saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 14/05/2008

“Rock kapak suatu penghinaan,”

ERA muzik pada pertengahan tahun 1980-an menyaksikan kemunculan ramai penyanyi dan kumpulan rock dalam persada muzik tempatan termasuklah Wings.

Pelbagai cabang muzik rock diketengahkan ketika itu termasuklah istilah ‘rock kapak’ yang dilabelkan kepada pemuzik rock berambut panjang, berseluar jeans lusuh dengan bunyi muzik yang berat tetapi turut menyelitkan lagu-lagu cinta.

Wings merupakan antara kumpulan yang dikategorikan oleh segelintir peminat sebagai pemuzik rock kapak ketika era kegemilangan mereka dua dekad yang lalu.

Bagaimanapun, vokalis kumpulan itu, Awie tidak bersetuju dengan gelaran rock kapak yang diberikan kepada Wings dan juga kumpulan-kumpulan rock 1980-an yang lain.

Awie yang merupakan anggota asal Wings ketika ditubuhkan pada awal tahun 1985 menyifatkan, gelaran itu sebagai suatu penghinaan kepada semua pemuzik rock tanah air.

“Saya tidak setuju apabila ada orang kata zaman kegemilangan Wings dulu sebagai rock kapak. Saya hendak tanya orang itu, apakah yang dimaksudkannya dengan rock kapak?

“Bunyinya pun tidak sedap langsung. Bagi saya, gelaran itu tidak ada kualiti dan begitu hina sekali! Ia tidak relevan langsung. Rock kapak seakan-akan pemuzik yang mahu jadi rock tetapi dia tidak tahu hendak buat apa.

“Selain itu, dulu ada juga istilah ‘rock leleh’. Ini pun saya kurang setuju. Apa pun, saya bangkang 100 peratus pemanggilan rock kapak untuk kumpulan rock seperti Wings,” katanya pada sidang media pengumuman persembahan mereka di pusat hiburan terkemuka, Planet Hollywood, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kumpulan rock itu bakal mengadakan persembahan di pusat hiburan popular di ibu kota itu pada 18 dan 25 Mei ini pukul 10.30 malam.

Persembahan menerusi slot Sunday Nite Live selama hampir dua jam itu juga diadakan sempena menyambut ulang tahun ke-21 penerbitan album Wings dengan mengenakan tiket berharga RM50.

Pada persembahan itu kelak, Wings akan menjemput dua bekas vokalis serta pemuzik yang pernah menyertai kumpulan tersebut iaitu Mel, Mus, Sham dan Jojet.

“Kami juga akan menjemput gitaris yang juga merupakan kawan-kawan rapat Wings iaitu Hillary dan Kid daripada kumpulan Search serta Ito (vokalis Blues Gang) pada persembahan itu nanti,” ujar Awie.

Jelas Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, penampilan rakan-rakan lama Wings itu bukan sahaja sebagai suatu tarikan tetapi ia juga dapat mengembalikan nostalgia terhadap perjuangan muzik rock yang mereka perjuangkan selama ini.

Tambahnya, sepanjang lebih dua dekad bergelumang dengan muzik rock, Wings telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis yang sukar untuk dilupakan dalam industri muzik tempatan.

“Sebagai contohnya, pada tahun 1990 Wings pernah kena gam oleh RTM sehinggakan album kami ketika itu Double Trouble tidak boleh disiarkan melalui radio stesen itu.

“Kami juga disuruh supaya memotong rambut pendek untuk keluar televisyen (TV). Akibatnya, album itu tidak dapat dipromosikan secara meluas. Tetapi syukur album itu akhirnya tetap juga berjaya dijual melebihi 150,000 unit,” katanya dengan bangga.

Pada tahun 1990, Wings dan sebuah lagi kumpulan rock legenda, Search pernah mencetus kegemparan di kalangan rakyat Malaysia apabila Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamad Rahmat (kini Tan Sri) mengharamkan penyiaran lagu-lagu mereka di stesen-stesen radio RTM.

Bahkan, kumpulan-kumpulan rock itu juga disuruh memotong rambut pendek jika mereka mahu muncul dalam stesen TV milik kerajaan tersebut.

Kalau insiden itu belum cukup, Wings turut cuba mengimbau pengalaman pahit yang melanda dalam industri muzik tempatan apabila pihak kerajaan telah mengharamkan muzik rock pada tahun 1986.

Peristiwa itu ekoran suatu rusuhan para peminat rock di Tapak Pesta, Sungai Nibong, Pulau Pinang yang dijayakan oleh kumpulan seperti SYJ, Lefthanded, Bloodshed, Ella and the Boys dan Rahim Maarof & Whitesteel menerusi konsert bergerak Battle of the Band anjuran Box-Office Malaysia.

Ekoran insiden yang berjaya dileraikan oleh Polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) itu, semua kumpulan rock tempatan termasuklah Wings turut merasakan bahangnya.

