saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 16/07/2008

Jubli Emas Sultan Kedah penuh istiadat


TUANKU Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun melambai tangan kepada rakyat jelata semasa menaiki Bahtera Emas Lapis Suasa ketika perarakan beristiadat dari Dataran Wisma Darul Aman ke Dataran Balai Besar bagi sambutan Jubli Emas 50 tahun pemerintahan Sultan Kedah di Alor Star, semalam.


ALOR STAR 15 Julai - Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini diraikan segenap lapisan rakyat dalam suasana gilang-gemilang dan penuh tradisi Kesultanan Melayu.

Upacara kira-kira tiga jam itu bermula dengan perarakan diraja sejauh 3.2 kilometer bermula dari Wisma Darul Aman sehingga ke Balai Besar di depan Masjid Zahir di bandar raya ini.

Perarakan penuh warna-warni dan adat-istiadat itu turut dimeriahkan dengan perbarisan 10,000 murid sekolah di bahu jalan bermula dari persimpangan Wisma Darul Aman menuju ke persimpangan Jalan Putra.

Sultan dan Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun diarak menggunakan 'Bahtera Emas Lapis Suasa' sambil diiringi oleh tiga kumpulan pancaragam sekolah menengah, Pasukan Berkuda Polis Diraja Malaysia, Kontijen Pegawai Tadbir Negeri (KCS), empat hulubalang diraja dan kenderaan Sultan Kedah.

Lebih menarik perarakan beristiadat itu turut diiringi oleh tiga ekor gajah digelar 'Deli', 'Ita' dan 'Mariam' yang dibawakan khas dari Kelantan dengan dipakaikan kostum berwarna merah sempena bendera negeri Kedah.

Unit gajah berkenaan berada di bahagian depan bagi menerajui bahtera yang dinaiki oleh Sultan dan Sultanah Kedah sebagai simbolik perisai betapa pentingnya mempertahankan raja pada setiap masa.

Walaupun hujan renyai-renyai seketika sewaktu perarakan berlangsung, ribuan rakyat jelata juga tidak mahu ketinggalan menyaksikan perarakan dan istiadat perbarisan kehormat serta pengisytiharan jubli emas sempena hari bersejarah itu.

Sejurus perarakan tiba di hadapan Balai Besar, Sultan dan Sultanah Kedah berangkat turun dari bahtera menuju ke Pentas Diraja.


Gajah jantan dari Kelantan bernama Deli mendapat perhatian ramai semasa perarakan dan perbarisan sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Alor Star, semalam.


Pasukan Kawalan Kehormat kemudian menyembah 'Hormat Diraja' dan lagu Allah Selamat Sultan dialunkan sebelum bendera peribadi Sultan Kedah dikibarkan diiringi tembakan meriam 50 das.

Upacara diteruskan dengan Sultan Kedah memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan sebelum baginda berangkat semula ke Pentas Diraja disusuli sembah 'Hormat Diraja' oleh Pasukan Kawalan Kehormat sebelum lagu Allah Selamat Sultan dimainkan sekali lagi.

Sultan dan Sultanah Kedah kemudian berangkat ke Bilik Menunggu di Balai Besar.

Turut hadir menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah; Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz dan lain-lain kerabat bergelar.

Selepas Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah, Azizan dan lain-lain kerabat bergelar serta tetamu jemputan mengambil tempat di Dewan Penghadapan Balai Besar, Tuanku Abdul Halim dan Sultanah Haminah berangkat masuk ke Balai Penghadapan.

Baginda berdua diiringi oleh pegawai-pegawai yang membawa cogan agama, cogan alam, Cokmar dan Lembing serta juru-juru iring pegawai tentera serta polis didahului oleh Datuk Indera Senggara, Datuk Saad Endut.

Payung-payung istiadat dikembangkan dan paluan nobat lagu perang dipersembahkan sebelum Sultan dan Sultanah Kedah bersemayam di atas singgahsana.


Sultan dan Sultanah Kedah menaiki Bahtera Emas Lapis Suasa dalam perarakan beristiadat dari Dataran Wisma Darul Aman ke Dataran Balai Besar bagi sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah di Alor Star, Kedah, semalam.


Datuk Indera Senggara kemudian menghadap Sultan Kedah bagi mempersembah maklum memohon izin memulakan istiadat dan Menteri Besar melafazkan pengisytiharan sambutan perayaan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah.

Ia diikuti paluan nobat lagu perang sebelum Mufti Negeri, Datuk Paduka Sheikh Hasbullah Abdul Halim membacakan doa sebaik sahaja istiadat tersebut selesai.

Datuk Indera Senggara sekali lagi menghadap Sultan Kedah mempersembah maklum memohon izin untuk menamatkan istiadat sebelum Sultan dan Sultanah Kedah berangkat turun dari singgahsana diikuti paluan nobat.

Upacara berakhir apabila Sultan dan Sultanah Kedah didahului oleh Datuk Indera Senggara diiringi pembawa-pembawa alat kebesaran Diraja berangkat meninggalkan majlis diikuti juruiring.

Sultan Kedah diputerakan pada tanggal 28 November 1927 dan menaiki takhta kerajaan negeri Kedah Darul Aman pada 15 Julai 1958 setelah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah mangkat.

Pada 20 Februari 1959, baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah ke-28 dan Tuanku Bahiyah Tuanku Abdul Rahman ditabalkan secara rasmi sebagai Sultanah Kedah dalam satu istiadat gilang-gemilang di Balai Besar di sini.

Hari ini, genap 50 tahun pemerintahan baginda di bumi Kedah Darul Aman dan pelbagai acara diatur bagi memeriahkan lagi sambutan itu.

Acara sambutan dimulakan pada hari ini dan bakal diakhiri dengan pelancaran buku 40 Tahun Lembaga Kemajuan Perempuan Islam pada 18 Ogos depan di Hotel Sentosa Regency di sini.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:10
Asar 4:32
Maghrib 7:06
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.