saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 14/04/2008

Projek pasar hiper dibantah


GAMBAR ini diambil dari atas rumah pangsa Gugusan Dedap yang menunjukkan tapak projek Carrefour di PJU5, di Kota Damansara, Petaling Jaya yang begitu hampir dengan kawasan perumahan dan sebuah sekolah rendah.


PETALING JAYA 13 April – Pembinaan pasar raya Carrefour di Seksyen 11/1, Kota Damansara, PJU5 di sini dibantah penduduk sekitar kerana kedudukannya terlalu hampir dengan penempatan dan juga sekolah.

Malah, kelulusan yang diberikan untuk pembinaannya juga diragui kerana tapak itu sebelum ini adalah untuk pembinaan rumah kedai.

Tidak bersetuju dengan projek pembinaan itu, para penduduk perumahan sekitar telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan tapak pasar raya itu yang terletak di persimpangan Jalan Mahogani dan Jalan Kenyalang.

Tunjuk perasaan itu dilakukan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk D’Villa Avenue, D’Villa Botany, Gugusan Dedap, Bayu Damansara, Damansara Emas dan Seri Utama, Seksyen 5.

Mereka disertai oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Seksyen 11 dan Friends of Damansara, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Dr. Mohd. Nashir Hashim.

“Lokasi projek itu amat tidak bersesuaian memandangkan ia berada di tengah kawasan perumahan dan juga sebuah sekolah rendah.

“Dengan adanya pasar besar bersebelahan dengan sekolah akan mendedahkan para pelajar kepada pelbagai risiko,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kata mereka, kesesakan pasti berlaku dan menyusahkan para penduduk terutamanya rumah pangsa Gugusan Dedap yang terletak bersebelahan dengannya selain meletakkan anak-anak mereka dalam risiko kemalangan.

Mereka turut melahirkan kebimbangan bahawa pasar raya itu, apabila siap kelak, akan menjadi tempat melepak dan menggalakkan para pelajar ponteng sekolah.

Penduduk-penduduk turut mengadu bahawa kontraktor para pekerja pembinaan di tapak itu tidak mematuhi arahan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mensyaratkan kerja-kerja hanya boleh dilakukan dari pukul 7 pagi hingga 7 malam serta dihentikan pada Sabtu dan Ahad.

Mereka juga mendakwa tapak pembinaan itu, yang pemilik asalnya ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di dalam pelan induk pembangunan sebelum ini dikatakan untuk pembinaan kira-kira 30 unit rumah kedai dua tingkat.

“Kami inginkan penjelasan mengapa PKNS menukarkan pelan asal itu kepada pembinaan pasar raya tanpa berunding dengan penduduk.

“Kawasan ini juga tidak memerlukan sebuah lagi pasar raya kerana sudah terdapat dua buah pasar raya dalam lingkungan lima kilometer dari kawasan ini termasuk Giant yang sedang dalam pembinaan kira-kira 500 meter dari tapak Carrefour ini,” kata wakil Persatuan Penduduk Gugusan Dedap, Zamarudin Zainuddin.

“Kami juga hairan mengapa ketika kerja-kerja awal dilakukan tiada papan tanda tajuk projek dipasang.

“Kami mengesyaki ia bagi mengaburi mata penduduk dan apabila bantahan dibuat akan ditolak dengan alasan projek telah berjalan sekian peratus dan tidak boleh dihentikan lagi kerana akan membawa kerugian,” dakwanya.

Wakil Persatuan Penduduk D’Villa Avenue, Dali Sardar pula berkata, mereka inginkan penjelasan mengenai proses kelulusan projek itu, yang menurutnya menimbulkan banyak kemusykilan.

“Kami minta MBPJ dan PKNS memberi penjelasan mengapa kami tidak diberitahu mengenai projek ini lebih awal, bagaimana ia boleh diluluskan tanpa mengambil kira keadaan sekitar termasuk terdapatnya sebuah sekolah rendah di belakang tapak itu,” katanya .

Wakil Penduduk Seri Utama, Simon Low turut menimbulkan persoalan yang sama.

“Bagaimana MBPJ boleh meluluskan projek ini pada 24 September 2007 sedangkan mereka sedar bahawa pelan tempatan untuk Kota Damansara di bawah Akta Perancangan Bandar dan Negeri (1972) akan dibentangkan untuk pendapat umum pada Disember 2007.

“Bukankah ini seperti menipu penduduk, iaitu dengan sengaja menyegerakan kelulusan pembinaan pasar raya ini walhal pelan tempatan cuma menunggu pendapat umum,” ujarnya.

Dr. Nasir pula berkata, beliau akan membawa masalah penduduk-penduduk itu kepada pihak atasan dan mendapatkan laporan daripada MBPJ dan PKNS untuk diteliti.

“Jika terdapat perkara yang meragukan maka mungkin perkara ini akan dibawa kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah),” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.