memastikan kemenangan BN di situ.

Shahidan sendiri amat arif tentang wujudnya kelompok yang enggan menerima beliau sebagai Menteri Besar sehingga ADUN Tambun Tulang itu memohon kepada Perdana Menteri agar tidak diberi jawatan tersebut.

Timbul tanda tanya adakah Shahidan menyerahkan nama orang lain kepada Perdana Menteri jika beliau tidak berminat untuk dilantik ke jawatan itu atau sekadar memberitahu bahawa dia tidak mahu diberi jawatan tersebut?

Penduduk Perlis tentunya arif tentang apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pelantikan Md. Isa - Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong - sebagai Menteri Besar biarpun nama Shahidan tercatat dalam watikah pelantikan.

Malah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengesahkan bahawa beliau menamakan Shahidan dalam watikah pelantikan itu. Namun bagi penduduk Perlis, mereka mungkin telah lama bersedia untuk menunggu 'kejutan' itu, selepas riuh rendah sebelum pilihan raya lalu berhubung pemilihan calon yang akan bertanding.

Cuma yang mengejutkan ialah Shahidan bukan sahaja tidak diberi tempoh dua tahun seperti cakap-cakap sebelum ini malah untuk tempoh sehari pun beliau tidak berpeluang memegang jawatan itu.

Jika dilihat kepada alasan pemilihan Md. Isa kerana mendapat kepercayaan majoriti ADUN, maka ia boleh mewujudkan satu andaian mengenai pakatan untuk menang pilihan raya dan pakatan untuk memilih Menteri Besar.

Nampaknya kesepakatan untuk memastikan kemenangan BN tidak sama dalam hal memuktamadkan siapa Menteri Besar.

Adakah Shahidan diizinkan bertanding semata-mata untuk memastikan BN terus berkuasa di Perlis? Benarkah tanpa Shahidan kejayaan seperti yang diumumkan pada 8 Mac lalu tidak akan berjaya dicapai?

Benarkah jika Shahidan tidak bertanding rakyat Perlis akan bertindak memangkah parti lain? Jika jawapannya benar, maknanya jasa Shahidan memastikan BN terus meneraju Perlis tidak boleh diperkecilkan.

Jka jawapannya tidak benar, mungkin ada faktor-faktor lain yang orang luar tidak tahu tentang kemenangan BN di Perlis.

Soalnya, adakah pelantikan Md. Isa benar-benar mendapat sokongan majoriti ADUN di negeri itu, atau janji dua tahun terpaksa dipercepatkan demi kepentingan pihak tertentu?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.