saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 05/05/2008

Pemimpin UMNO kesal Karpal, Koo Ham cabar titah Sultan Perak

IPOH 4 Mei - Pemimpin UMNO di Perak hari ini kesal dengan perbuatan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham yang mencabar titah Sultan Perak dengan mengeluarkan kenyataan bahawa sultan tidak berhak melantik semula pegawai kerajaan termasuk di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Manong, Datuk Ramly Zahary berkata, pandangan itu tidak benar kerana telah wujud konvensyen antara kerajaan negeri dan istana membabitkan pentadbiran agama Islam di Perak.

''Pihak istana berhak menentukan arah tuju peraturan agama Islam negeri berlandaskan konvensyen itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang memetik Karpal Singh sebagai berkata, sebarang kenyataan yang dibuat oleh Sultan Perak perlu mendapat nasihat daripada pegawai undang-undang dan sultan tidak berhak untuk memecat atau menukar mana-mana pegawai kerajaan termasuk di JAIP.

Kelmarin, Sultan Perak, Sultan Azlan menitahkan pertukaran serta-merta yang diarahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury ditarik balik.

Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry Selasa lalu telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Sementara itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendesak anugerah Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang diterima oleh Koo Ham ditarik balik memandangkan sikap kurang ajar pemimpin DAP itu mencabar titah Tuanku Sultan Azlan Shah.

Katanya, kedaulatan raja mengatasi kedaulatan DAP yang mahu 'mengDAPkan' Perak.

''Gunakan kedaulatan istana untuk mengajar Pengerusi DAP Perak yang melanggar bahasa terhadap Tuanku Sultan Perak," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau, Datuk Najmudin Elias Al-Hafiz pula berkata, sepatutnya DAP lebih menyedari bahawa kerajaan negeri kena bertindak membela rakyat dan menyanjung tinggi kedaulatan raja berperlembagaan.

Katanya, kalau terhadap tuanku sultan pun pemimpin DAP boleh membantah, apatah lagi rakyat biasa.

''Mereka tidak boleh anggap diri mereka masih pembangkang. Di mana janji mereka selama ini yang mahu menjadi kerajaan yang berhemah, beretika dan patuh kepada arahan tuanku sultan?

''Sikap DAP sebegini akan menimbulkan kemarahan rakyat terutama dalam kalangan orang Melayu.

"Jangan suka mencari dan menyalahkan orang lain. Sepatutnya mereka mencari jalan untuk memajukan negeri seperti yang dijanjikan," kata Najmudin.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin berkata, Sultan Azlan mempunyai hak di sisi perlembagaan negeri dalam konteks hal ehwal agama Islam negeri.

Katanya, telah bertahun-tahun segala urusan berkaitan dengan adat resam dan agama Islam perlu dirujuk dan diperkenankan oleh sultan.

''Karpal Singh tiada hak bagi memberi apa jua pandangan. Ingat, Sultan Perak pernah jadi Ketua Hakim Negara.

''Jangan Karpal lupa akan sejarah Perak dan jadi seperti JWW Birch," katanya.

Zainol Fadzi mencabar Mohammad Nizar selaku Menteri Besar supaya menyatakan pendirian sama ada bersetuju dengan kenyataan kedua-dua pemimpin DAP tersebut.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, Pemuda UMNO memberi amaran kepada Karpal Singh supaya jangan mempertikaikan adat resam orang Melayu dan agama Islam.

''Kita akan pertahankan kedaulatan dan hak orang Melayu ini," katanya.

Beliau juga membidas Koo Ham kerana turut membuat kenyataan berbau perkauman yang meminta mana-mana pegawai kerajaan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan baru supaya meletakkan jawatan.

''Kenyataan itu berbau perkauman kerana 80 peratus daripada pegawai kerajaan Perak adalah orang Melayu," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.