saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 25/05/2008

terbangnya masih tinggi

PADA usia yang sudah mencecah 40 tahun pada 2 Mei lalu, Ziana Zain masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan agenda seninya. Jauh sekali untuk mengucapkan selamat tinggal kepada perjalanan yang telah ditempuhinya sejak hampir dua dekad. Ziana mulai mencipta nama menerusi lagu Madah Berhelah pada awal 90-an selain barisan filem-filem bertaraf box-office antaranya filem-filem Sembilu 1 dan 2 serta Maria Mariana 1 dan 2.

Lagi pula, masa depan bukan ditentukan oleh dirinya, sebaliknya oleh yang di atas sana. Lalu, dia lebih senang untuk tidak membuat sebarang rencana.

Lantas dalam usia yang dianggap oleh sesetengah orang "sudah berumur", artis yang seorang ini masih terus gah di pentas dan kini sedang meletup dengan hits single Dingin dan Melara Jiwa.

"Alhamdulillah, rezeki anak-anak, rezeki si kembang dan si kuncup," katanya merujuk kepada dua anaknya iaitu Muhammad Aiman Armin, 8 dan Muhammad Ammar Armin, 5.

Dalam galak bercerita, mulutnya juga tidak henti-henti memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi yang memberinya rezeki pada setiap yang diperolehnya hari ini.

"Apa yang Tuhan bagi, itulah yang saya harungi dan Alhamdulillah, kehidupan yang dilalui selama ini mudah dan dipermudahkan oleh- Nya."

Memang kalau diikutkan, apa lagi yang diingini oleh Ziana Zain dalam kehidupannya. Dia, wanita yang pada mata kasarnya kita lihat sudah hampir sempurna kehidupannya.

Kehidupan itu, antara yang mungkin menjadi impian wanita lain di luar sana. Wanita yang punya kerjaya dalam bidang glamor, suami yang menyokong segala kehendak diri dan peribadi serta anak-anak yang manja dan penuh keletah.

"Kehidupan saya masih belum sesempurna mana. Belum lengkap lagi ibadah saya kepada-Nya. Belum lagi saya pergi haji. Masih ada hutang saya kepada yang Maha Esa," tingkah Ziana merendah diri.

Kata Ziana, bukan mudah mencapai apa yang dikecapinya hari ini malah dia belajar merangkak sebelum mampu berjalan dan kemudian boleh berlari untuk bergelar penyanyi dan pelakon disegani.

Justeru itu dia amat menghargai perjalanan karier serta pendukungnya selama ini, siapa lagi kalau bukan kedua ibu bapa, adik-beradik serta peminat setianya yang tidak pernah lokek mengiringi doa dan memberikan sokongan.

Malah sebenarnya, wanita jelita lagi bergaya bernama penuh Siti Roziana Zain ini amat bertuah memiliki seorang lelaki bernama Armin Zaharin sebagai suaminya.

Sebagai penyokong kepada setiap perjalanan baik seni mahupun peribadinya, kata Ziana, keizinan dan restu Armin memberinya kekuatan walaupun suaminya itu di kalangan pihak media adakalanya 'kurang disenangi' kerana sukar didekati.

"Dia sebenarnya amat memahami kerjaya isterinya sebab bukan semua orang ada karier seperti isterinya ini. Dia selalu kata, "pergi selagi awak boleh pergi dan buat selagi awak boleh buat". Restunya itu satu tuah kepada saya.

"Tetapi saya juga memahami dirinya. Memahami bahawa kalau dia menemani saya ke satu-satu majlis adalah kerana dia mahu menemani isterinya, bukan menemani seorang artis bernama Ziana Zain," kata Ziana.

Mengecapi bahagia alam rumah tangga pada saat berada di kemuncak, sehingga kini Ziana Zain berada dalam kelasnya sendiri.

Malah gaya penampilan dan diri semakin anggun hari ke hari dan dia antara artis wanita yang menjadi perhatian dalam berfesyen dan kerap hadir dengan tarikan gaya masa kini.

