saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/03/2008

Buku politik jadi pilihan

ISU politik kini menjadi rempah ratus paling baik untuk resipi pelaris akhbar arus perdana, tabloid mahupun majalah.

Buat masa ini isu pelantikan Menteri Besar dan Exco, krisis istana dengan orang politik, lompat melompat parti, pembongkaran tentang pentadbiran lama, kritikan terhadap pentadbiran baru, tuding-menuding, salah-menyalah akan terus mengisi dada akhbar dan majalah.

Sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga atau empat tahun lagi sebelum menjelang pilihan raya umum yang baru, terlalu banyak yang boleh dijadikan modal berita, kupasan dan analisis.

Kerapuhan kerajaan campuran baru di beberapa negeri di Semenanjung bakal mengundang keadaan politik yang tidak stabil sekurang-kurangnya menjelang satu lagi pilihan raya umum.

Sekaranglah masa yang terbaik bagi akhbar dan majalah meraih jualan. Masa yang panas ini juga sesuai untuk memulakan majalah dan tabloid baru. Dan sekaranglah juga masanya penulis politik mempertajam pena masing-masing kerana pasaran terhadap buku politik akan menjadi lebih besar.

Chamil Wariya, Zainuddin Maidin, Subky Latif, Lotfi Ismail, Yahya Ismail, S.H. Alattas, Khalid Jafri, Norzah Kepol, Sayuti Omar, Ruhanie Ahmad, Zakaria Bidin, dan ramai lagi adalah antara penulis politik yang pernah memeriahkan suasana politik di negara ini dengan tulisan mereka.

Biografi politik pula banyak ditulis oleh Aziz Zariza, Victor Morais dan Ramlah Adam.

Penulis politik ini mempunyai ceruk dan minat tertentu. S.H. Alattas dan Yahaya Ismail dikenali akan buku-buku mereka menjelang perhimpunan agung UMNO. Norzah Kepol pula boleh dianggap penulis politik wanita. Antara buku politik yang dihasilkannya ialah Konspirasi, Rafidah vs Azalina, Kabinet Khairy, Fitnah Hang Nadim Moden dan mungkin ada beberapa lagi.

Kesedaran politik penting ditanam pada rakyat segenap lapisan. Buku politik pernah suatu ketika dulu memainkan peranan dalam membangkitkan kesedaran politik masyarakat. Beberapa tokoh politik, wartawan dan penulis politik telah muncul sebagai penulis politik yang dikenali.

Dalam masa kerajaan bersikap lebih terbuka terhadap buku politik, wajarlah penulis politik mengambil kesempatan yang ada, asalkan mereka berhemah dan mengamalkan etika penulisan yang betul selain mematuhi undang-undang berkaitan penulisan dan penerbitan.

Sebahagian besar buku yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah buku agama yang menyongsang daripada ajaran ahli sunnah waljamaah, bukan buku politik.

Pemimpin politik negara ini juga ada yang pandai menulis dan karya mereka dikenali.

Klasik

Selain Tunku Abdul Rahman yang terkenal denga karyanya Looking Back, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah antara pemimpin yang prolifik dengan karya politik, salah satu yang kini sudah dianggap klasik ialah The Malay Dilema.

Senu Abdul Rahman terkenal dengan bukunya Revolusi Mental. Aziz Ishak tidak akan dilupakan kerana karyanya Special Guest.

Tidak kurang yang menulis secara sindiran dalam bentuk satira seperti novel Shit, oleh Shahnon Ahmad yang menyinggung pemimpin nombor satu ketika diterbitkan dan menimbulkan banyak polemik tetapi tidak pernah diharamkan oleh kerajaan.

Konflik orang politik dengan sultan dan istana bukanlah perkara baru bahkan sudah banyak ditulis misalnya oleh Chamil Wariya, Krisis Sultan - Menteri Besar dan Politik dan Raja (1992). Manakala Syed Hussein Alattas menulis Revolusi Istana dan Rakyat (1989).

