saya nak baca ..

RENCANA SUKAN


ARKIB : 03/05/2008

Ratu Libas terus lonjak prestasi


RAHILAH Harun bersaing sebagai pelibas pilihan kedua skuad negara dengan Siti Norhalmi Hussein.


DUA atlet wanita, Nurrashidah Rashid dari Kedah dan Siti Norhalmi Hussein dari Kuala Lumpur, mempunyai dua persamaan menarik - mereka merupakan apit kanan pelibas skuad sepak takraw negara dan memiliki abang yang aktif sebagai pemain bola sepak dalam Liga Malaysia.

Nurrashidah, 21, merupakan adik Rafdi Rashid atau dipanggil ‘Abang Pendek’ yang pernah mewakili Perak, Kedah dan Melaka serta Olimpik 2000, manakala Norhalmi bersaudara dengan ketua pasukan UPB-MyTeam, ‘Botak’ atau nama sebenarnya, Khaironnisam Sahabuddin Hussein.

Puteri libas Kedah itu yang membantu trio Hijau Kuning menjuarai Sukan Wanita Kebangsaan Kedua (SWK), tahun lalu, juga pernah mewakili skuad bola sepak wanita negara dalam Kejohanan Bawah 19 Tahun Asia di Kuala Lumpur pada 2006.

Bersama Noor Fairuz Azizan dan Idayu Ismail, Nurrashidah menewaskan regu Kuala Lumpur 21-17, 15-21, 15-6, yang diwakili Norhalmi dan salah seorang pemain wanita Malaysia pada Sukan SEA Jakarta 1997, Saadiah Idrus.

Kedua-duanya kini gigih diasuh dan digilap oleh Osman Che Meh sebagai pelibas handalan bagi Projek Sukan Asia 2010 Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan tidak keterlaluan dipanggil ‘Bakal Adnan Saidin Wanita’ pertama negara dalam satu dua tahun lagi.

Malah, skuad wanita seramai 15 pemain yang diketuai Siti Salwa Khalid dan dihimpunkan sebumbung sejak Jun tahun lalu di Kompleks Sukan MSN, Keramat, Kuala Lumpur, memiliki dua lagi pelibas dan penghadang berbakat besar, Rahilah Harun dan Rohaya Yaakub.

Graf prestasi mereka ternyata melonjak ketika siri persahabatan dengan pasukan dari Sumatera Barat di Keramat, baru-baru ini, walaupun cuma memenangi sebahagian kecil perlawanan memandangkan pasukan pelawat dikatakan telah dibentuk dan digandingkan sejak lima tahun lalu.

Kata Osman: “Mereka jauh berbeza berbanding ketika beraksi dalam dua pertandingan pertama antarabangsa, Kejohanan Asia Tenggara di Bengkalis, Riau dan Piala Raja Thai di Bangkok.

“Kekurangan asas sepak takraw seperti menimang dan mengawal serta pergerakan di gelanggang sedikit demi sedikit sudah hilang dan diatasi.

“Mematikan bola lawan menerusi libasan dan hadangan juga mulai dikuasai. Ini banyak memberikan saya perangsang untuk terus memajukan mereka dalam beberapa pertandingan antarabangsa yang diatur sepanjang tahun ini,” kata bekas apit kiri Angkatan Tentera pada era 90-an itu.

Mengejutkan

Akui Osman, jurulatih pasukan Sumatera Barat turut mengagumi persembahan anak buahnya yang mengejutkan mereka dengan libasan dan hadangan di depan jaring, selain servis kencang tekong, Siti Norzubaidah Che Wahab yang sesekali membantu memungut mata mudah.

Nurrashidah, yang kini bergandingan dengan Norzubaidah dan Lawi Sangat, berkata: “Sukan ini nampak sahaja lasak untuk wanita tetapi sebenarnya jika tanpa kelembutan badan, sukar untuk melonjak atau melayangkan diri dalam membuat libasan. Saya jatuh cinta dengan sukan ini sejak tahun lalu.

“Saya berasa saya boleh pergi lebih jauh dengan sepak takraw jika dibandingkan bola sepak,” kata bekas anggota skuad remaja wanita yang dibelasah teruk Australia dan China dengan lebih 10 gol serta Jordan 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Malah, dia yang sanggup meninggalkan kerja tetap di Alor Star, cukup bertuah kerana penubuhan skuad wanita mendapat sokongan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said, yang mahu menjadikannya sukan pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan dengan kerjasama PSM.

Saadiah yang bergandingan dengan Mas Ayu Dahlal, Normala Rashid dan Noraini Pon ke Sukan SEA 1997 tetapi dikalahkan Indonesia dan Vietnam 2-0, berkata: “Ketika itu kami masih tidak mampu melibas tetapi cuma menujukan bola ke sasaran tertentu dengan kaki atau kepala untuk mematikan bola lawan atau mengutip mata.”

Osman, bagaimanapun yakin lebih ramai bakat baru wanita yang mampu dicungkil di seluruh negara. Dia menyasarkan pencarian untuk mencukupkan kuota 32 pemain skuad negara menerusi Sukan Malaysia Ke-12 (SukmaXII) di Terengganu dari 31 Mei dan 9 Jun ini.

“Ramai pemain negara sekarang masih berusia bawah 21 tahun dan layak menyertai Sukma. Mereka akan kembali ke negeri masing-masing supaya pasukan dan pemain lain dapat meningkatkan kemampuan mereka sekali gus menyaingi lawan yang lebih berpengalaman,” katanya.

Mereka ialah Fairuz, Norzubaidah, Nurrashidah, Rahilah, Asumalin Ratna Sum dan Yazahra Junaid serta Norhashira Amiza Razali, yang bakal kembali menyertai skuad Kedah, Perak dan Pulau Pinang, dua minggu sebelum Sukma, yang kali pertama mempertandingkan sepak takraw wanita menerusi acara antara regu sahaja.

Menurutnya, skuad wanita dijangka menghadapi tiga tugasan utama antarabangsa sepanjang tahun ini, iaitu Kejohanan Jemputan Dunia Piala Malaysia Ketiga (Jun), Sukan Pantai Asia Pertama di Bali (Oktober) dan Piala Raja Thai Ke-23 (Disember).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.