"Saya ini 'gila-gila' orangnya," ujar wanita yang suka menyulami kata dengan tawa mesranya ini. Sikap dan sifat yang membuatkan nama Ziana terus gah hingga ke hari ini.

"Dan saya juga memang amat menjaga imej diri. Kena selalu ke hadapan, orang kata jangan ketinggalan. Mak saya selalu mengusik, dah tua-tua pakai skirt lagi. Selagi boleh pakai dan kena gayanya, saya sarung sahaja.

"Tunggulah sampai usia 45 tahun. Masa tu nanti, pandai-pandailah cari gaya baru yang lebih sesuai. Nanti kalau masih berskirt, orang kata buang tabiat pula," tambahnya sambil mengukir senyum.

Dan Ziana Zain antara orang yang suka menggelek barang berjenama. Kasut, beg tangan dan pakaian yang tersarung, selalunya daripada jenama gedung fesyen mewah antarabangsa.

Namakan apa sahaja, dalam geroboknya terhimpun nama-nama besar antara yang disukainya, Louis Vuitton (LV), Fendi, Gucci dan Chanel yang telah dihimpunkan sejak dulu hingga kini.

Malah adiknya, penyanyi Anuar menjadi antara orang dipercayai Ziana untuk membeli-belah barangan kesukaannya jika adiknya itu ke luar negara.

Datuk Siti Nurhaliza sendiri pernah memberitahu, orang pertama yang memperkenalkan jenama mewah LV kepadanya adalah Ziana Zain. Kerana bagi wanita hitam manis ini, memiliki barangan berjenama mewah ini bukan semata-mata mengorbankan wang ringgit tetapi untuk kepuasan diri sendiri.

Apalagi sebagai seorang artis, apa sahaja yang dibawa menjadi perhatian dan ia seterusnya membawa sekali nama jenama yang dikelek.

"Secara tak langsung, ia juga sebenarnya mendapat perhatian daripada jenama itu sendiri yang akhirnya memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak," katanya.

Jadi janganlah cemburu kalau dia menjadi antara artis pilihan jenama mewah bertaraf antarabangsa untuk dipelawa menghadiri pembukaan rasmi dan pertunjukan fesyen.

Antara yang berprestij tentunya ketika Fendi dan Karl Lagerfeld mementaskan runway show julung kalinya di Tembok Besar China pada Oktober tahun lalu. Seronoknya bergelar Ziana kerana dia juga terus tahun ke tahun sejak sedekad lalu, dia menjadi pilihan jam tangan mewah Omega sebagai dutanya.

Memang suka bergaya, itu Ziana yang pada pandangannya kemunculan berketerampilan dirinya itu bukan untuk bersaing sesama wanita sebaliknya dia sekadar memuaskan hati untuk tampil menyenangkan.

"Untuk cantik sebenarnya tak kenal usia. Jangan kerana kita dah jadi mak-mak, kita mula lupakan soal kecantikan dan kesihatan diri. Dan jangan lokek untuk cantik.

"Jangan emas bergayut di tangan, beli beribu-ribu tapi muka tak berseri dan pakaian tak kemas, tak guna juga. Orang kata biarlah seusia mana pun kita, badan tetap solid, wajah tetap cantik berseri," ujar Ziana yang mengamalkan makan sesenduk nasi setiap hari pada waktu tengah hari sementara makan malamnya hanyalah buah- buahan atau roti.

"Kita 'jaga badan' pun untuk diri kita juga. Tak kisah bagaimana penampilan anda, bertudung atau tidak, kita cantik untuk rasa bahagia dan gembira melalui hari-hari kita," jelasnya.

Mengakui bukanlah seorang yang pandai berfesyen, kata Ziana, dia banyak bertanya dan berkongsi dengan kawan-kawannya. Malah dia percaya, 'kita hidup hanya sekali, jadi enjoylah sepuas-puasnya'.

"Asalkan jangan melampau sudah. Saya bersyukur dengan apa yang Tuhan bagi. Kita ini harta Tuhan, muka kita, badan kita. Jadi kita kenalah jaga. Secara tak langsung, itulah tanda kita berterima kasih dengan pemberian Dia," ujarnya lagi.

