saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/04/2008

Kembalikan kegemilangan Sungai Lembing

PAHANG suatu ketika dahulu amat terkenal dengan sumber aslinya seperti bijih timah. Malah kedatangan British di negara ini juga dikaitkan dengan tujuan utama mereka untuk mengaut segala hasil yang terdapat di tanah bumi bertuah ini.

Itu dulu. Pahang hari ini lebih terkenal dengan hutan-hutan dara yang kaya dengan hidupan menarik flora dan fauna. Keindahan alam semula jadinya tidak dapat dinafikan apabila beberapa kawasan turut diwartakan sebagai taman negara.

Istimewanya Pahang kerana di sini jugalah terdapatnya kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Bukit Fraser dan Bukit Tinggi.

Namun kebelakangan ini usaha untuk mempromosi Pahang sebagai destinasi tarikan utama pelancongan dilihat semakin sepi. Bukan tiada usaha-usaha sebegini tetapi ia gagal menampakkan tahap kesungguhan yang berkesan.

Hakikatnya, terdapat banyak kawasan yang kurang dieksploitasi dari sudut pelancongan itu sendiri. Antara contoh paling jelas ialah sejarah Sungai Lembing.

Sungai Lembing pernah menjadi bandar utama sebelum Kuantan. Bandar Sungai Lembing diibaratkan sebagai El-Dorado Timur di Tanah Melayu kerana di sini letaknya sebuah perkampungan Inggeris lengkap dengan pelbagai kemudahan. Malah dikatakan juga, wujud panggung wayang dan kelab-kelab sosial pada waktu itu.

Kegiatan perlombongan bijih timah di negara ini dibangunkan secara intensif sejak abad ke-18 tetapi di Sungai Lembing, kegiatan perlombongan secara besar-besaran bermula pada 1906 sebaik sahaja pengurusan perlombongan diambil alih oleh sebuah syarikat British, The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

Kegiatan perlombongan telah menjadikan bandar ini terkenal. Malah ia merupakan antara kawasan lombong bijih timah bawah tanah terbesar di dunia.

Dianggarkan panjang terowong lombong bijih timah bawah tanah itu melebihi jarak dari Kuala Lumpur ke Kuantan dengan kedalaman kira-kira 396 meter.

Dan lombong serta sebahagian daripada bangunan lama milik Inggeris ini masih wujud dalam bentuk asal sehingga ke hari ini.

Era kemunduran Sungai Lembing bermula apabila berlaku kejatuhan harga timah di pasaran dunia pada tahun 1985. Ia memaksa PCCL menghentikan operasinya.

Walaupun terletak kira-kira 42 kilometer dari pusat bandar Kuantan, namun Sungai Lembing yang pernah mendapat julukan lubuk bijih timah, kurang diberi perhatian sewajarnya memandangkan kawasan tersebut sering dilanda banjir.

Apa pun alasannya, Sungai Lembing tidak harus dibiarkan menjadi ‘bandar mati.’

Maka, pelantikan sekali lagi Datuk Maznah Mazlan sebagai Exco yang bertanggungjawab menerajui bidang pelancongan, diharap dapat merealisasikan usaha memajukan satu lagi peninggalan sejarah yang harus dikekalkan.

Langkah kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM54 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk memajukan Sungai Lembing dari pelbagai sudut, memberi harapan baru kepada masa depannya sendiri.

Dalam hal ini, usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Md. Sohaimi Mohamed Shah untuk memainkan peranan lebih aktif wajar dipuji.

Kata-katanya bahawa beliau bukan sahaja mahu ‘menghidupkan’ kembali lombong yang telah berusia lebih 100 tahun itu sebagai daya penarik utama pelancongan tetapi turut memberi nafas baru kepada banyak lagi tempat menarik di sekitarnya termasuk kolam air panas dan air terjun, memberi sinar pengharapan.

Semoga dengan kerjasama peringkat Pusat di bawah menteri yang baru, Datuk Seri Azalina Othman Said, kerajaan negeri dan Md. Sohaimi sendiri, hasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan Sungai Lembing akan menjadi kenyataan.

Bezanya, jika dahulu orang luar datang kerana adanya aktiviti perlombongan, selepas ini, mereka datang bukan sekadar melawat tempat-tempat menarik tetapi mengenang kembali sejarah yang melakar nama Sungai Lembing itu sendiri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.