saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/07/2008

Rancang hadapi kesan inflasi


keputusan kerajaan menaikkan harga minyak mesti diimbangi dengan langkah meringankan beban rakyat dan golongan peniaga. - Gambar hiasan


KESAN peningkatan harga minyak sedunia yang didagangkan di New York Mercantile Exchange (NYMEX) amat dirasai terutamanya oleh rakyat Malaysia.

Dengan kenaikan harga bahan api tersebut maka berlaku juga kenaikan Indeks Harga Pengguna pada kadar yang cukup tinggi dari 3 peratus kepada 6 hingga 7 peratus atau mungkin lebih pada akhir tahun depan.

Tiada lagi keajaiban ekonomi untuk negara-negara yang pernah dikenali sebagai harimau Asia seperti dekad 1990-an di mana Ke- luaran Negara Kasar (KNK) negara mampu mencecah angka 8 hingga 9 peratus setahun.

Sehingga hari ini, KNK negara melingkar hanya dari 5 hingga 6 peratus hampir separuh kurang daripada jangkaan setiap tahun seperti dekad lalu yang mampu membantu kepada pencapaian Wawasan 2020.

Pada hari ini, Malaysia ditekan dengan persaingan sengit dari negara-negara dunia ketiga seperti Vietnam, Thailand dan India, terutama dari segi kos buruh yang murah.

Ini dapat dilihat apabila kilang-kilang barangan elektronik kepenggunaan mula menutup operasi mereka di Malaysia dan beralih ke negara-negara jiran. Tidak cukup dengan itu, beratus ribu rakyat Malaysia yang bergantung sumber pendapatan dan rezeki mereka dari rantaian operasi pengeluaran barangan elektronik kepenggunaan syarikat asing ini.

Ditambah dengan itu, kesan inflasi yang tinggi ekoran kenaikan harga minyak menambahkan lagi tekanan kepada golongan yang kehilangan sumber pendapatan. Apa yang dapat disaksikan adalah negara mengalami masalah stagflasi (stagflation) yang serius iaitu inflasi yang memuncak tinggi diiringi oleh pembangunan ekonomi yang beku di pasaran domestik.

Jika pada dekad-dekad 80-an dan 90-an kadar inflasi dapat didisiplinkan dengan peningkatan kadar faedah yang tinggi di bank- bank perdagangan, situasi yang berbeza dapat dilihat pada hari ini apabila inflasi memuncak dan pada masa yang sama pengangguran juga tinggi.

Inilah masalah baru yang dihadapi oleh ekonomi dunia dan para penganalisis pasaran tercari-cari formula tepat untuk menangani masalah ini dari menjadi lebih teruk.

Walaupun diakui bahawa Malaysia dikategorikan bukan antara negara yang mampu menawarkan kadar gaji buruh yang rendah, tetapi corak pelaburan yang diperlukan oleh pelabur antarabangsa adalah tidak bergantung sepenuhnya kepada kadar buruh yang rendah semata-mata. Kadar pelaburan terus adalah disumbang oleh pelbagai faktor seperti budaya, cuaca, kestabilan politik, kedudukan geo-strategik, dasar ekonomi luar sesebuah kerajaan yang membantu, nilai kuasa beli wang sesebuah negara dan banyak lagi.

Faktor-faktor ini digelar sebagai kelebihan bandingan (comparative advantage). Melalui kelebihan bandingan inilah banyak pelaburan asing mampu ditarik masuk oleh sesebuah negara dari sesebuah syarikat transnasional yang ingin beroperasi.

KepuasanKelebihan bandingan ini dapat dilihat apabila banyak pelancong dari Australia masuk ke pulau Bali, Indonesia bagi mendapatkan perkhidmatan dan kepuasan belanja nilai dolar Australia walaupun negara mereka sendiri terkenal sebagai pusat percutian pantai yang baik. Malaysia juga tidak harus terkecuali dan perlu berusaha keras bagi menonjolkan kelebihan bandingan yang ada pada Malaysia kepada pelabur luar bagi menarik FDI ke dalam negara.

Masalah stagflasi yang dialami oleh negara ini akan bertambah buruk jika kerajaan memutuskan untuk menangguhkan implementasi projek infrastruktur yang bernilai jutaan ringgit.

Memang diakui niat untuk menangguhkan projek tersebut bersifat mulia iaitu mengurangkan bebanan kewangan kerajaan, namun secara tidak langsungnya, masyarakat di sekitar dan mereka yang telah melabur dengan banyak kepada jangkauan perjalanan projek akan mendapat kesan yang amat negatif.

Perlu difahami bahawa apabila kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan sesebuah projek infrastruktur berskala besar, ini akan diikuti dengan tindakan menaikkan harga saham, tanah dan perkara-perkara berkaitan sebagai memenuhi jangkaan untuk melihat implementasi projek tersebut berjalan. Seterusnya bank-bank perdagangan akan mengeluarkan pinjaman bernilai jutaan ringgit dan kadang-kala melebihi nilai sebenar harga saham, tanah ataupun barangan berkaitan.

Kadar hutang yang tinggi ini akan hanya mampu di bayar jika sesebuah projek tersebut berjalan dengan jayanya. Jika kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek- projek ini, maka harga saham, tanah dan barangan berkaitan akan jatuh merudum seumpama belon yang pecah dan meletup tidak seperti trend peningkatan harga yang naik secara berperingkat sejurus selepas projek tersebut diuar-uarkan.

