saya nak baca ..

IMPAK ALAM


ARKIB : 29/06/2008

Kebersihan peribadi elak penyakit berjangkit




MASIH ingatkah beberapa perkara asas yang pernah diajar ketika kita di prasekolah? Antara yang segar dalam ingatan adalah cuci tangan sebelum dan selepas makan, selepas keluar tandas, menggosok gigi dengan betul dan beberapa perbuatan lagi yang berkaitan dengan kebersihan peribadi.

Selain itu, kita juga diajar supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat bagi memastikan kediaman dan persekitaran kita bersih serta tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Amalan kebersihan peribadi sebegini sememangnya perlu dititikberatkan kepada individu semenjak di peringkat kanak-kanak lagi. Kepentingan menjaga kebersihan peribadi sangat besar manfaatnya kerana ia mampu mengekang penyakit berjangkit.

Apabila seseorang itu begitu memandang serius soal kebersihan peribadi, tentunya dia juga secara automatiknya akan mengambil berat terhadap kebersihan persekitaran tempat tinggal.

Kawasan kediaman yang bersih mampu menjamin tiada unsur- unsur yang boleh menyebabkan merebaknya sesuatu penyakit berjangkit seperti demam denggi dan sebagainya.

Walaupun kelihatan mudah, kebersihan peribadi dan persekitaran sebenarnya memainkan peranan penting terhadap kesihatan secara keseluruhan.

Andainya dua perkara ini diabaikan, maka penyakit seperti masalah pernafasan, gastrousus, demam selesema, selesema, jangkitan tekak, sinusitus, radang kulit dan sebagainya mudah menjangkiti.

Dalam Kongres Antarabangsa Penyakit Berjangkit (ICID) ke-13 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, keputusan satu kajian yang dijalankan di Cape Town, Afrika Selatan dibentangkan, yang mana menunjukkan kebersihan peribadi dan rumah mampu mengurangkan penyakit berjangkit.

Ia dibentangkan oleh Dr. Eugene Cole, Melissa Hawkley, Benjamin Crookston dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengajur Tempatan ICID ke-13, Dr Christopher KC Lee yang juga merupakan Ketua dan Pakar Runding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh.

Kajian tersebut menunjukkan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah kurang mengalami masalah pernafasan, gastrousus dan penyakit kulit apabila keluarga mereka menyertai pendidikan kebersihan intensif dengan penggunaan produk kebersihan berbanding hanya menggunakan air.

Ia mendapati pendidikan kebersihan dapat mengurangkan penyakit berbanding tiada pendidikan langsung. Bagaimanapun, apabila produk kebersihan berkesan (sabun antibakteria, pencuci permukaan/disinfektan dan antiseptik kulit) digunakan sebagai tambahan kepada pendidikan, risiko penyakit didapati jauh berkurangan.

“Keputusan ini sangat penting dan menunjukkan kesan yang mendalam. Kebanyakan penyakit dalam kajian ini boleh dicegah dengan pendidikan kebersihan dan penggunaan produk kebersihan serta berpotensi mengurangkan risiko utama dikaitkan dengan penyakit dan kematian di kalangan kanak-kanak masyarakat sederhana dan daif,” kata Dr. Eugene yang merupakan ketua penyelidik bagi kajian tersebut.

Ujarnya lagi, masyarakat yang menerima pendidikan kebersihan dan menggunakan produk kebersihan kurang jatuh sakit berbanding mereka yang tidak.

Kumpulan kajian

Kajian ini dirancang dan dikendalikan di bawah projek kemasyarakatan Kerjasama Kesihatan dan Promosi Kebersihan (HPP) yang diasaskan pada 2005 dengan kerjasama antara Reckitt Beckinser Inc. dan Universiti Brigham Young, Amerika Syarikat. Ia turut dibantu anggota masyarakat kawasan perumahan di bawah kelulusan Jabatan Kesihatan Bandaraya Cape Town.

Sejumlah 1,292 keluarga dalam masyarakat yang mempunyai latar sosioekonomi rendah di luar Cape Town, menyertai kajian ini. Ia terbahagi kepada dua kumpulan masyarakat iaitu yang pertama, KWA5 dan Sweet Home yang menginap dalam kawasan perumahan tidak terancang (setinggan) yang berkongsi bekalan air dan tandas. Satu lagi komuniti (Dunoon dan Triangle) tinggal dalam kawasan perumahan terancang di bawah proses pembangunan dan pembinaan semula. Kebanyakan kediaman komuniti kedua mempunyai bekalan air paip dan tandas pam.

Peserta dari kumpulan Triangle dan Sweet Home diberi pendidikan kebersihan dan produk kebersihan, manakala keluarga dari kumpulan Dunoon dan KWA5 hanya diberi pendidikan kebersihan.

Data beban penyakit dikumpul dari bulan Jun hingga November 2006 dan sekali lagi dalam tempoh yang sama tahun lalu, selepas pendidikan dan produk diperkenalkan.

