saya nak baca ..

UTARA


ARKIB : 24/06/2008

Keindahan Taman Rekreasi Gunung Lang




IPOH 23 Jun – Bagi warga bandar raya Ipoh atau sekitar Lembah Kinta, mungkin mereka tidak hairan lagi dengan kewujudan Taman Rekreasi Gunung Lang di Jalan Kuala Kangsar dekat sini.

Bagaimanapun, bagi penduduk luar terutama dari kawasan Lembah Klang sudah pasti pemandangan kawasan rekreasi secantik itu begitu mempersonakan mereka.

Ini kerana sama ada percaya atau tidak, pengunjung yang datang buat pertama kali ke kawasan tersebut selalunya akan terpaku dan khayal seketika.

Melihat ketenangan tasik yang membiru dengan dikelilingi bukit-bukit batu kapur yang kaya dengan tanaman menghijau sahaja sudah cukup untuk anda berasa tenang atau melupakan segala tekanan perasaan terpendam selama ini.

Bukan setakat indah, apa yang mengagumkan anugerah Tuhan itu masih baik terpelihara hingga anda boleh berasakan seperti sedang berada di zaman silam atau memasuki dunia fantasi.

Walaupun cuma terletak hanya lima kilometer dari pusat bandar raya, Taman Rekreasi Gunung Lang ini ibarat sebuah kawasan asing kerana tasik-tasik yang terhasil daripada aktiviti bijih timah itu secara semula jadi ‘dilindungi’ oleh bukit-bukit batu kapur.

Secara tidak langsung, para pengunjung akan merasakan mereka sungguh bebas dan damai daripada segala hiruk-pikuk bandar di sekitar Lembah Kinta.

‘Perlindungan’ semula jadi daripada bukit-bukit batu kapur itu juga boleh membuatkan anda berasa sukar untuk percaya bahawa masih terdapat lagi kawasan yang memukau pemandangan di ibu negeri yang rancak membangun ini.

Kehebatan pemandangan tasik yang membiru itu bertambah menarik lagi apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertindak melepaskan ribuan ikan air tawar pelbagai spesies.

Antara spesies ikan yang bakal menanti dan ‘bermain-main’ dengan anda di tasik yang tenang itu ialah ikan kelah, lampam, kap dan talapia.

Menyedari mengenai keunikan dan kecantikannya, Taman Rekreasi Gunung Lang juga telah diperindahkan lagi dengan pelbagai landskap menarik bagi membolehkannya menjadi lokasi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Dalam hal tersebut, MBI yang bertanggungjawab menyelenggara taman rekreasi itu telah menyediakan kemudahan seperti tapak perkhemahan, tandas awam, dapur dan dewan serbaguna demi keselesaan pengunjung.

Daripada segi landskap, taman ini disediakan laluan pejalan kaki meliputi keseluruhan taman yang dilengkapi dengan menara pandang jauh, rumah tradisional Perak, dataran warisan, wakaf terapung, pergola, gerbang warisan dan surau.

Apabila berada di bangunan induk taman itu, mata para pengunjung pasti akan tertumpu pada sebuah ‘pulau’ yang kelihatan menghijau dari jauh hingga menerbitkan perasaan tidak sabar-sabar untuk menjejakinya.

Bagaimanapun, pengunjung tidak perlu risau kerana pihak MBI menyediakan dua buah bot untuk anda ke ‘pulau’ itu yang sekali gus memberi peluang kepada anda meninjau keunikan bukit batu kapur sebelum sampai ke daratan yang dituju.

Memang tidak rugi untuk meneroka ‘pulau’ tersebut kerana di situlah lokasi utama yang menghimpunkan pelbagai spesies bunga seperti heliconia (sepit udang), musa (pisang) dan bougainvillea (bunga kertas).

Himpunan puluhan spesies heliconia atau yang dikenali sebagai ‘sepit udang’ itu menjadikannya sebagai taman terbesar yang pernah menghimpunkan spesies heliconia di Malaysia.

Kebanyakan spesies bunga itu sebenarnya sukar didapati dan hanya tumbuh meliar di tengah hutan di luar negara, jadi bayangkanlah betapa beruntungnya jika dapat melihat flora itu dari dekat.

Spesies berkenaan dijadikan tanaman hiasan kerana keunikannya yang pelbagai jenis dan mempunyai pelbagai saiz, warna dan bentuk yang mampu menarik minat terutama penggemar tanaman hiasan ini.

Antara spesies heliconia yang terdapat di taman itu ialah Heliconia Caribea Gold (keemasan), Rostrata Ruiz and Pavon (merah), Psittacorum Sassy (jingga), Psittacorum Rubra (kuning), Spectabilis India Lamarck (merah jambu) dan Angusta Vellozo Red Christmas (putih kemerahan).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.