saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/03/2008

AZHARINA fahamilah saya


AZHARINA.


AZHARINA AZHAR, namanya menguntum dek kerana keindahan suara yang tersendiri. Namun nama Azharina juga paling kerap dikaitkan dengan cerita-cerita yang kurang enak. Gosip, kontroversi dan isu menjadi sebahagian pencetus menyebabkan kehadirannya dalam industri seni menjadi bualan.

Walaupun usianya dalam bidang nyanyian boleh dikatakan masih hijau namun sudah banyak kisah-kisah panas dijaja. Antara yang hangat tentulah kisah perkahwinannya dengan seorang peguam berusia 50 tahun bergelar Datuk S atau Datuk Syukri Haji Mohd.

Akibat kontroversi itu nama Azharina menjadi panas apalagi gadis berusia 23 tahun dari Sabah ini juga dikatakan antara artis yang suka “cakap lepas”.

Tidak ketinggalan kisah ‘ketegangan’ hubungan dengan Julfekar, komposer dan penerbit yang membawa nama Azharina ke puncak kegemilangan sebagai anak seni.

“Apa kata-kata yang tak dilemparkan kepada saya. Meronggeng, menggedik. Suka berfoya-foya dan keluar malam. Semua ada,” kata Azharina lewat pertemuan dengannya akhir bulan lalu.

Tegas penyanyi itu, dia tidak mampu untuk menutup mulut orang daripada bercakap walaupun hakikatnya, kata Azharina, dia sebenarnya seorang yang suka duduk di rumah sehinggakan ada kalangan teman rapat memanggilnya gadis antisosial.

“Kehidupan saya bukan seperti orang lain. Orang jumpa suami setiap hari. Saya jumpa suami sebulan sekali. Jadi apabila ada masa, saya suka untuk menghiburkan diri sendiri. Bukan keluar-keluar malam. Mandi berjam-jam misalnya adalah minat saya.

“Selain itu saya juga suka sibukkan diri dengan kerja. Saya boleh kerja dan kerja tanpa henti. Tak apa. Tapi kalau tak ada kerja, saya boleh demam. Kira duit, itu hobi saya.

“Saya bersyukur dan begitu berterima kasih kerana suami amat memahami saya. Malah kami pun click (serasi) sebab kami berdua hantu bekerja,” kata Azharina yang kini menguruskan Top 3 Productions Sdn. Bhd. selain Azharina Entertainment bagi mengendalikan aktiviti seninya.

Menurut Azharina, dengan bekerja dia dapat merasai kepuasan yang berlainan dengan bidang nyanyian. Dia telah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan. Hampir enam tahun mengendalikan Azharina Entertainment dan Top 3 Productions sudah dua tahun wujud mengendalikan pelbagai projek korporat dan kerajaan.

“Saya mempunyai tulang belakang yang kuat dalam bisnes. Selain suami yang banyak memberi sokongan dan dorongan, rakan kongsi saya, Ariffin Ibrahim juga merupakan antara orang yang banyak mengajar saya mengenai dunia perniagaan,” katanya yang mengakui banyak menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah, tempat kelahirannya.

“Saya akui rezeki di bidang ini memberangsangkan. Lebih-lebih lagi, saya mempunyai PR (perhubungan awam) dan reputasi yang baik selain jujur ketika mengendalikan bisnes.

“Paling saya utamakan, disiplin. Bagi saya ketepatan masa menjadi kunci kepada kejayaan seseorang dalam bidang ini,” tambahnya.

Mengakui seorang majikan yang garang dan amat tegas, Azharina amat mementingkan kerja yang sempurna.

Tidak hairanlah kerana itu, dia sendiri lebih suka membuat sendiri hiasan dalaman pejabat yang didudukinya sejak Januari lalu yang terletak di Puchong, Selangor.

“Hiasan dalaman juga merupakan kecintaan saya,” katanya sambil tersenyum.

Hak peribadi

Mesra memanggil dirinya Nina, memang jika diamati gadis ini seorang yang kuat bercakap dan ada ketikanya bercakap mengikut kata hatinya. Jika bekerja, dia seorang yang garang, dalam menguruskan hak peribadi dan menjaga reputasi khususnya yang berkaitan maruah keluarga pula, dia amat tegas.

Kerana kata Azharina, itulah yang diajar oleh ayahnya. “Berjuang dan hadapinya demi satu kebenaran. Itu kata-kata ayah yang disematkan ke dalam diri saya sejak kecil.

“Ya, ada kalanya saya bercakap lepas dan buat banyak pihak menyalah- ertikannya. Saya mohon maaf. Kerana saya juga manusia biasa yang ada buat silap dan salah.

“Tapi perkara berkaitan dengan harga diri dan maruah adalah satu perkara yang perlu pertahankan. Malangnya kenapa jika ada persoalan, tidak pernah bertanyakan kepada saya secara terus terang?

“Kalau ditanya, saya sanggup bercerita tentang keadaan dan perkara sebenar,” katanya yang kemudiannya menjelaskan mengapa dia menafikan kisah perkahwinannya sebelum ini apabila ditanya pihak media.

“Pertamanya tentulah kerana kerjaya. Begitu juga dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Saya perlu jaga semuanya. Kena ambil masa untuk sesuaikan keadaan. Dan saya juga kena jaga hati ramai orang,” jelas Azharina.

