saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 17/07/2008

Menjejak Lojing warisan alam


Peserta Ekspedisi Saintifik Tanah Tinggi Loging meredah belantara untuk menjalankan penyelidikan.


KOTA BHARU 16 Julai – Berlian yang belum digilap. Barangkali itu analogi selayaknya bagi menggambarkan mengenai khazanah Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang.

Mereka yang pernah melalui jalan merentasinya yang membelah hutan, bukit-bukau dan gunung-ganang hijau, dapat menikmati udara segar dan nyaman, penuh ketenangan.

Namun bagi sebilangannya juga diselubungi kebimbangan melihat semakin besar kawasan diteroka atas nama pembangunan atau pembalakan dan mengharapkan ia dilakukan secara yang terkawal.

Juga, apatah lagi apabila menyedari betapa luas yang telah diluluskan kepada pelbagai pihak, cuma menunggu waktu mengubah landskap di situ dan mereka yang menyintai alam sekitar percaya Cameron Highlands cukup menjadi suatu pengajaran.

Tanah Tinggi Lojing, ‘bumbung’ bagi negeri ini berada pada ketinggian hingga 1,400 meter dari paras laut terletak di bahagian selatan Kelantan dan sebelah utara tanah tinggi Cameron Highlands di kawasan seluas 23,435 hektar.

Kawasan bersuhu 18 hingga 27 darjah Celcius itu dilitupi Bukit Senjort, Bukit Pangas, Bukit Tajam, Gunung Tangga, Gunung Chall dan Gunung Warpu (puncak) yang mengalir di antara kesemuanya Sungai Belatop dan Sungai Nenggiri.

Pada masa ini terdapat sebahagian kawasan Tanah Tinggi Lojing telah dibangunkan untuk tujuan pertanian komersial dan bakinya seluas 13,063 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Lojing.

Pewartaan itu tidak termasuk kawasan seluas 25,824 hektar lagi yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Sungai Brooke sejak 11 Mei 1989 lagi.

Tanah Tinggi Lojing mempunyai pelbagai keajaiban kehidupan flora dan fauna, persekitaran fizikal dan zoologi, cuaca serta keindahan semula jadi yang kebanyakannya belum dirungkai sepenuhnya dan masih kekal penuh misteri.

Bagaimanapun potensinya yang amat berharga itu akan pantas hilang jika dibiarkan menjadi korban untuk mengejarkan kepentingan ekonomi semata-mata dan apa yang telah hilang kelak tidak dapat dikembalikan untuk generasi akan datang.

Menyedari hakikat itulah juga, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Perhutanan Kelantan dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) telah menganjurkan Ekspedisi Saintifik Tanah Tinggi Lojing 2008 selama 19 hari yang bermula pada 26 Mei lalu.

Ekspedisi itu telah disertai lebih 100 pakar penyelidik daripada universiti tempatan di seluruh negara seperti UMK, UMS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Penjelajahan saintifik yang pertama kali diadakan di Tanah Tinggi Lojing itu memberi fokus kepada tujuh bahagian penyelidikan yang akan dibukukan sebagai rujukan kepada generasi akan datang dan juga cadangan perlu yang akan dikemukakan kepada pihak berkuasa seperti kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

Fokus penyelidikan berkenaan ialah kehidupan flora, fauna, bioteknologi dan tumbuhan semula jadi; serangga, persekitaran ciri-ciri fizikal dan zoologi seperti kedudukan tanah dan air; bunga pakma dan kehidupan sosioekonomi masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

Pengerusi Bersama ekspedisi itu, Prof. Dr. Ibrahim Che Omar yang juga Dekan Fakulti AgroIndustri dan Sumber Asli UMK berkata, melalui ujian rambang terhadap beberapa batang sungai di kawasan itu mendapati telah berlaku pencemaran yang jika dibiarkan akan menjejaskan terus ekosistemnya.

“Kualiti air sungainya tercemar, kuning dan keruh serta terdapat sebatian racun yang mungkin berpunca daripada aktiviti penanaman sayur secara komersial, malah Orang Asli yang ditemui juga mengakui pelbagai spesies ikan di dalamnya semakin berkurangan.

“Jika tiada usaha tegas dibuat oleh pihak berwajib dikhuatiri segala keindahan itu akan hilang secara senyap tanpa disedari, mungkin generasi akan datang hanya mengetahuinya melalui buku-buku sejarah sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Ibrahim berkata, dalam ekspedisi itu pihaknya menemui pelbagai jenis tumbuhan, pokok bunga menarik dan binatang serta serangga yang jarang terdapat di kawasan lain seperti serangga ranting, halia bukit, katak bertanduk dan jenis pokok balak bernilai tinggi, cengal.

“Kita juga telah menemui spesies bunga pakma yang lebih dikenali dengan nama Rafflesia kerri, dalam populasi terbesar berbanding negeri lain.

“Spesies ini tumbuh dari kawasan selatan Thailand sehingga ke Cameroon Highlands tetapi hasil penyelidikan menggunakan sistem pengesan kedudukan global (GPS), ia paling banyak di Tanah Tinggi Lojing.

“Kita bimbang jika tidak dilindungi, populasi spesies terancam ini boleh pupus akibat ancaman pemburu tumbuhan haram, apatah lagi habitat yang ditemui bertaburan ini berada di kawasan milik individu” katanya.

Bagaimanapun, katanya, secara saintifik kesemua penemuan ini masih belum dapat didokumentasikan secara rasmi kerana ia masih dalam tempoh kajian dan laporan penuhnya akan hanya dikeluarkan pada September ini.

Beliau berkata, selari dengan penerbitan laporan itu kelak, pihaknya akan mengadakan seminar yang akan disertai kesemua penyelidik dalam penjelajahan saintifik itu yang akan membentangkan kertas kerja masing-masing kelak.

Penemuan
Ibrahim berkata, selepas itu berdasarkan hasil penemuan kajian terperinci tersebut, pihaknya akan mengemukakan cadangan menyeluruh kepada kerajaan negeri bagi tindakan selanjutnya termasuk merangka dasar pemuliharaan, penjagaan dan pengkomersialan seperti sektor ekopelancongan.

Menurut beliau, Tanah Tinggi Lojing amat sesuai dibangunkan sebagai taman negeri untuk tujuan pelancongan seperti Cameroon Highlands ekoran faktor bentuk muka buminya.

“Potensi keunikan masyarakat Orang Asli di kawasan itu juga boleh dioptimum dan dikekalkan untuk pelancongan. Kita tidak perlu ubah cara hidup mereka tetapi sebaliknya kekalkan sebagai tarikan utama.

“Orang Asli yang mahir dengan kawasan itu boleh dilatih untuk menjadi pemandu pelancong yang baik, malah kraf tangan mereka yang amat unik dan bernilai tinggi juga boleh dikomersialkan,” katanya.

Ibrahim berpendapat, pembangunan untuk tujuan pelancongan dan aktiviti penanaman sayur boleh dilaksanakan tetapi dengan syarat ia perlu dipantau secara ketat oleh pihak berkuasa.

Ia bagi memastikan khazanah berharga dimanfaat dan diteroka melalui pendekatan mesra alam, agar keaslian belantara ini dapat terus terpelihara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.