saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 21/03/2008

Gua Hira’ jadi inspirasi


Bila rock dan nasyid bersatu, ia memberikan impak yang sangat besar. Gandingan Amy (kiri) dan Asri membuktikan seni tiada sempadannya asalkan usaha itu berlandaskan kejujuran.


KETIKA berkunjung ke Tanah Suci Mekah, Mei tahun lalu, pejuang rock sejati tanah air, Amy Search memperoleh ketenangan dan kedamaian yang sama sekali berbeza.

Selama 25 tahun menyanyi, Amy menyifatkan kunjungan ke rumah Allah itu sangat mendamaikan dan kedamaian itu tidak pernah diperoleh sepanjang menjadi anak seni.

“Kedamaian di sana juga sekali gus membawa ingatan saya kepada sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w, kembali menghayati detik-detik kesukaran dan cabaran baginda ketika memperluaskan syiar Islam,” Amy berkongsi cerita kunjungannya ke sana.

Ketika di Mekah dan Madinah, hati Amy sentiasa luluh lantaran keinsafan dan ingatan yang tidak pernah padam terhadap Allah, Rasulullah, perjuangan sahabat-sahabat dan kemurnian Islam.

Ketika berada di sana juga, ada momen yang paling sukar dilupakan seniman yang bakal mencecah usia 50 tahun Julai depan iaitu ketika menapak menjejaki Gua Hira’ iaitu tempat di mana junjungan besar Rasulullah s.a.w memperoleh wahyu pertama.

Di luar sangkaan Amy, ketika dalam perjalanan ke Gua Hira’, tiba-tiba lirik lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur bermain di fikirannya.

“Saya terdengar seni kata lagu tersebut terngiang-ngiang di telinga saya. Saya sangat terkejut sebab perjalanan ini merupakan tempat di mana Rasulullah s.a.w mendapat wahyu pertama.

“Saya terdiam dan tegak bulu roma saya ketika itu dan tertanya-tanya dalam diri apakah hikmah di sebalik ujian itu,” Amy mendedahkan cerita.

Dalam nada rendah diri, Amy mengakui, fikirannya sedikit terganggu ketika itu dan gangguan-gangguan nakal yang tidak diundang mula mengambil tempat di hatinya.

Namun, Amy seorang yang realistik dan dia sangat percaya dan mengagungkan kebesaran Allah.

Menginsafkan

“Selepas berfikir sejenak, saya mula menyedari lagu tersebut mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu menginsafkan khalayak yang mendengarkannya.

“Mesej yang tersurat di sebalik lirik lagu itu begitu mendalam jika dihayati betul-betul,” jelas vokalis utama kumpulan Search ini dalam tutur bicara yang lemah lembut biarpun di pentas pertunjukan dialah raja pentas.

Lalu, apabila kumpulan nasyid popular, Rabbani mempelawa Amy untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu, rocker tersohor tanah air ini tidak teragak-agak menawarkan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur sebagai sandaran.

“Gua Hira’ menjadi inspirasi saya. Seperti yang saya jelaskan, lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur bukan sebuah lagu yang hanya untuk hiburan semata-mata,” tegas Amy mengenai falsafah di sebalik lagu dan lirik ciptaan sifu M. Nasir itu yang dimuatkan dalam album kompilasi Rabbani 1418-1428 H.

Permulaan kolaborasi antara mereka bermula apabila beberapa anggota kumpulan nasyid itu diketuai Ustaz Asri bertandang ke rumahnya selepas membaca artikel mengenai pengalaman Amy mengerjakan umrah.

“Kata Ustaz Asri, Rabbani mahu mengadakan kolaborasi. Saya tidak berfikir panjang bila diajak berbuat demikian. Saya percaya, gandingan ini boleh menawarkan banyak manfaat dan terus bersetuju,” cerita Amy lagi.

Hasilnya, Amy sangat berpuas hati apabila mendengarkan hasil kolaborasi ini lantaran susunan melodinya bertambah indah hasil kerja tangan pemuzik tersohor Jenny Chin atau nama Islamnya, Nadirah Chin Abdullah.

Sementara itu, Ustaz Asri yang mewakili Rabbani mempertahankan tindakan kumpulan nasyid itu yang sering menampilkan kejutan dalam variasi lagu nasyid nyanyian mereka.

