saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 12/06/2008

Perjuangan 55 tahun Taufiq dalam sastera Indonesia


TAUFIQ ISMAIL


BARU-BARU ini, penyair dan pengarang besar Indonesia, Taufiq Ismail diraikan oleh masyarakat sastera Indonesia, sempena 55 tahun beliau berkecimpung dalam sastera tanah airnya.

Antara acara yang telah dilaksanakan sempena 'ulang tahun' tersebut ialah pelancaran buku koleksi lengkap karya Taufiq (puisi dan prosa), selain seminar khusus yang membicarakan sumbangan beliau yang diadakan di Jakarta.

Turut diadakan juga Seminar Internasional Taufiq Ismail 55 Tahun dalam Sastera Indonesia yang berlangsung di studio TVRI Sumatera Barat, Padang dan disiarkan secara langsung di kaca televisyen negara itu.

Seminar itu menghimpunkan lima orang pemakalah yang membincangkan karya dan ketokohan Taufiq Ismail, di bumi kelahirannya sendiri - Ranah Minang. Pemakalah-pemakalah tersebut ialah Darman Moenir (sasterawan kelahiran Batusangkar, Sumatera), Dr. Ir. Raudha Thaib (Universiti Andalas), Drs. Yulizal Yunus (Institut Agama Islam Negeri Imam Bonjol) dan dua orang sarjana yang didatangkan khas dari Australia - Dr. Ismet Fanany (Deakin University) serta isterinya, Dr. Rebecca Fanany (Swinburne University).

Seminar kecil itu dirasmikan oleh Gabenor Sumatera Barat, Gamawan Fauzo, manakala ucaptama telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Bahagian Pendidikan Nasional, Dr. Fasli Jalal.

Keseluruhan seminar dipengerusikan oleh penulis dan dramatis asal Padang, Wisran Hadi. Dalam kertas kerjanya yang berjudul Karya-karya Taufiq Ismail dalam Gerakan Pembudayaan Manusia Indonesia, Darman Moenir merumuskan kaitan Taufiq dengan setiap puisinya.

Bagi Darman, setiap puisi Taufiq mampu berbicara sendiri, tanpa perlu dihuraikan atau diperjelaskan. Karyanya yang sangat terkenal, Malu (Aku) Jadi Orang Indonesia misalnya sangat jelas memaparkan sikap dan pandangan beliau terhadap beberapa objek yang diubah dan dikonkritkan dalam bentuk puisi.

Ismet Fanany pula menyentuh tentang kemungkinan karya sastera menjadi bahan kajian sejarah, melalui kertas yang berjudul Karya-karya Taufiq Ismail sebagai Bahan Pendidikan Sejarah. Dalam konteks ini, Ismet melihat betapa akrabnya puisi-puisi ciptaan Taufiq dengan sejarah Indonesia.

Hal ini berkait dengan keakraban penyair itu sendiri dengan sejarah negaranya. Beliau memetik Kuntowijoyo (1998) yang menyatakan, “Taufiq adalah penulis yang sangat peka dengan sejarah, kerana riwayat hidup peribadinya memang sarat dengan pengalaman sejarah dan menunjukkan keterlibatan penuh di dalamnya.”

Ismet memetik puisi Seorang Tukang Rambutan Pada Istrinya (1966) sebagai salah satu contoh:

"Tadi siang ada yang mati

Dan yang menghantar banyak sekali.

Ya. Mahasiswa-mahasiswa itu. Anak-anak sekolah yang dulu berteriak: dua ratus, dua ratus!

Sampai bensin juga turun harganya..."

Sarjana dalam bidang pertanian, Dr. Ir. Raudha Thaib, yang juga seorang penyair dengan nama pena, Upita Agustine cuba melihat puisi-puisi Taufiq melalui makalahnya, Kebesaran Taufiq Ismail dan Kecenderungan Budaya Minangkabau.

“Selaras dengan tradisi kebahasaan Minangkabau yang mementingkan kekuatan dan keindahan bahasa serta suasana puitis, kekuatan bahasa Taufiq menjadi roh atau daya dorong yang menghidup puisi-puisinya".

“Keunggulan dan kekuatan bahasanya itu membuatkan penyair mampu menyampaikan puisinya secara jelas dan difahami langsung oleh khalayaknya,” ujar beliau.

Reaksi Taufiq terhadap tragedi tsunami di Acheh misalnya;

Kita saksikan udara Acheh penuh mendung abu-abu warnanya

Kita saksikan burung-burung kecil tak lagi berkicau pagi hari

Kita saksikan puluhan mayat, ratusan mayat, ribuan mayat

Kita saksikan puing, lumpur, potongan kayu, besi, bangkai kendaraan

Kita saksikan gempa lautan membawa tsunami

Tsunami membawa banjir air

Air mata"

Taufiq Ismail turut dilihat sumbangannya dalam sastera dunia, melalui makalah yang dibentang oleh Rebecca Fanany. Dalam hubungan ini, beliau melihat banyak puisi-puisi Taufiq menggambarkan pemikiran pembebasan dan menjadi contoh penyair genre ini yang terbaik yang ada dalam bahasa Indonesia.

Rebecca melihat karya-karya Taufiq mendokumentasi sejarah Indonesia selama 55 tahun dan sangat setia mengikuti gerakan sosial serta pemikiran masyarakat selama itu.