Ini akan mengakibatkan bukan sahaja masalah kemuflisan di kalangan pelabur domestik dan peniaga berkaitan tetapi ketidakyakinan di kalangan pelabur luar kepada dasar pembangunan negara.

Diakui bahawa rejim kawalan harga pada sesetengah barangan adalah perlu bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan ke atas situasi spekulatif harga. Bagaimanapun untuk sesetengah produk/barangan, kawalan hanya akan memburukkan lagi masalah inflasi seterusnya mengakibatkan berlakunya masalah kekurangan bekalan dalam pasaran.

MencengkamKesan kenaikan harga minyak yang tinggi di pasaran dunia sememangnya tidak dapat dielakkan oleh Malaysia. Bagaimanapun, adalah perlu untuk pihak bertanggungjawab membantu rakyat mengadaptasikan situasi mencengkam ini seterusnya membantu menggalakkan perubahan pada pola perbelanjaan secara positif. Jika rakyat diberikan wang ringgit (cash money) bagi mengurangkan beban inflasi dan kenaikan harga minyak ini, paling tidak mereka akan hanya membayar hutang kad kredit dan menyimpan wang tersebut di bank seterusnya mengharapkan situasi ekonomi bertambah baik.

Ini adalah sangat tidak membantu dalam mengurangkan masalah inflasi dan kemelesetan ekonomi yang berlaku sekarang.

Kaedah terbaik bagi membantu rakyat dalam menghadapi kemelesetan ekonomi ini adalah dengan menggalakkan perbelanjaan pengguna dan ini boleh dilakukan melalui implementasi projek infrastruktur jangka panjang yang memerlukan perbelanjaan oleh kerajaan. Untuk membantu rakyat negara mengadaptasikan diri dengan keadaan ekonomi yang menjerat ini, perbelanjaan haruslah dilakukan dengan membina jaringan pengangkutan yang cekap.

Pembangunan infrastruktur ini haruslah dilakukan dengan tujuan menggalakkan mobiliti rakyat dari satu tempat ke tempat yang lain dengan perancangan penggunaan waktu yang tepat dan singkat.

Penggunaan pengangkutan seperti bas yang menggunakan bahan api petroleum adalah tidak lagi relevan. Apa yang perlu dibangunkan adalah jaringan kereta api laju yang mampu membawa muatan yang tinggi pada jangka masa yang singkat. Ini akan membantu mengurangkan kos pengangkutan dan mengekang masalah inflasi barangan tertentu yang boleh di bawa secara pukal menggunakan perkhidmatan ini.

Sebagai contohnya, apabila diumumkan kenaikan harga minyak pada Jun lalu, muatan besi yang diangkut oleh lori-lori kontena berkurangan disebabkan langkah penjimatan kos bahan api diesel dan ini seterusnya akan menyumbang kepada kekurangan bekalan besi di pasaran. Situasi ini seterusnya dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menaikkan harga besi dengan tinggi.

Jika dikenakan rejim kawalan harga pada barangan besi ini, maka bekalan barangan ini akan beralih ke negara-negara yang sanggup membayar dengan harga tinggi seperti China yang terbukti sanggup membayar harga pada kadar tiga kali ganda lebih tinggi dari harga jualan di pasaran bagi meneruskan agenda pembangunan negara tersebut. Negara kita seterusnya akan rugi dari mekanisme penyelesaian jangka pendek seperti ini.

Antara pelaburan yang terbaik buat Malaysia adalah dengan membina jaringan pengangkutan landasan kereta api laju dari Timur ke Barat dan mampu membawa muatan yang besar melalui kontena. Ini akan membantu bagi mencipta kelebihan bandingan untuk pengangkutan kontena barangan tanpa perlu melalui Selat Melaka yang memakan masa yang lama.

Kontena-kontena ini boleh diangkut dengan cekap dari pelaburan Pulau Pinang ke atas gerabak kereta api barangan dan dipindahkan melalui pengangkutan kereta api laju merentasi banjaran Titiwangsa ke pelabuhan Kuantan di timur Malaysia seterusnya ke atas kapal kontena ke destinasi di negara timur jauh.

Strategi ini telah dibuktikan menguntungkan apabila Israel menggunakan konsep yang sama pada pelabuhan Eilat di Selat Tiran bagi menawarkan perkhidmatan pengangkutan kontena barangan ke pelabuhan Asdod di laut Mediterannean melalui jalan darat tanpa perlu melalui terusan Suez.

Ini secara tidak langsung telah meletakkan kepentingan ekonomi dan kestabilan negara tersebut di kalangan negara-negara Arab.

Dengan pembangunan rangkaian pengangkutan seperti ini, rakyat Malaysia juga akan mendapat manfaat secara kelebihan relatif melalui mobiliti seharian dan akan terciptanya peluang pekerjaan melalui sektor perkhidmatan dan sektor pelancongan. Kelebihan bandingan seperti inilah yang dicari oleh pelabur luar untuk melabur di Malaysia. Malaysia harus pandai menggunakan kelebihan geo-strategik bagi menarik FDI masuk dan bukan bergantung kepada kadar buruh yang rendah semata-mata.

Selain daripada itu juga, pendekatan penyelesaian secara holistik haruslah diguna pakai bagi membantu rakyat Malaysia menghadapi kemelesetan ekonomi dan inflasi yang memuncak ini. Adalah dicadangkan agar pengurangan kadar tambang untuk pengangkutan awam diberi kepada golongan pencen dan mereka yang layak.

Selain daripada itu juga, pengenalan kepada rancangan makanan percuma di sekolah mampu mengurangkan beban kepada golongan berpendapatan rendah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.