Kelainan

Menurut Ustaz Asri, usaha paduan vokal yang melibatkan Amy dan Mawi menerusi lagu yang dimuatkan dalam album Rabbani 1418-1428 hanya bersandarkan hasrat untuk menampilkan kelainan kepada peminat.

Bahkan, jauh di sudut hati, Rabbani kata Ustaz Asri, tidak pernah terlintas untuk menumpang populariti penyanyi-penyanyi popular tersebut.

“Saya tak terfikir atau beranggapan untuk tumpang populariti sesiapa. Apa yang kami cuba lakukan ialah untuk menampilkan sesuatu yang baru dan mencari kelainan kepada peminat.

“Sebab untuk bertahan lama dan mengekalkan peminat yang sedia kita perlu kreatif supaya usaha kita nampak di mata masyarakat. Kita perlu lakukan sesuatu untuk menonjolkan kumpulan kita,” jelas Ustaz Asri mewakili kumpulannya.

Selain lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur nyanyian bersama Amy Search, album kompilasi itu turut memuatkan lagu Saksi nyanyian Rabbani secara duet dengan Mawi selain himpunan lagu-lagu terbaik mereka dari album pertama hingga ke -15.

Menyambung perbualan, Ustaz Asri yang juga bapa kepada enam orang anak berkata, pemilihan Amy sangat bersesuaian kerana mereka tertarik dengan pengalaman yang telah dilalui oleh penyanyi rock tersebut ketika mengerjakan umrah lalu.

“Setelah membaca artikel Amy kami terpegun. Alhamdulillah beliau senang diajak berunding. Setelah berbincang dua, tiga kali terus menjadi projek ini,” kata Ustaz Asri yang berterima kasih kepada Amy dan Mawi kerana sudi menerima pelawaan Rabbani.

Bercerita lanjut mengenai kolaborasi dua genre muzik itu kata Ustaz Asri: “Pada mulanya memang susah untuk saya nyanyikan lagu tersebut. Sebab nadanya sangat tinggi sehingga saya minta susunan muziknya direndahkan sedikit. Itu pun masih tinggi. Tapi apa yang pasti saya mahu lagu tersebut mencerminkan identiti nasyid kami dan bukannya identiti rock.”

Revolusi muzik nasyid yang dilalui Rabbani selama berjuang dalam industri hiburan seringkali mencetus pelbagai perdebatan.

Ada yang berpendapat, lagu-lagu nasyid nyanyian Rabbani tersasar daripada landasan muzik nasyid yang sedia ada.

Sebelum ini, kumpulan ini pernah merakamkan lagu Pergi Tak Kembali ciptaan KRU berteraskan genre pop yang mendakwa Rabbani seperti meminggirkan objektif utama lagu nasyid.

Bagaimanapun, Ustaz Asri mempunyai pandangan tersendiri berhubung dakwaan itu.

“Berdasarkan kajian yang kami buat, nasyid sebetulnya berasal dari negara Arab yang membawa maksud muzik itu sesuatu yang harus.

“Macam mana kita adunnya itu yang penting kerana ia akan menjadikan sesebuah muzik itu halal dan haram.

“Bagi saya apa yang penting ialah apa sahaja yang kita lakukan tidak terkeluar dari landasan dan mengekalkan identiti nasyid itu sendiri,” ujar Ustaz Asri menjelaskan salah faham sesetengah pihak terhadap perjuangan nasyid Rabbani.

Pada masa yang sama, Ustaz Asri tidak menafikan, mana-mana penyanyi mampu menyanyikan lagu-lagu nasyid.

“Tetapi perlu diingat lagu-lagu nasyid itu haruslah disampaikan sambil berdakwah, barulah keberkatan diperoleh oleh semua pihak,” katanya.

Mentari Merah Di Ufuk Timur

Ada yang tertinggal

Setelah terbenam mentari

Ada yang tertinggal

Setelah kering air di kali

Alam telah menyakinkan

Kau mesti pergi

Kau mesti

Alam telah menyakinkan

Kau mesti kembali

Bagai yang telah dijanjikan Ilahi

Ada yang tertinggal

Setelah musnah semua mimpi

Kekal selamanya

Cintaku dengan cahayamu

Kekal selamanya

Tetap dalam ingatanku

Lemas dalam rindu

Tenggelam dalam tangisan

Engkau telah pergi

Tapi masih ada...

Yang kau tinggalkan dalam kalbuku

Yang tinggal...

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.