saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/06/2008

Kewartawanan hiburan pencetus inspirasi


Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Gafim kepada Jins Shamsudin.


MALAM Anugerah Tinta Gafim 2008 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat lalu, anjuran Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) merupakan usaha murni mengangkat martabat kewartawanan hiburan yang sering kali diperkecilkan oleh sesetengah pihak.

Sememangnya, ia tidak boleh disamakan dengan kewartawanan berita atau politik yang kebanyakannya memfokus kepada dasar-dasar kerajaan, hal ehwal semasa negara dan juga permasalahan rakyat.

Sungguhpun dilihat secara kasar hanya berlegar di lingkaran gosip, konsert, pelancaran album baru serta perihal rumah tangga artis, kewartawanan hiburan bagaimanapun diakui memiliki kekuatan tersendiri.

Melangkaui batasan tersebut, ia sebenarnya turut terbabit sebagai pemikir dalam memartabatkan seni dan budaya tempatan yang saban hari bagai ‘dihentam’ oleh anasir luar.

Rencana Tidak Berubah Atau Undur Belakang? tulisan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain bertarikh 11 Julai 2007 contohnya mengajak semua menilai kembali senario perfileman negara.

Itu belum lagi jika disentuh soal album dan penganjuran konsert yang rata-ratanya dikuasai oleh artis luar sehingga menyekat periuk nasi artis tempatan.

Hal tersebut diakui Pengerusi Panel Penilaian Anugerah Tinta Gafim 2008, Datuk Johan Jaafar yang berpendapat, penulisan kewartawanan hiburan sememangnya banyak menghasilkan pemikiran baru dalam pelbagai bidang.

“Ini merupakan satu perkara yang cukup baik terutama kepada dunia seni, budaya dan hiburan tempatan.

“Mereka (wartawan hiburan) bukan hanya mencambahkan pemikiran malah turut menyelitkan cadangan-cadangan bermutu yang perlu diambil kira,” katanya ketika ditemui pada majlis penganugerahan itu.

Menurut Johan, jawatankuasa panel penilai optimis andai segala pemikiran dan cadangan yang diutarakan menerusi penulisan hiburan itu dipandang serius, ia pasti membawa kepada perubahan besar terhadap seni, budaya dan dunia hiburan tanah air termasuk filem.

“Bagi pihak kami sebagai penilai, saya melihat penulisan kewartawanan hiburan ketika ini makin berkualiti dan bermutu,” jelasnya.

Penyertaan media bukan berbahasa Melayu
Mengulas mengenai Anugerah Tinta Gafim 2008, Johan turut menyentuh mengenai penyertaan media bukan berbahasa Melayu.

Tidak menghadapai masalah dalam penyertaan media berbahasa Inggeris, Johan melahirkan harapan agar perlunya pembabitan daripada media berbahasa Tamil dan Cina.

“Sebagai contoh, media berbahasa Tamil. Kami sudah menyediakan panel penilai tetapi tiada penyertaan diterima daripada media berkenaan. Kami merasakan mereka lebih banyak menyentuh karya luar. Namun, saya percaya mereka ada menghasilkan penulisan-penulisan berhubung seni tempatan.

“Pihak kami juga ada mencadangkan kepada Gafim supaya menyediakan strategi baru bagi menarik penyertaan media bukan berbahasa Melayu,’’ katanya.

Tiada jawatankuasa khas
Sementara itu, Johan yang ditanya mengenai format penyertaan menjelaskan, segala rencana yang dicalonkan untuk menerima anugerah merupakan rencana yang telah dinilai terlebih dahulu oleh agensi media masing-masing.

“Kami tidak ada jawatankuasa khas untuk menilai semua rencana yang dihasilkan oleh wartawan hiburan.

“Oleh itu, ia bergantung kepada editor-editor hiburan setiap agensi yang terlebih dahulu menilai rencana wartawan-wartawan mereka sebelum menghantar rencana itu kepada pihak Gafim,” ujarnya.

Aimi Jarr Tokoh Wartawan Hiburan
Dilahirkan di Kampung Petani, Kuala Terengganu pada 25 Julai 1939, Omar Puteh atau lebih dikenali dengan panggilan Aimi Jarr cukup sinonim dengan dunia kewartawanan hiburan.

Selama lebih 50 tahun berkecimpung dalam bidang kewartawanan serta penulisan skrip, Aimi Jarr masih tidak jemu belajar dengan meneliti karya-karya penulis terkenal termasuk penulis baru.

Kariernya sebagai penulis bermula sekitar 1957 apabila dia berhijrah ke Singapura dan diterima menjadi pemberita pelatih di majalah mingguan yang diberi nama Gelanggang Filem.

Pada 1 Julai 1970, Aimi Jarr berhijrah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat dengan Utusan Melayu sebagai penolong editor majalah Utusan Filem dan Fesyen sebelum menjadi penyunting untuk akhbar Utusan Melayu serta Utusan Malaysia.

Sepanjang perkhidmatannya bersama Utusan Melayu, Aimi Jarr aktif menghasilkan skrip-skrip filem.

Kini, khidmatnya masih diperlukan dan disebabkan itu, Aimi Jarr bertugas dengan Skop Productions Sdn. Bhd. yang dimiliki Datuk Yusof Haslam sebagai penyunting dan penulis skrip.

Pada majlis yang sama, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Tan Sri Jins Shamsudin menerima Anugerah Tokoh Gafim manakala pengarah berkaliber, Allahyarham Salleh Ghani dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Gafim.

Sebanyak 16 anugerah disediakan oleh pihak penganjur kepada wartawan hiburan media cetak dan elektronik.

Akhbar Utusan Malaysia antaranya memenangi tiga hadiah menerusi penulisan bahasa Malaysia kategori akhbar.

Mereka ialah Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman menerusi rencananya Tidak Berubah Atau Undur Belakang? serta Penolong Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Azman Ismail (FFM20 Ada Sisi Yang Terpinggir?).

Turut menerima anugerah sama ialah wartawan hiburan Utusan Malaysia, Abd. Aziz Ittar dengan rencananya Jadikan Festival Muzik Produk Pelancongan Negara.

Tahun ini, Gafim buat pertama kali menganjurkan Anugerah Tinta yang sebelumnya dilaksanakan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Skrip pengacara berterabur
Dalam pada itu, perjalanan majlis penganugerahan yang berlangsung selama lebih sejam tersebut bagaikan sedikit tercalar dengan skrip pengacaranya yang dilihat berterabur.

Ini membuatkan Sharifah Shahira yang tidak digandingkan dengan sesiapa sering kali tersasul dalam mengumumkan beberapa perkara.

Entah siapa yang patut dipersalahkan kerana ia sepatutnya tidak berlaku memandangkan Anugerah Tinta Gafim 2008 merupakan sebuah majlis yang boleh dianggap berprestij.

Mujur Shahira yang juga antara pengacara berpengalaman mampu menangani perkara itu dengan baik.

Celoteh bersahajanya sahaja sudah cukup menutup segala kelemahan dan membuatkan tetamu tidak ambil peduli terhadap kesilapan berkenaan.

Sementara itu, antara artis-artis popular yang mengambil bahagian menghiburkan tetamu adalah Datuk Ahmad Jais, Amy Search, Ramli Sarip, Faizal Tahir dan Dina (Malaysian Idol).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.