saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/07/2008

Mengukuh hubungan Malaysia-Australia

PERDANA Menteri Australia, Kevin Rudd menyempurnakan lawatan rasmi ke Malaysia kelmarin. Kunjungan kali pertama itu bertujuan meningkat lagi kerjasama Kuala Lumpur-Canberra yang lebih praktikal berikutan hubungan diplomatik kembali rapat pada 2005.

Isu pertemuan Rudd dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahalui lawatan beliau ke negara ini.

Bagaimanapun, Rudd akur kepada protokol Kerajaan Malaysia dan Australia yang sedia ada dan tidak mahu merumit lagi kemelut politik negara. Atas kepentingan dasar protokol dan etika hubungan antarabangsa, cadangan untuk bertemu dengan Penasihat PKR itu dibatalkan. Protokol dan etika adalah penting untuk menjaga keharmonian hubungan diplomatik. Jika tidak dipatuhi, ia merendah nilai etika negara tuan rumah atau negara pelawat.

Hubungan diplomatik Malaysia-Australia telah terjalin sejak 1950 dalam bidang pendidikan, ekonomi, pertahanan dan keselamatan. Malah, keahlian negara dalam Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1957 disokong oleh kerajaan Australia. Sepanjang hubungan diplomatik dengan Australia, ada kalanya ia rapat dan ada masanya tegang. Ini bergantung kepada pandangan dan sikap pucuk pimpinan kedua-dua negara dalam menangani isu politik antarabangsa yang mempunyai implikasi dasar ke atas dua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan kunjungan rasmi ke Australia pada April 2005 disusuli dengan lawatan balas John Howard ke Malaysia pada tahun berikutnya. Hasil penting daripada lawatan rasmi dua hala itu ialah keputusan untuk melaksanakan kajian kemungkinan kawasan perdagangan bebas (FTA) Malaysia-Australia pada 2006.

Dengan lawatan Ruud itu, kedua-dua negara bersetuju untuk mengkaji semula cadangan FTA Malaysia-Australia. Bagaimanapun, pada ketika ini kerajaan lebih berminat menumpukan pada perbincangan yang sedang diadakan terhadap FTA ASEAN-Australia-New Zealand. Ini kerana isu yang sama akan dibangkitkan dalam FTA yang lebih luas itu.

Aktiviti komersial antara ahli perniagaan Malaysia dengan Australia diselaras oleh Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC), Majlis Perniagaan Australia Malaysia (AMBC) dan Jawatankuasa Bersama Perdagangan Australia-Malaysia.

Dialog antara tiga institusi itu untuk meningkatkan aktiviti komersial yang sedia antara dua buah negara.

Pandangan mereka juga diambil kira dalam perbincangan FTA Malaysia- Australia.

Hubungan Malaysia-Australia yang akrab itu boleh dilihat dengan rekod perdagangannya. Sehingga 2007, ia menunjukkan trend meningkat.

Dari perspektif negara Asia Pasifik itu, Australia mengimport dari Malaysia kira-kira A$7 bilion. Eksportnya ke Malaysia kira-kira A$3 bilion. Perdagangan dua hala itu memihak kepada Malaysia. Bagi Australia, Malaysia adalah sumber import yang kelapan terpenting dan ke-12 terpenting dari segi destinasi eksportnya.

Kestabilan ekonomi dikukuh lagi dengan kekuatan pertahanan dan keselamatan. Ini menjamin keyakinan pelabur tempatan dan juga luar negara. Menyedari hakikat itu, kerajaan telah menjalinkan kerjasama pertahanan dan keselamatan sejak tahun 1971 menerusi Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) sejak tahun 1992. FPDA dan MAJDP masih relevan lagi kerana perjanjian itu membawa kebaikan kepada kedua-dua negara.

Negara anggota FDPA lain ialah United Kingdom (UK), New Zealand dan Singapura. Dalam perjanjian FDPA, UK, Australia dan New Zealand akan membantu Malaysia atau Singapura jika berlaku serangan luar ke atas dua negara ASEAN itu.

MAJDP lebih menumpu kepada pembangunan modal insan dalam bidang ketenteraan, pertahanan dan keselamatan dengan Australia menyediakan kepakaran itu kepada Kementerian Pertahanan Malaysia.

Berikutan peristiwa 9/11 di New York dan pengeboman Bali 2002, Australia dan Malaysia telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menangani terorisme antarabangsa. Selain itu, perjanjian dua hala dimeterai pada Disember 2006 dalam hal jenayah dan pelaku jenayah dalam dua negara akan diserah balik kepada negara asal untuk diadili.

PerkhidmatanCorak pelaburan Australia kini menumpu dalam industri perkhidmatan. Pada tahun 2007, eksport Australia ke Malaysia dalam sektor perkhidmatan yang berkaitan dengan pendidikan ialah kira-kira AS$671 juta.

Sebenarnya, kerjasama pendidikan dengan Australia telah terjalin sejak 1950 menerusi Pelan Colombo. Kini terdapat Universiti Monash, Universiti Curtin dan Universiti Teknologi Swinburne dalam industri pendidikan negara.

Dalam perkembangan terbaru, Malaysia dan Australia juga bersetuju untuk memperkenalkan program visa kerja dan percutian bagi membolehkan golongan muda terutama pelajar universiti kedua-dua negara saling melawat negara masing-masing.

Selain itu, Pak Lah dan Rudd juga bersetuju untuk melancarkan program perintis rakan sekolah membabitkan enam sekolah di Malaysia dan enam sekolah di Australia bagi membolehkan generasi muda saling mengenali dengan lebih baik. Ini akan membolehkan generasi akan datang memahami dan menghargai satu sama lain dengan lebih baik seperti yang dimatlamatkan oleh Institut Australia-Malaysia (AMI).

AMI ditubuhkan oleh Kerajaan Australia pada April 2005 dengan objektif untuk memahami masyarakat Malaysia dengan lebih jelas dan tanpa prejudis. Penubuhan AMI, yang dibiayai sepenuhnya oleh Australia, adalah hasil daripada lawatan Pak Lah ke negara itu pada tahun 2005.

Program-program AMI dengan Malaysia menerusi dialog dan pertukaran maklumat adalah ke arah matlamat untuk mengukuh hubungan diplomatik Australia dan Malaysia pada jangka panjang.

Hubungan Malaysia-Australia telah terjalin sejak tahun 1950, bermula dengan Pelan Colombo. Kerjasama dalam bidang sosial, pendidikan, ekonomi dan pertahanan serta keselamatan telah memanfaatkan rakyat masing-masing. Ketegangan hubungan diplomatik boleh diselesaikan menerusi adab perundingan.

Apabila masing-masing saling menghormati dan menjaga protokol hubungan antarabangsa, ia membawa situasi menang-menang kepada semua pihak. Pelaku dalam hubungan diplomatik Malaysia-Australia, di peringkat individu dan institusi, perlu lebih komited untuk membangunkan ekonomi dua negara.

Semua itu mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat serta meningkatkan kebajikan ekonomi menerusi perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.