saya nak baca ..

UTARA


ARKIB : 06/06/2008

Keunikan Muzium Padi Kedah


Muzium Padi yang berbentuk seperti gemai padi yang dibina berhampiran sawah padi di Gunung Keriang, Kedah antara tempat yang menarik para pelancong dalam dan luar negeri.


ALOR STAR 5 Jun - Sesuai dengan gelarannya sebagai 'jelapang padi negara', sebuah muzium dikenali 'Muzium Padi' diilhamkan di negeri ini, sekali gus menjadi satu lagi mercu tanda dan daya tarikan pelancong ke Kedah.

Terletak di Gunung Keriang iaitu kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya ini, muzium berkenaan mempamerkan pelbagai spesies padi dan peralatan berkaitan dengan industri tersebut yang digunakan sejak zaman dahulu.

Bangunan yang berbentuk gemai padi itu mempunyai sebuah bangunan induk dan enam buah bangunan sampingan. Dalamannya dihiasi dengan lukisan dan mural yang menggambarkan sejarah, geografi serta teknologi penanaman padi.

Alat-alat penangkapan ikan tradisional seperti bubu dan tuar yang dipamerkan di situ turut menjadikan bangunan yang dirasmikan oleh Sultan Kedah pada 12 Oktober 2004 itu unik dan amat menarik untuk dikunjungi.

Penolong Kurator Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata, asas pembinaan muzium berkenaan ialah bagi mengabadikan kerja-kerja menanam padi tradisional dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya untuk ditonton oleh generasi masa kini dan akan datang.

Ini kerana katanya, kebanyakan generasi zaman sekarang mungkin tidak lagi mengenali alat-alat tradisional untuk mengerjakan sawah seperti penggunaan kerbau, tenggala, 'anok', sisir, kuku kambing, tajak, pisau mengerat dan ketam.

"Peralatan berkenaan mungkin hanya akan tinggal sejarah dan tidak digunakan lagi berikutan penggunaan teknologi moden seperti mesin menabur benih dan jentera menuai oleh pesawah-pesawah sekarang.

"Atas sebab itulah Muzium Padi ini diilhamkan supaya generasi kini dan seterusnya dapat mengenali dan melihatnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dengan bayaran RM3 seorang untuk dewasa dan RM1 seorang dikenakan kepada kanak-kanak, para pelawat akan merasai pengalaman 'mengembara' ke alam kehidupan tradisional penanam padi di muzium yang mempunyai keluasan 12,000 meter persegi itu.

'Pengembaraan' bermula di aras satu dengan pengunjung berpeluang meninjau koleksi jenis-jenis padi dan melihat peralatan persawahan tradisional.

Di aras itu, pengunjung boleh mencuba pengalaman membanting dan menumbuk padi selain dapat melihat alat-alat penangkapan ikan yang hampir pupus seperti sepila, tuar, bubu dan tangkul.

Para pengunjung seterusnya berpeluang melihat galeri yang memuatkan lukisan-lukisan menggambarkan aktiviti-aktiviti pertanian bermula dari zaman purba hingga sekarang di aras dua muzium berkenaan.

Di satu sudut pada aras ini, pihak muzium menyediakan tayangan dokumentari mengenai kaedah penanaman padi selain dapat melihat aktiviti-aktiviti harian pesawah seperti mencabut semai, menyulam, membaja dn menuai.

Dengan mendaki 59 anak tangga ke aras tiga yang menggambarkan seolah-olah mendaki Gunung Keriang hingga ke puncaknya, para pengunjung akan menikmati ruang panorama menarik perkampungan padi tradisional.

Aras terakhir ini turut menempatkan platform berputar yang membolehkan pengunjung menghayati keindahan jelapang padi pada satu musim dalam bentuk mural dan landskap.

Sebagai tanda kenang-kenangan, para pengunjung boleh mendapatkan buah tangan seperti kraftangan berkaitan padi atau membeli makanan tradisional yang berasaskan beras di kedai cenderamata untuk dibawa pulang.

Suhaidi berkata, selepas kira-kira empat tahun beroperasi, muzium padi yang pertama di Malaysia itu kini menggamit purata 1,500 pengunjung setiap hari.

Jumlah itu, katanya, mampu mencecah 2,000 orang pada hujung minggu atau musim cuti sekolah.

Beliau memberitahu, pihak muzium merangka pelbagai rancangan untuk menambah keunikan Muzium Padi itu bagi memastikannya sentiasa menggamit kehadiran pengunjung.

Katanya, ini termasuk merancang untuk menaiktaraf pameran di situ seperti mendapatkan alat-alat tradisional mengerjakan sawah yang digunakan oleh petani di negara lain.

"Sehingga kini kami telah mendapatkan peralatan mengerjakan sawah dari negara Kemboja dan ia kini dalam proses rancangan untuk mempamerkannya," ujarnya.

Selain itu, Suhaidi berkata, pihak muzium turut merancang mempelbagaikan bentuk pameran berkaitan padi seperti pameran interaktif, selaras dengan penggunaan teknologi pada masa kini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.