saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 09/07/2008

Masalah tanah di Selangor jejas projek CAR

KUALA LUMPUR 8 Julai - Kerajaan negeri Selangor diminta menyelesaikan isu tanah di Kampung Sungai Terentang, Rawang bagi membolehkan pemasangan talian penghantaran elektrik voltan tinggi bagi projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) disiapkan segera.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, projek CAR yang sudah siap 98 peratus tertangguh hampir setahun dan perlu diteruskan bagi menangani masalah gangguan bekalan elektrik di kawasan tengah Semenanjung Malaysia terutama Lembah Klang.

''Projek menaik taraf talian voltan daripada 33 kilovolt (kV) kepada 275 kV sepanjang 60 kilometer itu adalah antara usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor bagi menangani masalah itu.

''Ia perlu diteruskan memandangkan Selangor rancak dalam aspek kepesatan pembangunan, pertambahan penduduk, operasi pelabuhan dan perindustrian yang bergantung kepada bekalan elektrik," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Pengurus Besar Kanan TNB Selangor, Datuk Amir Nordin Abdul Aziz. berkata, TNB akan tetap meneruskan dua projek utama yang telah dirancang bersama-sama kerajaan negeri sebelum ini demi memastikan mutu perkhidmatannya dapat dipertingkatkan dan memanfaatkan rakyat.

Projek CAR adalah satu daripada projek itu selain projek menyalurkan bekalan elektrik ke perkampungan nelayan di Pulau Ketam melalui kaedah kabel bawah laut yang menelan kos kira-kira RM70 juta yang dijangka siap pada hujung 2009.

Shaziman berkata, dari segi perundangan, pihak TNB menggunakan hak izin lalu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13 Akta 447 Akta Bekalan Elektrik (ABE) 1990 dan telah mematuhi segala prosedur yang digariskan.

Katanya, projek CAR sepatutnya siap pada 31 Ogos tahun lalu tetapi tergendala disebabkan bantahan penduduk kampung berkenaan terhadap kerja-kerja menaik taraf talian penghantaran yang melalui kawasan itu.

''Penduduk Kampung Sungai Terentang juga telah mengambil tindakan mahkamah dengan memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap isu ini tetapi ditolak.

''Mereka juga mencadangkan beberapa jajaran baru tetapi setelah mengambil kira kajian TNB dan Pentadbir Tanah Daerah Gombak, ia tidak dapat dilaksanakan kerana faktor geografi yang tidak sesuai," jelasnya.

Katanya, kerajaan negeri Selangor telah mewartakan pengambilan balik tanah pada bulan Disember 2007 dan Notis Panggilan Perbicaraan (Borang E) yang masih belum dikeluarkan Pejabat Tanah Daerah Gombak kepada pemilik tanah untuk menentukan pembayaran pampasan turut menyebabkan kakitangan TNB tidak dapat memasuki kawasan itu.

Selain itu, pihak TNB juga telah beberapa kali diminta untuk memberi taklimat kepada barisan kerajaan negeri Selangor yang baru termasuk Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk memberi penjelasan mengenai alasan cadangan jajaran alternatif yang dikemukakan penduduk Kampung Sungai Terentang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.

''TNB juga telah bersetuju membayar pampasan tambahan sekali ganda daripada nilaian yang dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan dan membina semula bangunan dan kemudahan awam seperti balai raya dan perpustakaan kepada penduduk yang terlibat.

''Selain itu, TNB akan menjadikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kampung itu sebagai sekolah anak angkat dengan memberi bantuan dan melaksanakan program kemasyarakatan dan mempertimbangkan kegunaan menara jenis monopole yang mempunyai empat menara," jelasnya.

Beliau berkata, isu berkenaan sudah tiga kali dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Selangor dalam tempoh dua bulan ini, bagaimanapun masih belum mendapat sebarang keputusan.

''Selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, kita minta agar kerajaan Selangor dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin dengan memberi kebenaran TNB membina menara transmisi.

''Ini bagi mengelakkan kejadian gangguan elektrik 2005 berulang kembali sekiranya projek ini tergendala tanpa kerjasama daripada semua pihak untuk diteruskan dalam waktu terdekat ini," ujarnya.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.