saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 09/04/2008

Tajuddin letak jawatan

KUANTAN 8 April – Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, perletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri adalah kerana bertanggungjawab terhadap cadangannya yang meminta semua anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO melepaskan jawatan mereka, baru-baru ini.

Serentak itu, tegas beliau, pihak yang melantiknya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri sepatutnya turut mengambil tindakan yang sama sepertinya.

‘‘Saya meletakkan jawatan kerana saya adalah rantaian daripada kepimpinan MT UMNO yang ada sekarang dan saya sekali lagi cadangkan supaya mereka melepaskan jawatan.

‘‘Semua Pengerusi Perhubungan UMNO yang dilantik sebagai anggota MT sepatutnya perlu turut meletakkan jawatan dan satu jawatankuasa protem MT diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan peletakan jawatannya secara rasmi sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri di Pejabat UMNO Bahagian Paya Besar di Jaya Gading dekat sini hari ini.

Tindakan

Bercakap kepada Utusan Malaysia semalam, Ahmad Tajuddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri berkuat kuasa hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mengumumkan bahawa Badan Perhubungan UMNO negeri tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Ahmad Tajuddin berhubung kenyataannya itu kerana ia bersifat peribadi dan bukan mewakili UMNO negeri.

Sabtu lalu, Ahmad Tajuddin meminta semua Ahli MT UMNO melepaskan jawatan masing-masing dan membentuk jawatankuasa protem bagi memberi peluang kepada perwakilan memilih anggota MT yang baru dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Ahmad Tajuddin berkata, surat peletakan jawatannya sudah difaks ke Pejabat Menteri Besar kira-kira pukul 11 pagi ini.

Beliau yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar menjelaskan, keputusan meletakkan jawatan itu adalah atas kerelaan hatinya dan bukan tekanan daripada mana-mana pihak.

‘‘Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklum balas daripada Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri,” katanya.

Sejak cadangannya supaya semua Ahli MT UMNO meletakkan jawatan disiarkan media, jelasnya, beliau menerima 1,800 khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pelbagai pihak yang menyokongnya.

Beliau percaya cadangannya itu merupakan pendekatan terbaik untuk memperkukuhkan semula UMNO yang mengalami kemerosotan sokongan orang Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Tajuddin menegaskan, UMNO Bahagian Paya Besar tidak akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kecuali menerima desakan di kalangan ahli dalam bahagian itu.

Beliau yang merupakan satu-satunya ketua bahagian yang tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu menolak dakwaan wujudnya unsur sabotaj dalam Parlimen Paya Besar pada pilihan raya itu.

‘‘Tidak ada satu pun kawasan dalam Parlimen Paya Besar jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya lalu. Ini membuktikan tiada unsur sabotaj,'' jelasnya.

Sementara itu, Adnan ketika dihubungi hari ini masih belum menerima surat peletakan jawatan tersebut berikutan menghadiri beberapa mesyuarat melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.