saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 17/07/2008

Kekalkan laluan asal CAR


SEPAKAT... Penduduk beberapa kampung dan taman perumahan berkumpul di Taman Tun Perak, Rawang, semalam bagi menyatakan bantahan mereka terhadap laluan kabel projek CAR.


RAWANG 16 Julai – Penduduk beberapa buah kampung dan taman perumahan di sini mahu kerajaan negeri mengekalkan rancangan asal menggunakan laluan di Kampung Sungai Terentang sebagai laluan kabel bagi projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mereka berkata, ini kerana kerja-kerja untuk laluan melalui Kampung Terentang hanya tinggal dua peratus sahaja untuk disiapkan berbanding kos lebih tinggi yang perlu dikeluarkan jika laluan itu dialih melalui kawasan mereka.

Selain itu, kata penduduk terbabit, kerajaan negeri juga tidak pernah berunding dengan penghuni Taman Tun Perak, Kampung Dusun Melayu dan Kampung Sungai Samak yang akan dilalui dengan kabel voltan tinggi TNB itu.

Peguam yang mewakili penduduk terbabit, Nazariah Abbas, 47, berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Jumaat ini harus memperakui bahawa laluan asal itu adalah yang terbaik dan harus dikekalkan.

Menurutnya, ini kerana laluan itu hanya memakan jarak 0.9 kilometer berbanding 7.3 kilometer jika laluan kabel itu dialihkan melalui Taman Tun Perak, Kampung Dusun Melayu, Kampung Sungai Samak dan kawasan perindustrian di Batu 17 dan Batu 15 1/2 Rawang.

“Laluan baru itu juga melibatkan lebih ramai penduduk berbanding Sungai Terentang yang hanya didiami 40 keluarga dan mereka pula berstatus setinggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Taman Tun Perak di sini hari ini. Turut sama ialah wakil beberapa buah kampung yang dijangka terlibat dengan projek CAR.

CAR merupakan projek menaik taraf talian voltan daripada 33 kilovolt (kV) kepada 275kV sepanjang 60 kilometer bertujuan menangani masalah gangguan bekalan elektrik di kawasan tengah Semenanjung terutama Lembah Klang.

Projek tersebut sepatutnya siap pada 31 Ogos tahun lalu tetapi tergendala disebabkan bantahan penduduk Kampung Sungai Terentang terhadap kerja-kerja menaik taraf talian penghantaran yang melalui kawasan itu.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendakwa kerajaan negeri tunduk kepada desakan DAP dalam isu itu dan beliau turut melahirkan kebimbangan isu itu akan menjadi isu perkauman.

Nazariah berkata, pihaknya difahamkan bahawa peningkatan kabel voltan dari 33kV ke 275kV memerlukan menara yang lebih besar dan zon penampan yang lebih luas.

Keadaan itu, katanya, boleh menyebabkan lebih banyak kawasan terpaksa diambil alih oleh kerajaan, yang bermakna akan membabitkan lebih banyak rumah dan keluarga.

Beliau berkata, penduduk di situ terkilan dengan sikap kerajaan negeri yang membelakangkan kepentingan penduduk di situ yang tinggal secara sah berbanding perumahan setinggan di Kampung Sungai Terentang.

Bantahan
Katanya, mereka mengetahui mengenai rancangan kerajaan negeri untuk mengalih laluan itu pada 17 Jun lalu tetapi usaha untuk mengemukakan pandangan dan bantahan dalam mesyuarat MTES pada 10 Julai lalu tidak mendapat kebenaran.

“Kami penduduk di sini tiada saluran bagi menyatakan pendirian kami kepada pihak atasan kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei tidak menyebelahi kami dalam hal ini.

“Ini kerana beliau terdesak untuk melaksanakan janji pilihan raya yang lepas kepada penduduk Kampung Sungai Terentang bahawa TNB akan mengubah laluan kabel itu jika beliau menang,’’ katanya.

Beliau juga membidas bagaimana ADUN Rawang itu bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong boleh menghadiri mesyuarat MTES sedangkan mereka bukan ahli MTES.

Tindakan kerajaan negeri yang masih belum menguatkuasakan Gazet Kerajaan Negeri Selangor No. 3528 yang dikeluarkan pada 27 Disember 2007 di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 Seksyen 3(1)a turut dipertikaikan oleh beliau.

“Apa istimewanya penduduk Kampung Sungai Terentang sehingga mendapat pampasan RM5.2 juta tetapi enggan mengambilnya,’’ soalnya.

Sementara itu, Mohd. Saufi Shafie, 48, yang mewakili Badan Bertindak Zon 20 Rawang, mendesak kerajaan negeri menjalankan tugas dengan ikhlas dan melihat kepentingan penduduk yang lebih ramai.

“Wajarkah kepentingan 30,000 penduduk diketepikan semata-mata untuk menjaga kepentingan penduduk yang jauh lebih kecil,’’ katanya.

Tambahnya, sekiranya keputusan MTES pada Jumaat ini tidak menyebelahi mereka, penduduk di situ akan bertindak mengadakan siri ceramah besar-besaran serta mengambil tindakan mahkamah.

“Kami semua betul-betul terasa teraniaya dalam soal ini dan jika keputusan pada mesyuarat akan datang memihak kepada penduduk Kampung Sungai Terentang, kami akan tentang habis-habisan,’’ katanya.

Bagi beliau, adalah tidak logik penduduk Kampung Sungai Terentang boleh mempertahankan tempat tinggal mereka sedangkan tanah tersebut sememangnya milik TNB untuk dijadikan laluan kabel tersebut.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tun Perak, Abdul Karim Ismail, 50, berkata, selain tempat tinggal penduduk, banyak kawasan kebun dan hasil tanaman boleh musnah jika laluan alternatif kabel CAR itu direalisasikan.

“Amat sedih sekali kerana laluan itu bakal menyebabkan ramai penduduk kampung terpaksa mengorbankan aset mereka semata-mata untuk pihak yang lain,’’ katanya.

Selain Taman Tun Perak dan Kampung Melayu Sungai Samak, beliau berkata, pengusaha kilang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Batu 17 Rawang dan Batu 15 1/2 serta pengusaha stesen minyak Petronas Rawang turut melahirkan kerisauan tentang cadangan mengalihkan laluan kabel terbabit.

“Mereka takut terpaksa menutup perniagaan kerana sudah tidak selamat untuk berniaga di bawah kabel TNB,’’ katanya.

Oleh itu, beliau bersama penduduk lain berharap isu tersebut boleh diselesaikan dengan rasional dan tidak dipolitikkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.