saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 27/04/2008

Tugas isteri, ibu jadi keutamaan


Tunku Azizah bersama Tengku Abdullah dan Tengku Hassanal Ibrahim di Padang Polo Diraja, Pekan Pahang.


Melihat penulis melirik, Tunku Azizah spontan memberikan jawapan; "Sudah lebih 10 tahun saya simpan keratan akhbar ini. Saya dapat dari salah sebuah akhbar yang saya baca semasa berada di London. Sebelum ini saya tampal keratan ini di dapur tetapi kerana dapur saya tengah diubah suai, saya simpan sementara dalam diari.

Sambil menghulur keratan itu kepada penulis, isteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ini mengakui, ia banyak mengajarnya tentang harapan, semangat dan kekuatan untuk mendepani hidup.

Bertemu dengan Tunku Azizah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, petang Ahad beberapa minggu lalu, puteri raja ini tampak segar dan ramah.

Wajah baginda yang kelihatan bersih dan bersinar tanpa secalit solekan tidak langsung terlihat letih terutama ketika perbualan kami berkisar tentang kisah putera dan puteri baginda, Tengku Amir Shah, 21, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 12; Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin, 10; pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 7; serta Tengku Puteri Jihan Kamariah Athiyatullah, 5.

''Tugas rasmi sebagai Tengku Puan Pahang dan Pengasas TAFF menuntut banyak masa saya di luar. Saya sering dikejar rasa bersalah kerana tidak mampu memberikan sepenuh masa kepada anak-anak.

"Pernah sekali, anak saya, Afzan bersungut, mama ini asyik sibuk, sibuk, sibuk, tidak penat ke badan, susahnya jadi raja, kalau macam inilah sibuknya, lebih baik tidak payah jadi raja,'' cerita Tunku Azizah dengan derai ketawa baginda.

Kisah hidup puteri Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail ini terlalu banyak yang menarik terutama tentang ketabahan dan kecekalan tinggi baginda mendepani takdir tidak memperoleh cahaya mata selepas lebih sedekad mendirikan rumah tangga dengan Tengku Mahkota.

"Orang lain senang dapat anak tetapi saya terpaksa menunggu lebih 10 tahun untuk bergelar ibu. Saya terpaksa melalui sebanyak 16 kali proses rawatan kesuburan termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) dan Intra-cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) sebelum berjaya mengandungkan anak-anak saya," akui baginda jujur.

Biar seberat mana pun hambatan dugaan yang ada di depan, sebagai hamba Allah yang reda dengan ketentuan qada dan qadar, baginda luhur menyerahkan segala-galanya kepada yang Maha Esa.

Memang menarik kisah-kisah yang diceritakan Tunku Azizah dalam pertemuan yang berlanjutan hampir empat jam petang itu yang bermula dari ruang tamu Istana Abdul Aziz, ke kolam renang, ke dapur hingga ke kebun sayur organik baginda.

Dan pastinya ramai yang tidak percaya, bergelar anak raja (Sultan Johor), menantu raja (Sultan Pahang), isteri kepada bakal raja dan ibu kepada bakal raja, Tunku Azizah memiliki banyak keistimewaan dan kelebihan.

Kemampuan dan kebolehan baginda memasak, menjahit, menjaga suami dan anak-anak mahupun menjalankan kerja-kerja kebajikan bukan calang-calang hebatnya dan pertemuan penulis dengan Tengku Puan juga sangat 'istimewa' kerana ini merupakan tugasan terakhir penulis sebagai wartawan Mingguan Malaysia.

Tengku Puan Pahang merupakan anak raja, menantu raja, isteri bakal raja dan ibu kepada bakal raja. Bagaimana Tengku Puan melihat takdir yang Allah gariskan ini?

(Terdiam seketika) Saya melihat diri saya sebagai seorang isteri dan ibu yang perlu melaksanakan kedua-dua tanggungjawab itu dengan sempurna. Bagi saya, tugas sebagai isteri dan ibu adalah keutamaan saya.

Dengan status yang dimiliki, Tengku Puan Pahang merupakan seorang individu yang amat dikagumi oleh rakyat jelata - pakar memasak, menjahit dan menguruskan rumah tangga. Apa komen Tengku Puan?

Saya hanya insan biasa. Dari segi hal memasak, pada saya tidak kira anak raja atau orang biasa sama saja, kalau sudah namanya perempuan tidak sah kalau tidak ke dapur. Memasak memang sudah menjadi minat saya sejak zaman kanak-kanak lagi.

Dari kecil saya selalu mengikut mak cik yang menjaga saya, Mak Lamah ke dapur. Mula-mula saya tolong petik tauge, buang kulit udang, kupas bawang dan kentang. Dari situ minat saya bermula dan apabila naik sekolah menengah, saya mula belajar buat pelbagai jenis biskut, dan kek buah. Boleh dikatakan, setap kali menyambut hari raya, Istana Bukit Serene Johor tidak pernah menempah kuih hari raya kerana semuanya dibuat kami adik-beradik.

Ramai yang ingin tahu, bagaimana Tengku Puan Pahang menjalani kehidupan sehari-hari?

(Ketawa) Macam ibu-ibu yang lain juga. Jika ada kelapangan, saya akan hantar mereka ke sekolah dan jemput mereka pulang. Saya akan berjumpa dengan guru-guru bertanyakan hal pelajaran anak-anak saya. Malah, saya pesan (kepada guru-guru) supaya rotan jika mereka nakal. Saya memang mementingkan soal disiplin dan pelajaran anak-anak kerana saya mahu melihat mereka menjadi orang yang berilmu apabila besar kelak.