Beliau misalnya membicarakan puisi Takut '66, Takut '98" daripada kumpulan puisi Malu (Aku) Jadi Orang Indonesia untuk menegaskan pendapatnya dalam gerakan sosial tersebut.

Sementara itu, melalui makalahnya, Karya Taufiq Ismail dalam Khazanah dan Perkembangan Kesusasteraan Islam di Indonesia, Drs. Yulizal Yunus pula melihat karya Taufik terutama puisi-puisinya sebagai "signifikan dalam khazanah kesusasteraan Islam serta perubahannya dalam dimensi perkembangan kesusasteraan di Indonesia bersamaan dengan pilar sejarah bangsa (orde lama, orde baru dan era reformasi).

“Melihat posisi syair Taufiq dalam khazanah kesusasteraan Islam dimungkinkan mempersandingkannya dengan puisi yang digubah para ulama dahulu dan intelektual Islam yang menyair di abad-abad moden ini,” katanya.

Pengisian program tersebut dilanjutkan dengan acara baca puisi khas pada sebelah malam. Ia menampilkan penyair-penyair sekitar kota Padang, seperti Darman Moenir, Upita Agustine, Rusli Marzuki Saria, Adri Sandra, Sondri BS, dan Yusrizal KW, selain Taufiq. Mereka membacakan puisi-puisi yang dipilih khusus oleh penulisnya sendiri.

Sementara itu, Taufiq dilahirkan di Bukit Tinggi, Sumatera Barat pada 25 Jun 1935. Pada 1956-57, beliau menerima American Field Service International Scholarship untuk mengikuti pengajian di Whitefish Bay High School di Milwaukee, Amerika Syarikat.

Beliau mendapat pendidikan tertinggi di Universiti Indonesia dan lulus dari Fakulti Kedoktoran Haiwan, Institut Pertanian Bogor (IPB) pada 1963. Beliau adalah antara pengasas majalah sastera Horison pada 1966 yang masih terdapat di pasaran sehingga hari ini dan juga Dewan Kesenian Jakarta (1968).

Pada 1970, beliau menerima Anugerah Seni Pemerintah Republik Indonesia dan 1994 menerima SEA Write Award di Thailand. Tahun 2003 pula beliau dianugerah Doktor Honoris Causa dalam Ilmu Pendidikan Sastera dari Universiti Negeri Yogyakarta.

Karya-karya puisi Taufiq telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Arab, Jepun, Jerman dan Perancis. Kumpulan puisinya yang telah terbit adalah Manifestasi (1963, bersama Goenawan Mohamad, Hartojo Andangjaya, et. al), Benteng (1966) dan Tirani (1966).

Karya-karya lain beliau ialah Puisi-puisi Sepi (1971), Kota, Pelabuhan, Ladang, Angin dan Langit (1971), Buku Tamu Museum Perjuangan (1972), Sajak Ladang Jagung (1973), Puisi-puisi Langit (1990), Tirai dan Benteng (1993) dan Malu (Aku) Jadi Orang Indonesia (1999).

Bersama Ali Audah dan Goenawan Mohamad, Taufiq pernah menterjemah karya Muhammad Iqbal, Membangun Kembali Pikiran Agama dalam Islam. Bersama D.S. Moeljanto, menyunting Prahara Budaya (1994).

Seluruh karya Taufiq baru-baru ini diterbitkan dalam empat jilid, dengan judul Mengakar ke Bumi, Menggapai ke Langit 1 - 4, bersempena dengan 55 tahun beliau dalam sastera Indonesia.

Buku-buku tersebut diterbitkan oleh Panitia 55 Tahun Taufiq Ismail dalam Sastera Indonesia dan Majalah Sastera Horison dan hasil jualannya digunakan untuk dana pembinaan Rumah Puisi yang dirancang sejak sekian lama oleh Taufiq. Pembinaan Rumah Puisi ini sudah pun bermula sejak 20 Februari lalu, terletak di Aie Angek, Tanah Datar, Sumatera Barat, di antara kaki Gunung Merapi dan Gunung Singgalang.

Tahun lalu, Taufiq menerima Habibie Award daripada The Habibie Center yang bernilai RM70,000 kerana sumbangannya yang sangat besar terhadap kesusasteraan dan pendidikan sastera di negara itu.

Sumbangan itu bukan sekadar dalam bentuk 517 puisi, 346 prosa (esei/kritikan) dan 96 lirik lagu yang telah dihasilkannya sepanjang 55 tahun aktif di dunia penulisan, malah lebih-lebih lagi kerana peranan besar yang dimainkannya melalui program Sasterawan Bicara Siswa Bertanya (SBSB).

Program SBSB yang dilancarkan sejak beberapa tahun lalu bertujuan menanamkan rasa cinta para pelajar sekolah terhadap kesusasteraan Indonesia. Antara langkah awal yang telah dimulakannya ialah dengan melatih 1,800 guru dari 12 kota di seluruh Indonesia, melalui program Membaca, Menulis dan Apresiasi Sastera (MMAS).

Setelah itu, beliau membawa 113 sasterawan (juga 11 aktor) dari setiap penjuru kepulauan Indonesia, mengunjungi 213 Sekolah Menengah Atas (SMA) di 164 kota dalam 31 provinsi, untuk membacakan karya sastera mereka dan seterusnya bersoal-jawab dengan siswa melalui aktiviti SBSB.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.