Sama seperti kebanyakan kumpulan lain, Wings tidak menafikan wujudnya perselisihan faham di kalangan anggota-anggotanya sejak kumpulan itu ditubuhkan di Kuala Lumpur sekitar tahun 1985.

Namun, perbalahan itu tidak lama apabila hubungan mereka kembali akrab semula tidak lama selepas itu kerana menganggap di kalangan anggota Wings sebagai adik-beradik.

“Tidak dinafikan saya pernah berselisih faham dengan anggota-anggota Wings apabila saya mahu merakamkan album solo. Tetapi ia tidak lama apabila pada tahun 2000 saya dan Wings bersatu semula.

“Walaupun pernah bertukar penyanyi dan mendapatkan khidmat Mel dan Mus sebagai vokalis, tetapi Wings tetap utuh. Ini kerana, kekuatan Wings bukan atas nama individu tetapi ia atas nama Wings itu sendiri. Sebab itulah Wings boleh bertahan sehingga kini,” jelasnya.

Justeru, Awie tetap terus memberikan komitmennya kepada Wings biarpun dia kini sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon filem.

Tambahnya, kesibukan dalam bidang lakonan tidak menghalangnya memberi sepenuh komitmen kepada Wings kerana ia merupakan salah satu sumber pendapatannya yang penting.

“Saya banyak berlakon pada tahun lepas. Tahun ini saya hanya mempromosikan sahaja filem-filem lakonan saya itu. Tetapi kalau Wings ada persembahan saya akan batalkan promosi filem. Ini kerana, promosi filem tidak dapat duit tetapi buat show dengan Wings dapat duit,” katanya sambil ketawa kecil.

Biarpun sudah 21 tahun ditubuhkan, tetapi Wings belum pernah menghasilkan sebarang album Inggeris yang mungkin boleh menjadi laluan bagi mengembangkan lagi populariti muzik mereka di peringkat antarabangsa.

Album Inggeris

Dalam hal itu Awie berkata, Wings memang pernah berura-ura mahu menghasilkan album Inggeris pada penghujung tahun 1980-an tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan begitu sahaja kerana tiada maklum balas yang positif daripada syarikat rakaman di luar negara.

“Wings misalnya, pernah buat demo tape tiga buah lagu Inggeris untuk pasaran antarabangsa pada 1989. Kami menghantar demo tape itu ke Kanada tetapi ia tidak mendapat feedback (maklum balas) dari sana.

“Selepas itu, kami lupakan sahaja hasrat itu dan menumpukan kepada pasaran tempatan. Kami sedar, sedangkan pasaran tempatan pun kita belum mampu tawan, apatah lagi pasaran di luar negara,” ceritanya.

Sementara itu, gitaris asal Wings, Sham yang kini bermain di kelab-kelab malam bersama kumpulannya, Sky High berasa gembira kerana diundang menjayakan slot persembahan tersebut.

Sham yang cuma sempat tampil menerusi album pertama Wings berjudul Belenggu Irama pada 1987 berkata, persembahan tersebut secara tidak langsung akan dapat mengeratkan lagi perhubungannya dengan bekas kumpulannya itu.

“Saya bangga dengan Wings kerana hingga kini mereka masih okay, masih lagi rock ‘n roll. Muzik mereka juga lain daripada apa yang saya persembahkan bersama kumpulan saya kini,” katanya ceria.

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh Mel yang pernah menjadi vokalis sementara Wings selepas Awie menarik diri daripada kumpulan itu dan menjadi penyanyi solo.

“Sudah hampir 15 tahun saya tidak berjumpa mereka. Biarpun sudah tidak bersama Wings, tetapi saya tetap sayangkan mereka. Persembahan itu nanti tentunya akan mengimbau kenangan saya ketika bersama Wings,” katanya yang kini menumpukan kepada bidang perniagaannya sendiri.

Wings yang kini dianggotai oleh Awie (vokalis), Joe (gitaris), Eddie (bassis) dan Black (dram) dijangka mempersembahkan lagu-lagu terbaik mereka pada persembahan tersebut.

Antaranya lagu berjudul Sejati, Bernafas Dalam Lumpur, Misteri Mimpi Shakila, Taman Rashidah Utama, Di Ambang Wati, Intan Ku Kesepian, Inspirasi Taming Sari, Jerangkung Dalam Almari dan Bazooka Penaka.

Bagaimanapun, Wings enggan mendedahkan lagu-lagu yang akan dipersembahkan serta gimik persembahan oleh penyanyi serta pemuzik undangan mereka pada malam itu kelak.

Sempena ulang tahun ke-21, Wings turut mengeluarkan barangan eksklusif mereka yang terdiri daripada bag, kemeja-T, pelekat kereta, poster dan album yang dijual pada harga RM69.00 untuk pembelian 300 yang pertama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.