Pendekatan Kajian

Aspek unik kajian ini ialah penyertaan menerusi pembelajaran dan tindakan yang membabitkan usaha mengenal fasilitator kajian dari kalangan masyarakat tempatan.

Mereka dilatih mengenai pelbagai aspek kebersihan dan kesihatan, termasuk cara betul membasuh tangan, mandi menggunakan sabun, membersih tandas dan permukaan tempat menyediakan makanan dan merawat masalah kulit dengan antiseptik.

“Mulanya memang sukar untuk mereka mengikuti pendidikan yang kita beri, namun lama-kelamaan boleh menerima setelah melihat kesan positif,” kata Melissa Hawkley yang merupakan pentadbir projek tersebut.

Menurutnya, selain memberi pendidikan kesihatan, kumpulan fasilitator turut bertindak mengadakan lawatan dari rumah ke rumah untuk memastikan peserta mempraktikkan amalan yang telah diajar.

“Kebersihan adalah urusan setiap individu. Itu yang kami terapkan kepada mereka,” katanya lagi.

Keputusan kajian

Meskipun pendidikan kebersihan menyeluruh sahaja yang berkesan mengurangkan masalah gastrousus, pernafasan dan jangkitan kulit di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun, kadar pengurangan penyakit berjangkit menunjukkan kesan ketara selepas mereka didedahkan dengan pendidikan kesihatan serta menggunakan produk kebersihan.

Di kawasan perumahan terancang, kumpulan yang tidak menerima produk kebersihan mempunyai risiko 25 peratus kemungkinan mengalami masalah pernafasan, 27 peratus masalah gastrousus dan 26 peratus penyakit kulit.

Bagi kawasan perumahan tidak terancang, kumpulan yang tidak menerima produk mempunyai risiko 26 peratus mengalami masalah pernafasan, 43 peratus masalah gastrousus dan 46 peratus mengalami penyakit kulit.

Hasil kajian menunjukkan kaitan antara pendidikan kebersihan dan amalan kebersihan yang baik mampu mengurangkan penyakit berjangkit.

Ia juga membuktikan pembelajaran dan tindakan menerusi penyertaan masyarakat khususnya pembabitan keluarga dapat menggerakkan masyarakat untuk menjaga kesihatan dan menerima perubahan sosial.

Oleh yang demikian, model pendidikan ini boleh digunakan oleh negara maju dan membangun yang lain.

“Kajian ini mengesahkan pentingnya kebersihan peribadi dan rumah dalam usaha membantu mengurangkan penyakit dalam masyarakat sosioekonomi rendah.

“Semua masyarakat perlu mempunyai pendidikan kebersihan dan sikap juga perlu menjurus ke arah itu untuk menjamin kesihatan menyeluruh. Pembelajaran daripada kajian ini boleh digunakan untuk membaiki tahap kesihatan dan kebersihan di seluruh dunia,” kata Dr. Christopher KC Lee.

“Jangan lupa basuh tangan.”

Itu pesan ibu yang selalu diucap sebelum makan ketika kita masih kecil. Pesan itu tentunya melekat dalam ingatan hingga ke hari ini.

Namun, adakah kita pasti tangan yang sudah dibasuh itu benar-benar bersih?

Etika membasuh tangan dengan betul sebenarnya masih belum diamalkan sepenuhnya oleh masyarakat biar pun ia kelihatan mudah.

Kebanyakan jangkitan, terutama demam selesema dan gastroenteritis, dijangkiti apabila kita memasukkan tangan yang tidak dibasuh, yang mana dicemari bakteria ke dalam mulut ketika makan.

Tangan dan pergelangan perlu dibasuh dengan air dan sabun serta disental dengan berus seandainya terdapat kekotoran pada kuku. Keringkan tangan dengan kain lap bersih, tisu atau alat pengering selepas dibasuh.

Anda patut membersihkan tangan:

l selepas menggunakan tandas

l selepas mengendalikan kucing atau haiwan

l jika bertemu dengan seseorang yang sedang mengalami batuk atau demam selsema.

l selepas tindakan kurang menyenangkan seperti mengorek hidung, telinga, memicit jerawat, menggigit kuku dan sebagainya.

Gunakan tisu untuk menutup mulut atau gunakan lengan atas atau kawasan belakang siku ketika batuk atau bersin daripada membiarkan ia terbuka dan terdedah. Basuh tangan serta merta selepas itu.

Bagaimanapun menurut Dr. Eugene, penggunaan produk kebersihan tidak terhad kepada jenama tertentu sahaja. Bagi masyarakat dengan pendapatan rendah, memiliki produk kebersihan tertentu pastinya mengundang masalah dari segi kewangan.

“Yang penting, gunakan sebarang jenis sabun untuk mencuci tangan bagi memastikan ia benar-benar bersih,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:10
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.