saya nak baca ..

SABAH & SARAWAK


ARKIB : 18/06/2008

Mencintai budaya, alam Maliangin


Berjalan menggunakan buluh merupakan salah satu acara yang menarik pada Hari Kebudayaan Maliangin.


KUDAT 17 Jun – Hari Kebudayaan Maliangin (HKM) mungkin tidak begitu dikenali termasuk di kalangan rakyat Sabah sendiri kerana tidak sepopular sambutan Tadau Kaamatan, Pesta Bengkoka atau Pesta Kalimaran.

Sambutan kebudayaan Maliangin diadakan di Pulau Maliangin Besar, dalam daerah Kudat dan menjadi salah satu perayaan utama yang diraikan oleh kira-kira 100 penduduk di pulau itu setiap tahun.

Perayaan anjuran Dana Sedunia Alam Semula jadi (WWF) Sabah itu memaparkan tradisi tiga suku kaum utama di pulau berkenaan iaitu Suluk, Ubian dan Kagayan.

Menariknya, di samping bertujuan mengangkat nilai kesenian dan kebudayaan suku kaum tersebut, penganjuran Hari Kebudayaan Maliangin sebenarnya mempunyai objektif lebih penting kepada penduduk sekitarnya.

Ini kerana, selain berhibur penduduk dan pengunjung di pulau itu didedahkan dengan semangat untuk mengekalkan dan menjaga kebersihan alam sekitar di kawasan pulau berkenaan.

Usaha memastikan kebersihan di Pulau Maliangin Besar itu sangat penting memandangkan penduduk di situ adalah nelayan dan mereka bergantung sepenuhnya kepada rezeki daripada sumber alam semula jadi iaitu khazanah marin.

Ketua Pegawai Teknikal WWF Malaysia untuk Program Borneo, Dr. Rahimatsah Amat berkata, penduduk di pulau itu harus berbangga dengan kekayaan alam semula jadi terutama keindahan laut yang menjadi tarikan utama pengunjung ke situ.

‘‘Dalam program HKM, kami menyediakan komuniti di pulau itu dan di sekitar daerah Kudat dengan beberapa perkara utama khususnya berkaitan penjagaan alam sekitar.

‘‘Langkah itu, secara tidak langsung akan membuka peluang kepada penduduk pulau berkenaan untuk meneroka peluang dalam industri pelancongan,” katanya ketika ditemui pada sambutan HKM, baru-baru ini.

Kira-kira 300 orang termasuk penduduk tempatan, pegawai dan kakitangan Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perikanan negeri memeriahkan HKM pada 8 Jun lalu.

Lebih menarik, pada tanggal tersebut penduduk global menyambut Hari Lautan Sedunia.

Dr. Rahimatsah menjelaskan, pengetahuan khusus mengenai penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti kepentingan hidupan marin di kalangan penduduk di pulau itu terutama generasi muda perlu dipupuk lebih awal.

Ia, katanya akan dapat mengurangkan masalah kepupusan hidupan marin khususnya terumbu karang kerana masyarakat kini mempunyai banyak pilihan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pulau Maliangin terdiri daripada sekumpulan pulau – Maliangin Besar, Maliangin Kecil, dan beberapa pulau kecil yang berbatu dan terletak 26 batu nautika barat laut dari Kudat.

Maliangin Besar, yang merupakan pulau terbesar, meliputi kawasan seluas 1.47 kilometer persegi. Ia merupakan satu-satunya pulau yang diduduki oleh penduduk.

Populasi Maliangin Besar ialah kira-kira 100 orang. Ini merupakan jumlah yang kecil berbanding dengan 20 tahun dahulu kerana dahulunya pulau ini cuma didiami oleh 80 keluarga.

Penduduk tempatan terdiri terutamanya daripada orang Suluk, Bajau dan Kagayan dan kesemua mereka memeluk agama Islam.

Disebabkan keinginan memperoleh pendidikan serta mencari peluang pekerjaan di Pulau Banggi, Kudat atau Kota Kinabalu, kebanyakan generasi muda Maliangin telah berpindah dari pulau ini.

Ia merupakan sebab utama populasi Maliangin sebahagian besarnya hanya terdiri daripada orang dewasa berumur 30 tahun ke atas.

Salah seorang penduduk, Alinda Nasad, 25, berkata, beliau terpaksa berhijrah ke Pulau Banggi yang terletak tidak jauh dari Maliangin kerana faktor pekerjaan yang terdapat di situ.

‘‘Sebelum ini, saya cuma suri rumah. Tetapi memandangkan kini kerajaan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk, maka saya berulang-alik menggunakan bot dari Pulau Maliangin ke Pulau Banggi setiap hari,” katanya.

Alinda bekerja sebagai penanam getah di Kampung Karakit yang terletak di Pulau Banggi.

Katanya, pekerjaan itu dapat membantunya menambah pendapatan keluarga dan meringankan beban suami yang bekerja sebagai nelayan.

Kebanyakan penduduk Maliangin bergantung sepenuhnya kepada sumber laut yang banyak dan berterusan sebagai sumber pendapatan.

Bagaimanapun, nelayan terpaksa menghabiskan banyak masa memancing untuk memperoleh tangkapan yang mencukupi.

Ini disebabkan oleh bekalan sumber yang semakin berkurangan. Walaupun percubaan telah dijalankan dalam bidang pertanian seperti rumpai laut, padi dan kelapa, perikanan masih merupakan kegiatan utama penduduk ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.