saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/04/2008

Shahidan Kassim membara dalam diam


SHAHIDAN KASSIM.


MUKADIMAH
ENAM jahitan di kening kanan ketika menyertai operasi menyelamat sepasang suami isteri yang sesat di Taman Rekreasi Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar, pada 11 April lalu menjadi bukti keprihatinan beliau sebagai pemimpin.

Namun kecederaan itu seolah- olah satu kepuasan bagi Datuk Seri Shahidan Kassim. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HASSAN MOHD NOOR dan ZULKIFLEE BAKAR, di Kuala Lumpur baru-baru ini, bekas Menteri Besar Perlis itu menegaskan, apa pun yang beliau lakukan sama ada dalam soal kebajikan atau politik ia demi mencari keredaan Allah. Bagaimanapun dalam diam menerima ketentuan tidak lagi menjadi Menteri Besar, Shahidan menyimpan sesuatu yang beliau katakan: “Akan saya dedahkan apabila tiba masanya.”

Bagaimana kehidupan Datuk Seri selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar? Adakah masih sibuk?

Saya tidak begitu terasa kehilangan jawatan Menteri Besar kerana masih sibuk dengan urusan lain. Ini memandangkan saya memegang jawatan dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan termasuklah Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia, Kesatuan Olahraga Malaysia dan juga beberapa jawatan lain di peringkat negeri.

Selain itu saya turut menjadi pengerusi kepada beberapa yayasan termasuklah Yayasan Pok dan Kassim. Semua ini seolah-olah menyambung kerja sebagai Menteri Besar.

Tambahan pula, saya masih dikunjungi oleh ribuan rakyat bagi meminta bantuan. Ini mungkin kerana kerajaan Perlis di bawah kepimpinan baru masih belum dapat menyesuaikan diri.

Oleh itu rakyat datang berjumpa saya di Pejabat Barisan Nasional (BN). Saya membantu mereka sekadar mampu.

Ertinya, aktiviti saya tidak pernah berkurangan sebaliknya bertambah, malahan kalau dulu pukul 2 pagi saya sudah boleh melelapkan mata, sekarang ini ‘terlajak’ sedikit.

Sejak pilihan raya lepas sehingga sekarang saya belum berhenti dengan pelbagai aktiviti. Saya terus berbakti untuk negeri, negara dan rakyat Perlis.

Perubahan yang saya rasa hanya satu, iaitu berpindah dari kediaman rasmi ke rumah sendiri. Dalam menguruskan aktiviti harian, saya dibantu oleh rakan-rakan ‘senasib’ yang dikategorikan menjadi mangsa dalam percaturan politik. Kami bekerja dalam satu pasukan bagi membantu rakyat.

Boleh Datuk Seri cerita pengalaman mengetuai operasi mencari orang hilang di Kangar baru-baru ini?

Malam pertama operasi, saya pakai jubah kerana baru pulang dari solat. Saya dihinggapi 50 pacat… badan penuh berdarah. Saya pulang ke rumah antara pukul 4 pagi hingga 5 pagi.

Malam kedua setelah berjumpa mangsa dan ketika hendak membawa keluar dari hutan, saya mendapat kecederaan di bahagian kening kanan selepas dilibas sebatang ranting kayu.

Apabila jumpa orang yang hilang itu, saya bertanya kepada dia, kenapa hendak lari ke hutan? Dia kata susah cari kerja. Jadi saya tawarkan dia bekerja sebagai Penyelia Kebersihan dengan Yayasan Pok dan Kassim.

Bagaimana dengan kawan-kawan? Masih ramai atau Datuk Seri keseorangan selepas tidak lagi menjadi MB?

Saya masih lagi ramai kawan terutamanya bekas-bekas wakil rakyat yang pada pandangan saya terlalu awal untuk berhenti tetapi disebabkan ‘manipulasi politik’ oleh pihak-pihak tertentu mereka menerima nasib berkenaan.

Bagaimanapun saya tidak berhasrat untuk mendedahkan pihak berkenaan sehinggalah apabila tiba masanya. Apatah lagi dalam situasi politik UMNO sekarang.

Apa yang penting, mereka yang senasib dapat memberikan sumbangan dalam Yayasan Pok dan Kassim. Yayasan ini tidaklah kaya sangat tetapi apa yang ada saya sedekahkan.

Tetapi ada pihak yang seolah-olah mempertikaikan usaha Datuk Seri membantu mereka yang memerlukan.

Tidak perlulah ada mana-mana pihak berasa cemburu kerana saya lakukan ini kerana Allah. Saya bukannya mendapat harta dengan cara tidak baik. Kita bukan bagi banyak pun, berapa ratus ringgit sahaja seorang. Salahkah kita memberi kepada orang setelah mendapat berjuta-juta ringgit. Mereka yang berharta, tak kiralah siapa hendaklah berlumba-lumba membuat kebajikan di bumi Allah ini. Jadi tidak perlulah menegur orang yang hendak membuat kebajikan.

Adakah pengalaman politik ini yang paling teruk dalam karier Datuk Seri?

Walaupun teruk tetapi manis. Saya memberi pengalaman kepada kawan-kawan saya bagaimana pucuk pimpinan tertinggi membuat keputusan. Selepas pilihan raya saya terpaksa berulang alik setiap hari ke Kuala Lumpur dengan kereta. Ini berikutan pelbagai keputusan yang dibuat sebelum itu terutama mengenai pelantikan MB dibatalkan secara tiba-tiba.