Memiliki segala-galanya, adakah Tengku Puan juga pernah melalui pengalaman sedih dalam hidup?

Sepanjang tempoh 16 kali melalui kaedah IVF dan ICSI, saya mengalami detik paling sedih apabila enam kali keguguran. Jangan tanya perasaan saya ketika itu... Memang tertekan tetapi saya bersyukur kerana sepanjang tempoh rawatan, Tengku Mahkota sentiasa ada di sisi memberikan sokongan moral dan sentiasa memahami.

Justeru, saya tahu perasaan mereka yang tidak ada anak atau sering gagal dalam usaha mendapatkan anak kerana saya sudah melalui semua pengalaman itu.

Bolehkah pengalaman berharga dalam hidup Tengku Puan Pahang dikongsi dengan pembaca?

Saya tidak kisah berkongsi pengalaman yang saya lalui selama ini. Itu ujian Allah kepada saya. Sebab itu, apabila disahkan mengandung, saya tidak turun katil selama tiga hingga enam bulan. Sembahyang, makan, minum, gosok gigi, semuanya atas katil. Hanya sekali sehari saja saya bangun untuk ke bilik air. Selebihnya, berbaring, pusing kanan, kiri, dengar rakaman orang mengaji atau menonton televisyen.

Justeru, selepas merasai sendiri keperitan memperoleh zuriat, saya mahu membantu wanita lain yang turut mengalami nasib sama sebab masalah ketidaksuburan boleh diatasi menerusi rawatan. Itu peranan yang Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) laksanakan kini.

Waktu senggang Tengku Puan Pahang biasanya apa yang dilakukan?

Selain memasak, saya memang gemar menjahit terutama cross-stitch, needle point, embroidery dan crochet. Kadang-kadang sampai tidak sedar waktu sudah pukul 3 atau 4 pagi. Memang hobi ini beri ketenangan jiwa kepada saya. Pernah sekali, Tengku Mahkota kata kepada saya, "cukuplah menjahit tu, mari kita berbual sekejap.'' Selain itu, saya suka menanam bunga dan sayur-sayuran dan orang yang tengok saya bercakap dengan pokok-pokok mesti berasa hairan. Saya memang 'berbual' dengan tanam-tanaman saya.

Memang hidup saya agak sunyi sedikit kebelakangan ini kerana Amir, Hassanal dan Muhammad kini berada di England. Amir di tahun akhir di universiti manakala Hassanal dan Muhammad kini belajar di Caldicott School. Saya dan Tengku Mahkota hantar mereka ke sana supaya mereka mendapat layanan yang sama seperti pelajar-pelajar lain kerana tidak ada yang tahu latar belakang mereka. Selain itu, mereka akan lebih berdisiplin dan berdikari. Semua benda mereka kena buat sendiri termasuk mengemas katil dan sebagainya.

Sebagai seorang isteri, bagaimana pandangan Tengku Puan tentang Tengku Mahkota?

Saya bersyukur kerana jodoh saya ditakdirkan dengan Tengku Mahkota. Sudah 22 tahun kami berkahwin dan sepanjang tempoh itu, baginda tidak pernah meninggikan suara atau menjentik saya. Saya melihat baginda sebagai seorang lelaki yang memiliki hati yang cukup murni. Kami saling menghormati dan menyayangi. Baginda bukan sahaja merupakan suami yang baik tetapi juga ayahanda yang disayangi anak-anak. Baginda sangat supportive dan encouraging dalam kerja-kerja kebajikan yang saya lakukan. Baginda mendidik saya khususnya dalam hal-hal kebajikan dan bagaimana bergaul dengan rakyat. Kini, saya turunkan ilmu itu kepada anak-anak.

Perkahwinan Tengku Puan dan Tengku Mahkota adakah berdasarkan cinta atau diatur keluarga?

Saya memang tidak sangka jodoh saya dengan Tengku Mahkota tetapi saya jatuh cinta dengan Tengku Mahkota masa saya tengok gambar baginda dalam kad hari raya yang dihantar oleh ayahanda Tuanku Sultan Pahang kepada ayahanda saya (ketawa). Masa saya tengok kad itu, terdetik hati saya 'hai, kacaknya'. Masa itu saya baru berusia 12 tahun. Kali pertama kami bertemu di padang polo di Johor. Saya adalah pilihan Almarhumah Tengku Ampuan Afzan (bonda Tengku Mahkota) dan baginda adalah pilihan ninda saya, Almarhum Sultan Ismail. Bagi saya, setiap perkahwinan yang mendapat restu insya-Allah berkekalan.

Dengan segala-gala yang dimiliki, apa lagi yang Tengku Puan hasratkan dalam hidup?

(Diam seketika) Setiap kali solat, saya tidak pernah lupa berdoa kepada Tuhan agar saya dan suami dilanjutkan usia dan sihat sejahtera agar kami dapat membesarkan anak-anak. Saya mahu melihat mereka menjejakkan kaki ke universiti dan berjaya di dunia dan akhirat. Saya menjadi ibu pada usia agak lewat, kawan-kawan sebaya saya semuanya sudah bercucu tetapi anak-anak saya masih kecil-kecil lagi. Itulah yang selalu saya doakan dan moga Allah makbulkan doa saya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.