saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 02/07/2008

Ezam dakwa PKR salah guna kuasa

SHAH ALAM 1 Julai - Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor mendakwa PKR Selangor menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan lambang Pejabat Menteri Besar pada kepala surat untuk mendapatkan sumbangan daripada syarikat swasta bagi meraikan sambutan 100 hari pentadbiran kerajaan campuran negeri itu.

Menurutnya, beliau menerima salinan surat berlambangkan Pejabat Menteri Besar itu daripada salah sebuah syarikat swasta yang diminta menghulurkan sumbangan demikian, baru-baru ini.

''Penggunaan kepala surat dan nombor faks pada surat permohonan kutipan sumbangan derma sambutan 100 hari pentadbiran kerajaan campuran negeri Selangor kepada syarikat swasta, membuktikan Pejabat Menteri Besar sememangnya terbabit mengedarkan surat berkenaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat laporan berhubung perkara itu kepada Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Selangor, Ja'afar Mahad, kira-kira pukul 10.45 pagi di Pejabat BPR negeri di Tingkat 14, Plaza Masalam, di sini hari ini.

Mohamad Ezam berkata, beliau membuat laporan berlaku penyalahgunaan kuasa membabitkan Pejabat Menteri Besar berikutan adanya bukti kukuh berhubung perkara itu.

''Ada tuduhan saya berbohong apabila saya mengatakan mereka guna Pejabat Menteri Besar, tuduhan berbohong itu sangat serius yang mencabar kredibiliti saya, dan saya mahu tunjukkan kepala surat dan faks nombor itu jelas menunjukkan ia Pejabat Menteri Besar Selangor.

''Dua bukti kukuh ini saya serahkan kepada BPR atas dakwaan salah guna kuasa, semuanya hal parti, tetapi depan (kepala surat) Pejabat Menteri Besar, ini salah guna Pejabat Menteri Besar,'' katanya.

Sebelum ini, bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Selangor, Mohd. Yahya Mat Sahri yang meletak jawatan pada 21 Jun lepas setelah digantung tugas oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mendakwa surat yang dihantar kepada syarikat swasta bagi mengutip sumbangan itu menggunakan kepala surat parti PKR Selangor dan bukannya Pejabat Menteri Besar atau kerajaan negeri.

Abdul Khalid mengakui wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari itu dimasukkan ke akaun PKR dan bukan kepada kerajaan negeri seperti sepatutnya sehingga dipercayai menimbulkan rasa kurang senang pengerusi penganjur sambutan itu, Datuk Dr. Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor.

Perkara itu terbongkar selepas Mohamad Ezam mendedahkan wang sumbangan tersebut dimasukkan ke dalam akaun PKR sedangkan surat yang dikeluarkan kepada syarikat swasta untuk memohon sumbangan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor.

Ditanya berhubung laporan BPR itu, Mohamad Ezam menegaskan, beliau membuat laporan kepada BPR bukan disebabkan motif politik, tetapi atas kapasiti sebagai seorang rakyat Selangor yang dilahirkan di Klang.

Beliau yang menganggotai UMNO cawangan Makmur Setia di Bahagian Petaling Jaya Selatan setelah permohonannya diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 26 Jun lalu, berkata, pendedahannya mengenai penyalahgunaan kuasa Pejabat Menteri Besar itu bertujuan untuk membuktikan sememangnya berlaku keretakan dalam kerajaan campuran PKR, Pas dan DAP di Selangor.

''Ini kerana program itu dipengerusikan oleh Datuk Dr. Hassan Ali di peringkat kerajaan negeri, tetapi ada manipulasinya membabitkan PKR di pihak yang lain, saya difahamkan pihak Pas amat tidak berpuas hati dengan keadaan ini,'' ujarnya.

Menurutnya, keretakan pakatan pembangkang itu cuba ditutup oleh Anwar dengan mengalihkan kepada isu lain seperti melompat parti oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Beliau berpendapat, isu kutipan derma dan sumbangan itu dan pelantikan adik Anwar sendiri, Rusli Ibrahim dalam anak syarikat kerajaan negeri membuktikan berlaku penyalahgunaan kuasa oleh sebuah kerajaan yang baru 100 hari dibentuk atas nama reformasi untuk melakukan perubahan dan ketelusan.

''Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen PKR untuk melakukan 'reform' sebenar-benarnya, dalam kes ini nepotisme, saya sendiri tidak yakin, sebab itu saya keluar (PKR),'' katanya.

Mengenai tindakan yang sepatutnya diambil Pas ekoran itu, beliau berkata, parti itu seharusnya berpegang kepada prinsip perjuangan mereka selama ini untuk melakukan perubahan.

''Saya serahkan kepada kepimpinan Pas, saya rasa jelas apa yang berlaku merupakan satu pembelotan rakan pakatan mereka.

''Tetapi saya serahkan kepada kepimpinan Pas untuk membuat keputusan, bagi saya belum terlambat, baru 100 hari.

''Dalam tempoh itu, harus buat penilaian dan keputusan untuk kepentingan rakyat dan negara,'' katanya.

Sementara itu, Ja'afar mengesahkan pihaknya menerima laporan Mohamad Ezam dan siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegah Rasuah 1997.

Menurutnya, BPR sebelum ini telah menjalankan siasatan awal berhubung kutipan derma untuk sambutan 100 hari kerajaan campuran itu dan akan menyerahkan hasil siasatan kepada Pejabat Peguam Negara bagi menentukan ada kes atau sebaliknya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.