saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 07/04/2008

Congkak beri pengalaman baru


NANU Baharudin (tengah), Erin Malek (kanan) dan Erynne Erynna menanti penuh debar dengan penayangan filem Congkak pada 17 April ini. -Gambar AZLI AHAD


MESKIPUN filem Congkak arahan Ahmad Idham akan menemui penonton tempatan hanya bermula 17 April ini tetapi ramai yang mula memperkatakan mengenainya.

Filem tersebut dikatakan cukup menyeramkan dan mampu membuatkan penonton menjerit ketakutan di dalam panggung..

Sudah pasti ramai yang ternanti-nantikan buah tangan terbaru Ahmad Idham Ahmad Nazri itu selepas mencipta kejayaan yang cukup luar biasa menerusi filem Jangan Pandang Belakang (JPB) yang berjaya mencatatkan kutipan tiket RM7.5 juta.

Malah, lebih manis lagi, JPB berjaya menerobosi pasaran antarabangsa apabila menjadi filem Melayu pertama yang mencatatkan kutipan yang cukup membanggakan di Singapura dan Filipina.

Belum pun ditayangkan, khabarnya Congkak sudah pun menjadi pilihan pengedar filem di sekitar Asia Tenggara untuk ditayangkan di negara-negara mereka.

Apa istimewanya Congkak sehingga berjaya mencipta kejayaan sebegitu?

Malah, penerbitnya, David Teo begitu yakin filem ke-24 terbitannya itu akan mencapai kutipan RM10 juta.

Ketika ditemui baru-baru ini, tiga daripada pelakon utamanya iaitu Nanu Baharudin, Nur’Arina Abdul Malik atau lebih dikenali sebagai Erin Malek dan Erynne Erynna mempunyai pandangan sendiri terhadap filem Congkak yang disifatkan mereka sebagai sebuah filem yang cukup menarik dan mampu menarik perhatian penonton.

Cuma, satu-satunya pelakon lelaki utama filem ini iaitu Riezman Khuzaimi yang tidak dapat hadir untuk sesi fotografi ini kerana terikat dengan jadual penggambaran drama.

Baik Nanu, Erin mahupun Erynne semuanya cukup berpuas hati dengan penghasilan Congak yang disifatkan memberi pengalaman baru dalam karier seni mereka.

Congkak filem mudah

– Nanu

DILAHIRKAN dalam keluarga seni, Sabaranu Baharudin atau lebih dikenali dengan panggilan Nanu, sememangnya seorang pelakon yang mampu menjiwai watak yang diberikan kepadanya.

Lihatlah sahaja bagaimana watak Faridah Sudiro dalam filem Imigran (1994) mahupun watak Dyan yang dibawakannya menerusi filem Cinta sehingga melayakkan menerima pencalonan untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-20, tahun lalu.

Namun begitu, pemenang Bintang Harapan Festival Filem Malaysia Ke-10 pada tahun 1992 menerusi filem Rimba Malam ini, watak Sufiah yang dibawakannya dalam filem Congkak mudah dan senang untuk ditanganinya berbanding filem-filem lain yang pernah dijayakannya sebelum ini.

“Watak Sufiah ini ada senang dan susahnya. Saya akui, saya memang tidak membuat sebarang penyelidikan dalam mendalami watak ini. Apa yang saya buat setiap hari di lokasi adalah menghayati skripnya dan ambil mood sewaktu di sana.

“Malah, saya juga banyak dibantu oleh Ahmad Idham untuk membentuk watak Sufiah seperti mana yang dimahukannya. Saya tidak berani untuk menonton filem-filem seram yang lain kerana takut nanti saya akan terikut-ikut dengan lakonan tersebut.

“Kalau bicara tentang kesusahannya pula, saya perlu berhati-hati dengan lakonan saya kerana bimbang saya akan menjadi over acting pula.

“Maklumlah, membawakan watak ini sememangnya dekat dengan jiwa saya sebagai seorang ibu. Bukan itu sahaja, saya juga mahu mencuba sesuatu yang baru dalam karier seni saya,” kata aktres jelita yang juga cucu kepada pelakon Zaharah Agus dan M.Suki itu lagi.

Ditanya keunikan Congkak, Nanu memberitahu, dia cukup tertarik dengan jalan ceritanya yang mengisahkan tentang kekeluargaan itu.

