saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 17/04/2008

Cerita sebuah Bistro

BIASANYA seseorang itu berkunjung ke bar kerana mahu mencari hiburan, tetapi pada masa sama tidak kurang juga yang mahu melampiaskan masalah hidup yang mereka hadapi di situ.

Justeru, bar, bistro, kelab malam atau disko dilihat daripada pelbagai sudut yang berbeza, sama ada mampu menyelesaikan masalah ataupun ia hanya akan menambahkan lagi permasalahan yang sedang dihadapi oleh seseorang itu.

Itu merupakan antara persoalan yang cuba dirungkai dan dipaparkan menerusi teater Topeng-Topeng yang diadaptasi daripada puisi karya Datuk Baha Zain yang akan dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 23 hingga 30 April ini, pukul 8.30 malam.

Naskhah arahan Fauziah Nawi itu memaparkan tentang pelbagai ragam dan permasalahan hidup yang dihadapi oleh para pengunjung sebuah pusat hiburan, bistro yang digambarkan menerusi teater tersebut.

Menurutnya, setiap pengunjung di Bistro itu masing-masing mempunyai masalah yang berbeza-beza. Mereka semuanya memakai ‘topeng’ yang mewakili sikap dan karakter yang juga berbeza-beza.

“Dalam teater ini, bistro bukan setakat mengumpulkan manusia- manusia yang bermasalah tetapi pada masa sama ada juga orang yang cuba mencari jalan bagi mengatasi permasalahan yang timbul.

“Akhirnya bistro dalam teater ini menjadi tempat untuk menyelesaikan masalah para pengunjung yang terbabit,” katanya pada sidang media Topeng-Topeng di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Realiti hidup

Jelas Fauziah yang merupakan penggerak Sanggar Teater Fauziah Nawi (M) Sdn. Bhd. (Stefani), Topeng-Topeng memaparkan banyak realiti hidup yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Apatah lagi katanya, puisi nukilan Baha Zain itu merupakan kali pertama diangkat ke pentas teater selepas ia pernah memenangi Anugerah Sastera Nasional pada tahun 1971.

Kisah manusia yang kecewa dalam meneruskan kesinambungan hubungan kekeluargaan, masalah emosi dan penyakit sosial yang berlaku turut diterjemahkan menerusi teater ini.

Topeng-Topeng seolah-olah mahu menutup ‘sisi-sisi gelap’ bistro yang secara zahirnya dilihat sebagai sebuah tempat yang boleh mengundang pelbagai penyakit sosial dalam masyarakat.

Sebaliknya, penulis skrip teater ini iaitu Iryanda Mulia bijak menggunakan watak seorang pelayan bistro itu yang bertindak sebagai ‘hero’ dan penyelesai pelbagai masalah yang dihadapi para pengunjung pusat hiburan itu.

“Watak pelayan di bistro ini pada mulanya dianggap sinis dan tidak mendapat perhatian daripada para pengunjung bistro itu.

“Bagaimanapun, dia akhirnya secara tidak langsung telah menjadi ‘penyelamat’ dalam usahanya menyelami serta mencari titik penyelesaian masalah para pengunjung di situ,” ujarnya.

Sungguhpun mendasari banyak masalah sosial yang rumit tetapi selaku pengarah dan pelakon Topeng-Topeng, mereka terpaksa melalui proses kerumitan yang lebih ketara bagi mengadaptasi puisi itu ke atas pentas teater.

Ini kerana, bukannya mudah untuk mengangkat naskhah puisi yang mempunyai banyak maksud yang tersirat dan amat mendalam dalam bentuk dialog serta lakonan.

Contohnya, dialog satu watak yang berbunyi ‘aku berbaring di ranjang tanpa pakaian’ dalam teater ini yang antara lain menggambarkan tentang kesunyian yang sedang dihadapinya ketika itu.

“Kami mengangkat bait-bait puisi itu menjadi sebuah dialog yang tidak berubah susunan bait-baitnya seperti karya asal puisi ini, cuma ia disesuaikan dengan nada penuturan dalam bentuk gaya lakonan.

“Dalam hal ini, para penonton mungkin terpaksa meneliti sedalam- dalamnya maksud-maksud yang tersirat di sebalik dialog-dialog teater ini,” katanya.

Dialog-dialog lain yang tidak kurang menariknya untuk difikirkan dan dihayati antaranya berbunyi ‘dalam gendang perang nanti malam akulah Rawana dengan topeng Hanuman’.

Teater persembahan Stefani dan DBP yang mengambil durasi kira-kira 50 minit itu tentunya menagih penghayatan para penonton tetapi pada masa sama ia akan mencetuskan pelbagai penafsiran yang berbeza-beza mengikut pengamatan masing-masing.

Malah, sebelum ini Stefani turut pernah melalui pengalaman yang sama apabila mengadaptasi puisi-puisi seperti Dari Bintang Ke Bintang karya Datuk Usman Awang ke pentas teater pada 1978 dan 2002.

Fauziah sebelum ini juga pernah mementaskan naskhah Perjalanan Bu Aminah hasil cetusan rasa berdasarkan puisi karya Rendra pada 1999 dan 2005.

Kepuasan

Jelasnya, mementaskan teater daripada adaptasi karya-karya puisi memberi kepuasan yang tersendiri bukan sahaja kepada pengarah tetapi juga para pelakonnya.

“Bagi saya, bait-bait puisi bahasanya cukup indah. Pelakon tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah keaslian bait-bait puisi yang mereka lontarkan dalam bentuk dialog. Ia bagi menjaga keaslian karya sesebuah puisi itu.

“Penonton pula bukan sahaja akan menikmati keindahan bahasanya tetapi mereka juga terpaksa berfikir sama untuk menghayati setiap dialog yang dilontarkan oleh pelakon,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan tanggapan mengatakan bahawa adaptasi puisi ke atas pementasan teater bukanlah alasan jalan mudah untuknya berkarya.

Sebaliknya, kata Fauziah simbolik, mesej dan kehalusan dalam sesebuah karya puisi itu tidak harus dibiarkan begitu sahaja tanpa diperluaskan dalam genre seni yang lain.

“Malah, Baha Zain berasa gembira apabila saya menyatakan hasrat mahu mengangkat puisinya dalam bentuk teater. Dia (Baha) tidak berkira soal bayaran atau royalti yang harus kami bayar kepadanya.

“Apa yang kami lakukan hanyalah datang berjumpa dan meminta kebenaran daripadanya. Kami akan bayar mengikut kutipan tiket hasil pementasan teater ini nanti,” ujarnya lagi.

Teater ini antara lain mengisahkan tentang sebuah Bistro yang dikunjungi banyak golongan termasuklah profesional untuk melepaskan penat selepas seharian mereka suntuk bekerja.

Kehadiran Gito, mantan pegawai tinggi, gigolo, beberapa pemuda, kontraktor dan ahli korporat merancakkan suasana perbualan di bistro itu.

Pelbagai masalah dan cerita yang mereka utarakan hingga ia membabitkan pelayan Bistro itu yang dilihat pendengar dan pemerhati yang bijaksana dalam melalui frasa-frasa dramatik tersebut.

Selain Wan Yuzaini Wan Yahya selaku pelakon utama, Topeng-Topeng turut dijayakan oleh Anis Samawi, Farah Ahmad, Ashrin Abd. Azim, Mohammad Hanafi Isman, Raja Emy Shahril Raja Ismail, Ard Omar dan lain-lain.

Sebarang pertanyaan berhubung teater dengan harga tiket RM20, RM30 dan RM10 untuk pelajar itu, sila hubungi talian 03-42535393.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:22
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.