saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/03/2008

Orientasi Kabinet rakyat


Abdullah Ahmad Badawi (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet barunya di Bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya semalam.


KABINET 2008 telah memperuntukkan 52 peratus kerusi kepada bakat-bakat baru untuk menerajui kepimpinan.

Senarai jemaah menteri yang mengangkat sumpah semalam juga menunjukkan bahawa kedudukan sebagai pemimpin kanan di dalam Majlis Tertinggi UMNO atau lain-lain jawatan dalam parti tidak menjadi keutamaan.

Ia juga bukan lagi syarat untuk melayakkan mana-mana pemimpin memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Isyarat ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO dan parti komponen BN sendiri perlulah sedar bahawa untuk menjadi pemimpin, yang penting ialah usaha dan perjuangan memantapkan parti dan negara melebihi daripada angan-angan peribadi.

Untuk itu, perebutan untuk sebarang jawatan parti masa kini adalah tidak relevan jika dikaitkan dengan kelayakan sebagai bakal wakil rakyat dan juga Menteri Besar atau menteri. Lebih-lebih lagi jika rakyat kini telah dilihat ‘berani mencuba’ kepada sesuatu yang baru, serta pula sanggup menanggung risiko akan keputusan yang dibuat semasa hari pengundian.

Dengan kombinasi 14 muka lama yang berpengalaman menjadi menteri bersama 16 muka baru, pastinya Kabinet baru ini diharapkan ‘hidup’ dengan kepelbagaian idea serta inovasi terkini.

Kumpulan ini diharap mampu memberikan ‘nasihat’ serta pandangan yang luhur dan benar kepada Perdana Menteri untuk membolehkan beliau mengetahui hal sebenar kehidupan rakyat.

Segala isu dan rentetan persepsi rakyat yang menjadi punca merosotnya pencapaian Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu perlu segera diperjelaskan secara komprehensif.

Satu tindakan pembetulan kepada kesan jaringan ekonomi membabitkan peningkatan kos yang tidak memihak kepada rakyat perlu diberi perhatian serius.

Semua kementerian terutama yang membabitkan pelajaran, penerangan, hal ehwal dalam negeri, perumahan, sumber manusia, hal ehwal pengguna perlu diperkasakan supaya lebih dilihat berjiwa rakyat.

Kementerian berkenaan juga mesti berperanan menyelesaikan masalah rakyat yang kini berlegar kepada perkiraan kos sara hidup.

Penghapusan jawatan setiausaha Parlimen pastinya memberikan isyarat bahawa kabinet 2008 bukanlah satu Kabinet yang berorientasikan ‘restu’ Perdana Menteri selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Kabinet 2008 juga mesti bebas daripada persepsi bahawa ia mempunyai kaitan dengan cubaan menempatkan diri di kalangan majlis tertinggi dalam UMNO mahupun komponen BN dan terjebak dalam kancah merebut jawatan semata-mata.

Menteri-menteri yang dilantik seharusnya sedar bahawa tanggungjawab mereka adalah lebih besar daripada jawatan dalam parti. Mereka seharusnya menjauhkan diri dari polemik parti dan berusaha menunaikan tanggungjawab serta amanah kerajaan, rakyat dan juga parti pemerintah dengan membanyakkan kerja untuk kerajaan dan rakyat.

Kini dengan senarai Kabinet baru, peruntukan jawatan menteri sebanyak 32 dan timbalan menteri (37) tanpa setiausaha Parlimen juga memberi isyarat bahawa Perdana Menteri mahukan anggota Kabinetnya berorientasikan Parlimen.

Mereka mesti berkesanggupan untuk menjawab dan memberikan input secukupnya kepada Parlimen yang bakal bersidang dan dijangka ‘panas’ dengan pertambahan wakil-wakil rakyat blok pembangkang.

Kabinet kali ini juga mesti dipastikan bukanlah bersifat ‘perkauman’ Melayu semata-mata.

Realiti yang perlu masyarakat Malaysia fikirkan ialah hasil fikiran serta persepsi negatif yang membelenggu rakyat pada pilihan raya lalu telah mewujudkan kelompok kaum bukan Melayu tidak menyokong kerajaan. Ini adalah pengajaran kepada mereka agar tidak menggadaikan kepentingan kaum masing-masing dalam kerajaan semata- mata kerana terpengaruh dengan pembinaan persepsi menyatakan pembangkang mampu mewakili suara mereka.

Walaupun Kabinet ini dilihat mempunyai perubahan dari segi struktur dan kriteria pemilihan ke jawatan menteri dan timbalan menteri, namun hakikatnya, golongan belia di bawah umur 40 tahun tidak diwakili dalam Kabinet.

Hanya Datuk Shaziman Abu Mansor yang dilantik sebagai Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi berusia bawah 45 tahun, sedangkan negara juga memerlukan golongan belia untuk bersama-sama di dalam kabinet bagi menyampaikan suara dan pandangan pengundi ‘saluran 3’ kepada kerajaan. Purata umur 55 tahun para menteri Kabinet kini menggambarkan mereka adalah daripada generasi sebelum merdeka.

Yang pasti golongan pasca merdeka sepatutnya diberikan juga peluang lebih luas bagi diwakili dalam Kabinet genting 2008 ini. Jika kerajaan masih tidak memberikan peluang kepada golongan berusia 21 tahun hingga 40 tahun ke jawatan Kabinet, maka yang pastinya, ia mengecewakan golongan pengundi ‘saluran 3’ yang semakin ramai.

Pengundi ‘saluran 3’ yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan suara muda yang mewarnai pasaran kerja sekarang ini semestinya inginkan sekurang-kurangnya seorang wakil dalam Kabinet bagi mewakili kumpulan itu.

Adalah wajar pihak kerajaan mempertimbangkan golongan belia yang bukan daripada ‘segerombolan’ Pemuda UMNO yang telah ditolak rakyat.

Kerajaan boleh memilih daripada kalangan belia yang mewakili golongan akademik dan profesional yang mampu memperkukuhkan usaha kerajaan memantapkan negara daripada hanya menguar-uarkan retorik politik.

Wajah Kabinet baru yang memulakan tugas semalam diharap mampu merealisasikan cita-cita kerajaan untuk melaksanakan pentadbiran berorientasikan ‘penyampaian’ kepada rakyat.

Yang pasti Kabinet 2008 merupakan satu kabinet terpenting dalam sejarah politik BN dan Malaysia yang perlu bekerja memenuhi tuntutan rakyat agar BN mampu terus berkuasa dan mendapat kepercayaan rakyat secara meluas sama seperti sebelum pilihan raya pada 8 Mac 2008.

Adakah kabinet 2008 ini akan memberikan ‘tsunami politik’ baru kepada rakyat, maka sama-samalah kita saksikan dan nilai dengan setulus hati tanpa prejudis atau prasangka.

* PENULIS ialah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.