saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 03/06/2008

Terowong air penyelamat


Mohamad Hasan (dua dari kiri) memerhati Tunnel Boring Machine yang berfungsi sebagai penebuk serta pengerudi bukit untuk pembinaan terowong pemindahan air dari Empangan Sungai Triang ke Loji Rawatan Air sungai Terip di Jelebu, baru-baru ini.


JELEBU 2 Jun - Pada tahun 2005, Negeri Sembilan berhadapan krisis air meruncing sehinggakan paras air di Empangan Terip yang menjadi pembekal utama air di daerah Seremban ini, telah mencatatkan penurunan dengan bacaan 87.9 meter.

Apa yang membimbangkan ketika krisis 2005 itu ialah andainya paras bacaan menurun pada angka 86 meter, maka empangan berkenaan hanya mampu membekalkan 113.6 juta liter air sehari berbanding keperluan sebenar sebanyak 249.8 juta liter air sehari.

Berdasarkan senario inilah, kerajaan negeri mengambil iktibar untuk meningkatkan pembekalan air mentah di kawasan yang memerlukan, terutamanya di daerah Seremban supaya krisis Empangan Terip tidak berulang dalam keadaan kemarau yang panjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, untuk itu adalah wajar Projek Skim Bekalan Air Triang (Fasa 1) dibangunkan segera, apatah lagi ia telah lama dirancang sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) (1995-2000). Dalam RMK-8 pula, hanya kajian dapat dilakukan kerana peruntukan yang tidak mencukupi.

Bagaimanapun dalam RMK-9 (2005-2010), barulah projek berkenaan dapat diteruskan untuk memberi manfaat besar kepada penduduk di daerah Seremban khususnya dan Jelebu, amnya.

Untuk itu, kata Mohamad, melalui projek berkenaan, pemindahan bekalan air mentah ini hanya dapat dilakukan melalui pembinaan terowong di Kampung Jambatan Serong, Kuala Klawang di sini, yang merupakan terowong kedua selepas Terowong Kelinchi iaitu yang memindahkan air dari Empangan Kelinchi ke Empangan Terip.

''Pembinaan terowong ini dapat menjaga persekitaran dan mengurangkan kesan kepada sistem ekologi serta alam sekitar,'' kata beliau di sini hari ini.

Beliau menjelaskan projek Skim Bekalan Air Triang ini meliputi pembinaan Empangan Triang, Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi, saluran paip pengepam dan pembinaan muka sauk (intake) di Petaseh.

''Pembinaan Petaseh Intake akan membolehkan air dari Sungai Triang dan Sungai Kenaboi dapat dipam sebanyak 220 juta liter sehari dan disalurkan menerusi saluran paip ke terowong.

''Terowong pemindahan air bermula dari Kampung Jambatan Serong ini sehingga ke Pantai (Seremban) dan Loji Rawatan Ngoi-Ngoi (Pantai) sebelum disalurkan ke Empangan Sungai Terip," jelas Mohamad.

Kata beliau, kos keseluruhan projek ini ialah RM850 juta dan oleh kerana peruntukan dalam RMK-9 cuma RM380 juta, maka kerajaan hanya membina komponen projek bagi membolehkan air mentah dari Jelebu dapat dipindahkan ke Seremban dan satu daripadanya ialah pembinaan terowong pemindahan air ini.

''Projek ini amat penting ketika kita berhadapan dengan fenomena alam yang luar biasa dan tidak dijangka. Daripada bencana tsunami membawa kepada Taufan Nargis sehinggalah berlakunya kesan gempa bumi, yang kadangkala turut dirasai oleh negara kita.

''Memang Malaysia banyak sumber air mentah, tetapi kita juga pernah mengalami musim kemarau yang berpanjangan, termasuklah di Seremban pada tahun 2005. Hal ini memberi isyarat kepada kita supaya mula bersedia daripada sekarang agar tidak panik apabila musibah melanda,'' jelas beliau.

Beliau juga menambah, sekali pun negeri ini mempunyai kawasan tadahan air dari hutan yang diwartakan, ia masih belum mencukupi dan kerajaan terpaksa mencari sumber air baru bagi memenuhi keperluan air bersih, khususnya bagi daerah Seremban dan Port Dickson yang sedang membangun pesat di semua sektor sama ada industri, hartanah dan pelancongan.

''Saya dimaklumkan kawasan tadahan di sebelah Gunung Angsi tidak lagi dapat menampung tambahan keperluan bekalan air mentah bagi daerah Seremban. Buat masa ini pengeluarannya telah mencapai tahap maksimum bagi kawasan tadahan Empangan Sungai Terip, Empangan Talang dan Empangan Kelinchi.

''Fenomena musim panas yang panjang telah menyebabkan tiga empangan ini mencapai tahap kritikal dan berlaku krisis air pada tahun 2005 di daerah Seremban. Alhamdulillah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita menerima curahan hujan yang banyak dan kesemua empangan itu kini kembali pada paras yang selesa,'' tegas beliau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.