Krisis yang dihadapi sekarang bukanlah sesuatu yang baru dan sensitif memandangkan telah biasa ditulis sebelum ini.

Selain Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim menjadi subjek politik yang menjadi kegemaran dan laris untuk dibukukan. Semakin media arus perdana menggelapkan namanya semakin menjadi-jadi tulisan tentang beliau diterbitkan sama ada yang memihak mahupun yang mengkritik peribadi beliau.

Di sebalik beberapa suara mengusulkan Perdana Menteri melepaskan kedudukannya sebagai memikul tanggungjawab atas menurunnya prestasi dalam pilihan raya lalu, banyak pihak yang lain mengukuhkan ikrar taat setia. Polemik kedudukan Perdana Menteri bukan tidak pernah berlaku bahkan lebih hebat lagi semasa Dr, Mahathir berkuasa atau lebih awal lagi.

Subky Latif antara yang gemar menulis tentang ini terutama sewaktu kepimpinan Tun Razak. Beliau pernah menerbitkan Siapa Selepas Tun Razak? (1975), Suka Duka Politik Tun Razak (Subky Latif 1976). Subjek yang sama kemudian ditulis oleh ramai penulis misalnya Yahaya Ismail menulis Mengapa Mahathir dicabar? (1987). Bukunya yang menyentuh calon Perdana Menteri ialah Khairy Jamaluddin: Bakal Perdana Menteri? (2004).

Pergolakan dalam Pas dan politik Kelantan juga menjadi subjek yang menarik minat sebahagian besar penulis seperti Subky Latif, Yahaya Ismail dan Mohd. Sayuti Omar. Subky menulis Siapa Ganti Asri (1977).

Sebagai parti politik pemerintah yang lama berkuasa, Barisan Nasional dan UMNO sentiasa mendapat perhatian penulis. Semasa pentadbiran Dr. Mahathir yang panjang, sering timbul polemik tentang pengganti beliau.

Krisis dalaman kepimpinan Pemuda UMNO juga sering dijadikan bahan penulis politik maka kita dapat membaca Kemelut Baru Pemuda UMNO! dan Dilemma Pemuda UMNO (Subky Latif 1996). Subky Latif menulis pelbagai krisis awal BN dalam bukunya Barisan Nasional Digugat dan Digigit (1978) dan Dilemma Pemuda UMNO (1976). Kedudukan kerusi nombor dua memang sering dibincangkan sejak dulu lagi. Justeru kita dapat membaca Krisis Timbalan Perdana Menteri (Subky Latif 1976).

Kebelakangan ini kepimpinan baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat perhatian penulis politik lama dan baru. Chamil Wariya antara yang paling banyak menulis tentang subjek ini.

Sebahagian daripada karya beliau ialah Naik, Jatuh dan Bangun Semula: Abdullah Ahmad Badawi dan Politik Malaysia (2005), Kesinambungan dan perubahan: Malaysia di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi (2004), Abdullah Ahmad Badawi: Perjalanan Politik PM Ke-5 (2004), Potret Peribadi Abdullah Ahmad Badawi (Chamil Wariya 2006) dan Endon Mahmood: Potret Srikandi Berjasa (2006).

Dengan pergolakan politik sekarang, tentulah banyak perkara yang dapat dijadikan bahan oleh penulis politik. Penulis hantu dan penulis upahan memang tetap wujud dalam mana-mana masyarakat.

Bagaimanapun, masyarakat menanti buku yang berbobot, analitikal, mendalam dan objektif. Meskipun Internet semakin popular bagi mendapatkan maklumat terkini, buku politik kekal sebagai bacaan untuk mereka yang ingin membaca secara santai. Buku politik akan terus kekal memenuhi keperluan peminatnya. Pasaran dan permintaan yang meningkat membuktikan buku politik tetap ditunggu apabila berlaku krisis dalam politik negara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.