Apa yang saya kecewa, orang yang kita percaya untuk melakukan perundingan demi perundingan, bertindak sebaliknya seolah-olah penderhaka kepada parti. Orang ini turut bertanggungjawab memusnahkan impian rakyat untuk melihat BN terus berkuasa di Perak dan Selangor.

Berikutan kemelut yang berlaku, selama enam hari saya berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perlis. Ini belum lagi dikira sebelum pilihan raya. Apa pun, perjuangan saya tidak akan terhenti di sini.

Ini kerana saya memerlukan tafsiran dari segi undang-undang yang tepat bagi memastikan amalan demokrasi di Malaysia berjalan lancar mulai pengundian hinggalah kepada pemilihan MB.

Walaupun menghadapi pelbagai dugaan dari segi jentera parti tetapi alhamdulillah saya mendapat sokongan ‘jentera’ daripada ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya, orang miskin dan warga emas. Mereka ini membantu kerana kita sentiasa memberi perhatian. Kalau kita buat kerja ikhlas kerana Allah, Allah akan tolong kita. Walaupun negeri lain dapat hentaman teruk tetapi kami di Perlis bertahan.

Ada suatu ketika beberapa wakil rakyat menyokong, kemudian mereka bertindak sebaliknya, Datuk Seri kecewa dengan keadaan ini?

Saya tidak kecewa dengan perbuatan mereka itu kerana mereka pun bukanlah berpengaruh sangat malahan ada antaranya muka baru. Dia hanya percaya kepada orang yang bagi dia jadi wakil rakyat, jadi dia sokong orang itu. Dia tidak percaya jadi wakil rakyat kerana sokongan Pengerusi Perhubungan dan Pusat. Masalah yang berlaku di Perlis, kerana Perlembagaan UMNO diketepikan. Walaupun saya reda dengan apa yang berlaku kerana ini qadak dan qadar-Nya tetapi saya harus lawan balik bagi mengetahui kenapa semua ini berlaku supaya masa depan UMNO dan BN tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana individu. Ini adalah soal mandat rakyat yang sudah dipermainkan.

Saya juga kecewa kerana banyak dasar dan projek yang dirancang dan dilaksanakan ketika kepimpinan saya kini ditangguhkan. Bagi saya semua ini adalah satu musibah.

Kenapa Datuk Seri tidak akur dengan apa yang berlaku supaya tidak dilihat begitu kemaruk untuk menjadi MB?

Ini bukan soal saya kemaruk sangat mahu jawatan MB, tetapi saya menang pilihan raya dan rakyat bagi mandat kepada saya dan BN bukan kepada mana-mana pihak.

Saya ulangi bahawa ini bukannya soal kemaruk. Saya tidak kemaruk untuk jadi MB. Gaji pun saya tidak ambil, sekarang ini pun, gratuiti yang diperoleh, saya beri kepada Jabatan Kerja Raya untuk buat masjid. Saya ingin jadi MB bukan kerana mahu gaji atau glamor tetapi saya hendak mencari keredaan Allah.

Apa matlamat politik selepas ini?

Saya masih muda dan bertenaga. Saya tidak akan tumpu di Perlis, saya akan melangkah ke politik Malaysia yang lebih mencabar. Saya tidak mahu lihat Presiden UMNO berjuang seorang diri, kita mesti menampakkan berjuang bersama. Sekarang Pak Lah menerima pelbagai tekanan sedangkan bukan beliau seorang sahaja bertanggungjawab.

Kita harus ingat keputusan pilihan raya yang berlaku juga harus dipertanggungjawabkan kepada Presiden, Timbalan Presiden, Setiauasaha Agung dan Ketua-ketua Perhubungan.

Datuk Seri akan bertanding dalam pemilihan UMNO nanti?

Saya akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden. Saya ingin membantu Presiden menyelesaikan masalah yang berbangkit di kalangan parti. Kita harus membangkitkan semangat juang yang tinggi di kalangan ahli-ahli UMNO.

Mereka harus dipulihkan semangatnya yang kini lemah akibat diperkotak-katikkan oleh kawan dan lawan.

Idealisme perjuangan ini mesti direalisasikan dengan pendekatan-pendekatan yang berhemah. Kalau parti tanpa idealisme maka parti itu tidak akan ke mana.

Tetapi berapa ramaikah orang UMNO yang menghayati idealisme ini atau masuk parti untuk mencari habuan? Ketika ini apa yang berlaku ialah perebutan untuk mencari habuan itu menyebabkan idealisme perjuangan kita mendapat pelbagai tafsiran.

Oleh itu selepas sekian lama mendiamkan diri, saya akan ‘muncul semula’ bagi membantu parti kembali kepada keadaan asal. Saya tahu pembangkang tengah seronok terhadap apa yang berlaku kepada UMNO dan BN. Percayalah kita akan bangkit semula.

Setelah menempuh ini semua apa pengajaran dan pesanan Datuk Seri?

Kita harus berhati-hati dengan orang yang memungkiri janji. Kalau boleh jangan dekati langsung mereka ini. Saya mencari keredaan Allah. Oleh itu walaupun apabila tiba masanya saya harus turun, saya reda, tetapi janganlah orang seperti saya dipinggirkan sehinggakan mereka yang mengambil alih kuasa tidak bertanya khabar.

Namun saya tetap akan berjuang sebagai Pengerusi BN dan UMNO. Selain itu sebagai orang yang sentiasa mencintai orang miskin, anak yatim, orang kurang upaya dan warga emas, saya akan tetap bersama mereka. Walaupun ada orang sebut saya terlalu memanjakan orang Perlis, orang yang berkata demikian jawablah dengan Allah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.