Malah, dengan alasan itu juga, dia menerima lamaran Ahmad Idham untuk berlakon dalam filem tersebut meskipun mengetahui dia bukanlah bintang popular yang mampu melariskan filem.

“Penonton patut menonton filem Congkak kerana elemen kekeluargaan yang cukup kuat di dalamnya meskipun ia adalah dari genre seram.

“Saya juga tidak melihat diri saya sebagai seorang heroin kerana kesemua pelakon adalah pelakon utama dalam filem ini. Dengan itu, saya berani mengatakan Congkak mampu meraih perhatian dan mendapat sambutan,” katanya yang cukup selesa dan serasi berlakon di samping Riezman Khuzaimi yang memegang watak sebagai Kazman dalam filem itu.

Erin Malek tercabar

PELAKON muda ini mula mencipta populariti tahun 2006 menerusi watak Zurina dalam filem Tentang Bulan yang juga arahan Ahmad Idham.

Meskipun sudah membintangi empat filem sebelum ini termasuk Bilut dan BS21: Brainscan yang bakal menemui penonton sebelum hujung tahun ini, anak jati Kuala Lumpur ini tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar dalam menantikan reaksi penonton terhadap lakonannya sebagai Ely dalam Congkak.

“Watak saya sebagai Ely dalam filem ini sememangnya cukup mencabar kerana dialog saya tidak banyak dan saya perlu memberi penekanan kepada aspek ekspresi muka dalam menyakinkan penonton terhadap lakonan saya.

“Sedari awal lagi sewaktu pengarah datang kepada saya menyerahkan skripnya, saya sudah merasakan ia bakal memberi satu cabaran buat saya kerana bukan mudah untuk berlakon hanya dengan mimik muka dan tidak banyak bercakap.

“Namun, saya bertuah kerana dengan bimbingan Ahmad Idham, Nanu dan Riezman, saya dapat menghayati watak Ely dengan baik dan saya berpuas hati dengan persembahan yang saya berikan.

“Selain itu juga, saya tidak lupa untuk membuat rujukan menerusi filem The Messenger untuk menghayati babak saya dirasuk oleh makhluk halus.

“Istimewanya filem ini ialah ia membuka mata saya kepada permainan tradisional yang semakin hari semakin dilupakan,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini lagi.

Erynne Erynna sasar RM12 juta

BESAR sungguh cita-cita pelakon cilik ini untuk menyaksikan filem keduanya itu mencapai kutipan RM12 juta sedangkan David Teo pun hanya mensasarkan RM10 juta sahaja.

Mengapakah Erynne yang mula meraih perhatian penonton lewat lakonannya sebagai Lisa dalam filem Cinta sungguh optimis dengan kenyataannya itu?

“Congkak merupakan filem yang lain daripada filem seram yang pernah dihasilkan sebelum ini dan juga sudah lama tidak ada filem yang sebegini.

“Saya percaya ia mampu membawa penonton ke pawagam untuk menyaksikan Congkak selain daripada elemen seram yang ditampilkan,” kata Erynne yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-11 serentak dengan pembukaan Congkak pada 17 April ini.

Congkak juga menyaksikan buat pertama kalinya Erynne berlakon dalam filem seram dan dia mengakui, bukan mudah untuk membawakan watak serius sebegini.

“Saya seorang yang mudah menangis dan melakonkan watak Lisa begitu sukar untuk saya menghayatinya terutama apabila saya perlu lebihkan ekspresi wajah.

“Tetapi mujurlah, kesemua krew termasuk pengarah dan pelakon yang lain banyak membantu. Setidak-tidaknya, Congkak membawa dimensi baru kepada kerjaya saya sebagai seorang pelakon,” katanya yang petah berbicara.

Meskipun sudah menceburi bidang lakonan hampir tiga tahun, namun Erynne tidak pernah berasa puas dengan apa yang telah dipersembahkannya.

“Saya akan memastikan setiap lakonan sama ada dalam filem mahupun drama, saya akan memberikan yang terbaik dan buat yang lebih baik daripada sebelum ini.

“Begitu juga dengan Congkak. Seandainya, ada sekuel kelak, saya akan berikan yang lebih lagi dalam filem itu nanti,” ikrar anak sulung daripada tiga beradik itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.