Sibuk meluangkan masa untuk menyiapkan rakaman tiga buah lagu lagi untuk sebuah album penuh yang dijangka dilancarkan tahun ini, Ziana juga menantikan musim-musim cuti sekolah untuk berkumpul bersama keluarga.

Kerana selepas ini, masanya lebih banyak tertumpu kepada kerjaya. Selain menyelesaikan rakaman lagu-lagu ciptaan Julfekar, Audi Mok dan Greg Henderson, sudah banyak tawaran lain menanti.

Antaranya rakaman program hiburan untuk hari raya termasuk bersama Anuar.

Bukan itu sahaja, penyanyi yang terkenal bersuara lantang ini juga turut menerima tawaran watak utama bagi sebuah drama khas siaran Hari Raya arahan Erma Fatima.

"Julai ini saya akan turun ke lokasi penggambarannya. Masih belum dapat skripnya lagi tapi secara kasarnya, ia mengisahkan tentang seorang perempuan yang dulunya nakal, buat kerja tak elok dan betul tetapi satu hari kerana satu insiden buat dia tersedar dan akhirnya kembali ke pangkal jalan," cerita Ziana.

Sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, ini drama kedua Ziana di bawah arahan Erma selepas drama Cermin Pada Bulan, juga tayangan untuk Hari Raya dua tahun lalu.

Dan Ziana sendiri mengakui, hari ini dia kini amat selektif terhadap watak yang ingin dibawa kerana perlulah berisi dan lebih penting hanya akan melibatkan diri dengan program- program khas sempena musim perayaan sahaja.

Jika melihat jadualnya, memang agak ketat kerana sepanjang Ramadan, banyak tawaran untuk menjayakan program TV untuk tayangan Hari Raya. Jadi bagaimana perancangannya mahu mengandung lagi? Pertanyaan itu dijawabnya dengan ketawa. "Rezeki anak-anak." Dan Ziana mengakui, pada usia begini dan dengan dua cahaya mata lelaki, hatinya meronta- ronta untuk memiliki seorang anak perempuan.

"Kiranya sekarang ini memang feeling habislah. Berangan nak anak perempuan. Insya-Allah, jika diizinkan-Nya. Harapan agar saya agar terus dikurniakan dengan tubuh kuat dan sihat," katanya sambil ketawa kecil.

Dan ketika ditanya apakah hadiah istimewa meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-10 tahun ini serta ulang tahun kelahiran daripada suami tercinta, bisik Ziana,'ingatan dan kewujudannya'. Kerana bagi seorang Ziana yang bergelar artis dan isteri juga ibu serta anak, tiada yang diinginkan selain untuk meraikan bersama keluarga tersayang.

"Itu lebih penting. Dia dan anak-anak ada untuk makan bersama. Nak kasut, beg tangan atau baju, saya dah ada dan boleh beli sendiri."

Tapi penghujung bicara, saya tanyakan kepadanya, takkan dia tidak ada benda yang diingini dan seperti biasa jawapan Ziana, dia bukan isteri yang pandai meminta- minta.

Jauh sekali untuk merajuk jika keinginannya tidak dipenuhi. Kerana pada Ziana rajuk hati begitu bukan lagi zamannya dan siapa yang rugi, jika pada hari istimewa, suami isteri bermasam muka.

"Yang rugi kita juga. Nak seronok- seronok sambut dan meraikan hari istimewa, kita pula mencuka. Tak tak seronok. Jadi buat apa nak susah-susah diri dan hati.

"Lagipun, suami mana yang tak nak bagi hadiah kepada isterinya? Fikir itu sahaja. Kita boleh faham-faham sendiri," ujar Ziana yang mahu terus merahsiakan hadiah daripada suami namun memberitahu kad pemberian suami pada hari-hari istimewa mereka menjadi antara hadiah paling berharga buat dirinya.

Hadiah yang akan disimpan Ziana Zain sebagai kenangan dan menjadi tatapan kepada anak- anaknya bila tiba waktunya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.