saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/04/2008

Antara ketuanan dan penguasaan politik Melayu

TIDAK boleh dinafikan bahawa falsafah politik UMNO berlandaskan kepentingan orang Melayu termaktub dalam Perkara 153(i) Perlembagaan Persekutuan iaitu: "Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu (dan bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini)."

Dalam evolusi wacana politik Melayu konsep 'ketuanan' muncul dan diterima pakai sebagai konsep yang merangkumi pelbagai aspek kuasa politik yang perlu untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu sebagai penduduk asal negara.

Soal ketuanan orang Melayu atau penguasaan politik mereka dibangkitkan dari semasa ke semasa apabila timbul keadaan di mana ia terancam. Ini dilakukan untuk mengingatkan dan mencabar orang Melayu mempertahankan kedudukan bahasa, bangsa dan agama mereka yang diperlekehkan oleh pihakpihak tertentu.

Pemimpin politik sering mengipas semangat orang Melayu untuk mengekalkan dominasi politik mereka yang sedang melalui perubahan atau pergolakan. Malah raja-raja Melayu sendiri mengingatkan rakyat tentang kedaulatan bangsa Melayu dan hak mereka.

Kini UMNO sedang mengalami pukulan hebat akibat Pilihan Raya Umum Ke-12. Parti Melayu terulung ini diancam dari luar dan dalam secara serius. Kejayaan parti-parti pembangkang yang mempunyai ramai ahli bukan Melayu berpotensi meruntuhkan kuasa politik Melayu dan seterusnya kedudukan istimewa orang Melayu sendiri.

Orang Melayu harus bersatu padu memperjuang dan memperkukuhkan semangat politik mereka supaya keistimewaan yang mereka nikmati selepas kemerdekaan hingga kini dapat dilindungi dengan sebaik-baiknya.

Begitu juga keinginan kaum-kaum lain memiliki hak mereka sebagai warganegara Malaysia. Memang menjadi kelaziman hidup bahawa pertamanya kita akan mempertahankan hak kelompok kita sendiri. Pada tahap perkongsian sosio ekonomi negara, kek perlu dibahagi-bahagikan mengikut 'kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain' seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak harus dipertikaikan.

Yang ingin saya pertikaikan ialah penggunaan perkataan 'ketuanan' bagi merujuk kepada "kepentingan bangsa dan agama" orang Melayu (Rencana Pengarang Utusan Malaysia, 14 April 2008).

Kamus Dewan menyenaraikan banyak entri dan penjelasan bagi perkataan "tuan" termasuk "orang tempat menghambakan diri", "kepala atau pengurus" dan "pemilik". Perkataan "ketuanan" ditafsirkan sebagai "hak menguasai dan memerintah sebuah (negeri, daerah, dll), kedaulatan."

Sistem semantik sesuatu bahasa memberi perkataan-perkataan dalam bahasa itu bukan sahaja makna denotatif/rujukan tetapi juga makna konotatif/pragmatik yang dipengaruhi oleh konteks sosio budaya bahasa tersebut.

Dalam konteks sosio budaya bahasa Melayu konsep 'ketuanan' boleh, pada satu tahap, dikaitkan dengan 'ketuanan' British yang menjajah Tanah Melayu. Orang Inggeris dipanggil 'Tuan' yang menguasai penduduk asal negara serta kaum pendatang. Sejarah negara mewarnakan penguasaan politik serta dasar pentadbiran British sebagai berat sebelah. Ia dikatakan mewujudkan ketidakseimbangan sosio ekonomi negara yang kekal hingga ke hari ini.

Justeru orang Melayu tidak seharusnya mewarisi konsep kuasa yang mereka sendiri tolak tidak lama dahulu.

Konsep 'ketuanan' mengandungi konotasi meninggi diri dengan natijah memandang rendah pada orang lain. Seolah-olah orang Melayu sekarang sudah menjadi 'Tuan' yang diberi kuasa mutlak, sedangkan kuasa politik mereka berlandaskan muafakat bukan sahaja di dalam kelompok dan parti sendiri tetapi juga persefahaman dengan kaum dan parti lain.

Pemahaman konsep kuasa yang memihak ini boleh menyebabkan kelompok dan parti bukan Melayu mengkhuatiri tujuan UMNO sebenarnya. Dengan ini mereka pula akan merasa terancam.

Saya ingin mengesyorkan penggunaan konsep yang mempunyai makna denotatif/neutral iaitu 'penguasaan politik Melayu' bagi menggantikan konsep 'ketuanan Melayu' yang mempunyai makna konotatif yang bermuslihat.

- HALIMAH MOHD. SAID

Damansara Heights

Kuala Lumpur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.