saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 19/05/2008

Pakar satelit

MINATNYA terhadap dunia perniagaan membuatkan dia nekad melupakan kerjaya bersesuaian dengan bidang pengajian yang diambil ketika di universiti dahulu. Sedikit sebanyak minat tersebut sebenarnya diwarisi daripada ibu bapanya yang menjalankan perniagaan runcit di kampung halamannya di Sungai Lembing, Pahang.

Siti Hawa Ismail, 30, sepatutnya layak digelar pakar satelit dan kapsul setanding dengan kelayakannya dalam bidang Kejuruteraan Angkasa Lepas dan Sains Angkasa dan Satelit dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan International Space University, Perancis.

Namun, pemilik Laurea Home Furnishing ini tidak menyesal dengan jalan yang dipilih, bahkan beliau bahagia dengan apa yang dilakukannya sekarang.

Menceritakan dengan ringkas penglibatannya dalam dunia perniagaan katanya, ia bermula setelah beliau dan suami balik dari Kanada dan melahirkan anak pertama.

''Saya mengambil keputusan untuk tidak bekerja makan gaji sebaliknya memilih perniagaan sebagai kerjaya.

''Mula berniaga, semua saya cuba, daripada jualan langsung, jual kerongsang hingga kepada kain pasang. Malangnya, satu pun tidak ada yang menjadi sebab tidak pandai menjual dan untung pun tidak seberapa.

''Kemudian, apabila melihat cadar dari China semakin diminati, terdetik pula untuk menceburi bidang itu. Dengan 10 set cadar sebagai permulaan, saya mula menjual dari rumah kepada dengan jiran dan saudara mara.

"Alhamdullilah, perniagaan ini nampak memberangsangkan, daripada hanya 10 set, ia bertambah sehingga saya terpaksa mencari premis kedai,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Isteri kepada Ahmad Faisal Hisham ini memberanikan diri mencari tapak dengan memulakan jualan di pasar lambak (flea market) di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor, pada hujung minggu.

''Selama setahun saya berniaga di situ, permintaan bertambah. Saya dan suami tidak lagi mendapatkan bekalan melalui pengedar, tetapi terus ke China untuk berurusan dengan syarikat pengeluar cadar.

''Masa itu, rumah saya tidak ubah seperti stor, dari bilik hingga ke ruang tamu dipenuhi dengan set cadar. Malu juga bila ada tetamu datang, sebab rumah kami tidak seperti rumah orang lain,'' kata ibu kepada dua cahaya mata iaitu, Alya Aleena Ahmad Faisal, 4, dan Nur Alesha, 1.

perancanganTambah bekas penuntut Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang ini, setelah mempunyai lebih 10 pengedar, baru beliau berani diri untuk mempunyai premis tetap. Kini pengedarnya telah meningkat ke 50 orang di seluruh negara.

Perancangan demi perancangan dibuat, beliau yang kini mempunyai hampir 100 pekerja dengan mengeluarkan cadar jenama sendiri iaitu Laurea, yang bermaksud pemenang dalam bahasa Perancis, memilih Putra Heights sebagai lokasi perniagaannya.

Siti Hawa telah menyewa dua unit kedai, sebuah dijadikan pusat pameran dan sebuah lagi sebagai stor.

Pada 1 Ogos tahun lalu, Siti Hawa membuka Laurea Home Furnishing, yang bukan sahaja menumpu kepada cadar semata-mata, tetapi turut melebarkan perniagaannya kepada tempahan langsir, dekorasi dalaman, penjualan karpet dan perabot.

''Keistimewaan yang ada pada Laurea ialah kebanyakan fabriknya sama ada langsir atau cadar adalah eksklusif.

''Dari segi rekaan terutamanya langsir, gabungan pelbagai jenis kain memberi sesuatu yang unik dan berlainan, manakala cadar pula, hampir kesemuanya disertakan dengan empat helai sarung bantal, tidak seperti jenama yang lain yang hanya memberi dua helai sarung bantal.

''Hampir kesemua fabrik yang terdapat di kedai ini diperbuat daripada 100 peratus kapas, tidak mudah luntur dan mempunyai corak terkini. Bunga-bunga kecil, besar dan pelbagai warna serta bercorak abstrak merupakan trademark kepada Laurea.

''Saya harap pada masa hadapan, fabrik dari India yang terkenal dengan kualitinya dapat dijual di kedai ini. Saya sedang mencari peluang untuk memasarkan di sini,'' ujarnya yang turut membuka peluang kepada sesiapa yang ingin menjadi pengedar dengan menghubunginya di 019-3317422.

Ditanya apakah impiannya, Siti Hawa menjelaskan bahawa beliau mahu Laurea Home Furnishing menjadi pusat sehenti kepada barang-barang dekor.

''Saya juga akan menceburi bidang pembekalan perabot putih yang kini semakin diminati. Bagi yang gemar perabot sebegini, di Laurealah tempat untuk mendapatkannya,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.