saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 26/03/2008

Stadium Kuala Selangor sepi


Bahagian berbumbung di Stadium Kuala Selangor masih berada dalam keadaan memuaskan.


KUALA SELANGOR 25 Mac – Kuala Selangor merupakan antara daerah di Selangor yang ‘bertuah’ kerana mempunyai kemudahan kompleks sukan termasuk sebuah stadium yang besar.

Stadium itu dirasmikan pada 13 September 1999 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pernah menjadi gelanggang Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) kali ketiga.

Stadium tersebut yang dibina di kawasan seluas 8.1 hektar dan terletak kira-kira satu kilometer dari pusat bandar dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, padang bola sepak, trek, tempat duduk berbumbung, bilik persalinan, surau dan tandas.

Namun, kini Stadium Utama Kuala Selangor kian sepi daripada aktiviti sukan sehinggakan ada pihak yang menganggap pembinaan stadium itu sebagai projek ‘gajah putih’.

Walaupun objektif utama pembinaannya adalah untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk bergiat aktif dalam bidang sukan, namun ia tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di kawasan terbabit.

Antara puncanya ialah kadar sewa yang dikatakan tinggi bagi penduduk kawasan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, akibat kurang digunakan, beberapa peralatan terutama pintu masuk sudah mulai rosak atau ada komponennya yang sudah hilang.

Hampir keseluruhan pagar besinya pula sudah berkarat dan struktur itu mungkin akan rosak jika usaha pembaikan termasuk dicat semula tidak diambil.

Namun, tinjauan mendapati kemudahan padang, trek dan tempat duduk masih diselenggara dengan baik dan sedia untuk digunakan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah telah mula berlaku mendapan di sekeliling stadium itu yang dipercayai bermula sejak beberapa tahun lalu.

Menurut seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Omar, 48, mendapan tersebut berlaku akibat daripada struktur tanahnya yang lembut kerana tapak asal stadium adalah hutan paya bakau.

Katanya, mendapan yang berlaku sedalam kira-kira lapan sentimeter itu menyebabkan ada bahagian lantai stadium itu pecah dan memerlukan ia disimen semula.

Bagaimanapun, ujarnya, setakat ini, mendapan tersebut tidak menjejaskan aktiviti-aktiviti sukan yang diadakan di situ tetapi ia boleh mengundang bahaya kepada pengguna jika tidak dipantau dengan rapi.

Selain stadium utama, stadium tertutup yang terletak bersebelahan juga turut mengalami mendapan.

“Sebelum ini, mendapan tersebut hanya sedalam kira-kira tiga sentimeter sahaja, namun sejak kebelakangan ini ia semakin mendap.

“Bagaimanapun, mendapan itu dilihat tidak merosakkan struktur stadium tersebut, cuma dibimbangi boleh mengundang bahaya kelak jika mendapan itu semakin teruk,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dia yang telah menggunakan stadium itu sebagai lokasi riadah sejak lapan tahun yang lalu berharap Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dapat mengatasi masalah mendapan itu.

Di samping itu, katanya, MDKS juga perlu memperbanyakkan aktiviti di stadium tersebut bagi menghidupkannya kembali.

Menurutnya, semenjak stadium tersebut kurang dikunjungi pengunjung, banyak peralatan sukan dan komponen yang berasaskan besi dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Walaupun stadium ini tidak digunakan sepenuhnya, MDKS perlu memantau kegiatan kecurian ini bagi mengelakkan mereka terus merosakkan stadium tersebut memandangkan masih ada pelajar-pelajar sekolah dan penduduk berdekatan menggunakan stadium ini untuk aktiviti riadah ringan seperti berjoging.

“Saya amat berharap MDKS dapat mencari idea bagi memeriahkan stadium ini dengan mengadakan lebih banyak aktiviti di sini,’’ jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDKS, Haris Kasim mengakui pihaknya sukar untuk menyenggara kompleks sukan itu dengan sempurna kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Katanya, kos penyenggaraan stadium berkenaan dianggarkan sebanyak RM100,000 sebulan dan pihaknya tidak mempunyai peruntukan sehingga sebanyak itu.

“Jika ada yang berkata kami tidak menyenggara stadium berkenaan, saya terpaksa mengakui sebahagiannya adalah betul.

“Ini kerana kos untuk menyenggara sesebuah stadium seperti Stadium Utama Kuala Selangor adalah dalam lingkungan RM100,000 sebulan yang berada di luar kemampuan kami.

“Kami hanya mempunyai peruntukan sebanyak RM10,000 hingga RM20,000 sebulan untuk kerja-kerja penyenggaraan... ini adalah masalah yang dihadapi bukan sahaja kami tetapi juga kebanyakan pihak pengurusan stadium lain di negara ini.

“Oleh itu, apa yang boleh kami lakukan hanyalah memperbaiki kerosakan-kerosakan kecil yang berada di dalam lingkungan kemampuan kami,” jelasnya apabila dihubungi di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun menafikan aktiviti kurang diadakan di stadium itu, sebaliknya ‘jadual’ stadium itu agak padat sepanjang tahun.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.