Menurut penyanyi yang dilahirkan menerusi Bintang RTM ini, orang boleh menilai dan membuat pelbagai persepsi terhadap dirinya mengikut kehendak masing-masing.

Namun kepada dirinya, apa sahaja pandangan orang, dia tidak peduli malah siapa dirinya untuk menutup mulut orang daripada bercakap.

“Orang tak kenal saya pun. Mereka kalau tahu siapa Azharina maka akan terjawablah segala soalan-soalan itu.”

Berbahagia dengan kehidupannya sebagai isteri, walaupun tidak bersama setiap hari namun Azharina mengakui suaminya seorang lelaki yang baik hati dan amat manja.

Telah mengenali suaminya sejak berusia 17 tahun dan kedua-duanya telah mendirikan rumah tangga selama dua tahun.

“Bila keluar cerita tentang saya tidak tahu suami saya dulu adalah seorang Datuk, orang ingat saya mengada-adakan cerita. Tapi itulah kebenarannya. Jadi apa yang saya perlu buat?

“Akhirnya ia berbalik kepada nawaitu. Alhamdulillah, keluarga sentiasa berada bersama saya. Suami juga amat sabar dengan semua komen-komen yang ibaratnya boleh membunuh saya. Begitu juga dengan dua tiga orang yang rapat dan tahu diri saya.

“Mereka ini sentiasa di sisi kala susah, senang, sedih, marah, kecewa mahupun gembira. Mereka ini tidak menyibuk dengan perkara peribadi saya,” kata Azharina.

Malah kata Azharina, kepada sesiapa yang ingin mendekati dirinya dan mengetahui isi hatinya, layari laman web www.azharinaentertainment.com kerana kata penyanyi bersuara serak basah ini, banyak persoalan yang berkaitan peribadi dijawab di laman itu.

“Saya menaip selama satu setengah jam untuk meluahkan segala perasaan saya di dalamnya. Ia menjawab semua soalan peminat selama ini termasuk yang amat peribadi,” katanya yang hanya akan melancarkan laman webnya itu dalam tempoh tiga bulan ini apabila mencapai angka 100,000 pengunjung.

Siapa Azharina Azhar sebenarnya?

Dek kerana terlalu banyak sangat cerita-cerita tentang Azharina yang diperkatakan, maka saya bertanyakan kepada siapa sebenarnya Azharina Azhar?

Kala soalan itu diajukan, Azharina ketawa sambil memberitahu yang dia seorang yang keras kepala, garang dan sangat kuat bekerja.

“Saya juga pemurah dan suka bagi orang makan juga seorang handyman. Sebab kalau lampu rosak pun saya boleh betulkan.

“Saya profesional. Kalau bekerja, saya kerja sungguh-sungguh dan kalau enjoy, saya enjoy betul-betul.

“Saya suka membeli-belah. Jadi saya kumpul duit dan pergi Thailand dan Singapura untuk membeli-belah. Paling saya suka tentunya kasut dan beg tangan.

“Saya juga jenis yang dapatkan apa yang saya mahu. Kalau saya suka, maka saya sukalah. Kalau tak, maaf, saya tak suka.

“Oleh kerana saya seorang yang sukakan kesempurnaan, saya juga suka meletakkan harapan yang tinggi kepada semua perkara,” jelasnya.

Ditanya mengenai cahaya mata, kata Azharina, isteri mana yang tidak mendambakan zuriat bersama orang tersayang.

“Malah kalau boleh saya mahu hantar anak belajar dan mendalami agama,” tegasnya.

Biar masih belum mempunyai rezeki namun kelahiran Madani Iwana Irish memberikan sinar kebahagiaan kepadanya.

“Dia ialah anak adik saya. Memang saya gembira memiliki anak saudara perempuan. Bolehlah saya wasiatkan beg tangan dan kasut saya kepada dia nanti,” katanya sambil ketawa.

Menurut Azharina, dia juga amat menyayangi adik-adik lelakinya, Mohd Adam, 16, dan Mohd Aiman, 8.

“Kami membesar situasi berbeza. Ibu bapa bercerai dan sebagai kakak sulung, saya mahu cari duit untuk membantu membesarkan adik-adik,” katanya.

Kisah Julfekar

Ingin juga menelah hatinya terhadap kontroversi bersama Julfekar yang diibaratkan seperti kacang lupakan kulit, tegas Azharina, perselisihan faham itu lebih melibatkan soal kontrak.

Mengakui tidak pernah mengambil royalti untuk kedua-dua albumnya, Azharina (2003) dan Nina (2005), kini kesnya dalam proses perundangan.

“Masa itu saya naif. Yang saya tahu nak buat album. Apa pun, saya menghormatinya sebagai seorang yang telah membawa saya ke dalam dunia seni ini.

“Tetapi bercakaran, tidak ada. Saya tidak pernah burukkan Julfekar dengan orang lain. Malah saya sentiasa percaya setiap manusia ada buruk dan baiknya.

Julfekar seorang yang baik cuma ada sesetengah perkara, saya tidak bersetuju dengannya. Sebab bila ia tentang bisnes, ia adalah mengenai bisnes. Itu saja,” jelas Azharina.

Kini sedang mencari lagu untuk dijadikan single bagi mengekalkan momentum seorang penghibur, Azharina juga merancang untuk menerbitkan album penuhnya sendiri tidak lama lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.