saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 01/08/2008

Empangan Chereh nadi penduduk Kuantan


Empangan Chereh yang menelan kos sebanyak RM70 juta masih dalam pembinaan.
- Gambar RUSHDI SALLEH


KUANTAN 31 Julai - Tanggal 29 Julai lalu merupakan detik bersejarah bagi Pahang apabila Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob merasmikan upacara menutup pintu air pertama Empangan Chereh di Sungai Lembing dekat sini.

Dengan upacara itu, ia menandakan berakhirnya kerja-kerja pembinaan Empangan Chereh oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang bernilai RM70 juta itu yang dimulakan sejak enam tahun lalu.

Ia sekali gus menandakan bermulanya satu lagi era baru kerana Empangan Chereh bakal menjadi tasik buatan manusia bagi kategori simpanan bekalan air bersih (water reservoir) yang terbesar di negara ini.

Perbezaan Empangan Chereh dengan Kenyir iaitu tasik buatan manusia terbesar di Malaysia adalah Tasik Kenyir di Terengganu berfungsi di bawah kategori untuk kegunaan janakuasa hidroelektrik.

Penutupan pintu air di Chereh adalah detik permulaan proses penakungan air di kawasan takungan empangan seluas 16.2 kilometer persegi itu dan boleh menampung 260 juta meter padu air dalam satu-satu masa.

Selain saiz takungan airnya, projek pembinaan Empangan Chereh juga mencatat satu lagi sejarah kerana ia dibina sepenuhnya oleh pakar tempatan menerusi usahasama strategik dua syarikat pembinaan yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun.

Dua syarikat terbabit ialah MMN Bina Sdn. Bhd. yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan awam dan struktur serta AAY Construction Sdn. Bhd. yang pakar dalam bidang kerja-kerja tanah.

Sebelum ini, kebanyakan projek pembinaan empangan mega di negara ini dikendalikan secara usaha sama dengan syarikat pembinaan asing.

Projek Empangan Chereh yang berkeupayaan membekalkan hampir 2,000 juta liter air sehari bertujuan menampung permintaan air bersih bagi daerah Kuantan sehingga tahun 2050.

Pada masa ini, permintaan air untuk kegunaan domestik dan industri di daerah Kuantan mencecah 300 juta liter sehari iaitu perolehan maksimum yang selama ini ditampung Sungai Kuantan.

Jumlah itu dijangka meningkat lebih tiga kali ganda kepada 1,000 juta liter sehari pada tahun 2025.

Pusat komersialKeperluan itu berikutan pertumbuhan pesat kawasan perumahan, pusat komersial dan industri terutama bagi Kawasan Perindustrian Gebeng yang merupakan hab industri petrokimia bagi Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Kerajaan negeri menyedari bahawa untuk memenuhi permintaan air dalam jangka panjang itu bukan mudah kerana sumber air hanya diperoleh dari satu sumber iaitu Sungai Kuantan.

Jika pengeluaran air sungai itu dibuat melebihi keupayaan semula jadi, ia mungkin akan menimbulkan pelbagai masalah terutama pada musim kemarau jika tidak ada langkah-langkah awal untuk menanganinya diambil bermula sekarang.

Sehubungan itu, pembinaan Empangan Chereh yang dimulakan pada Februari 2002 itu adalah satu projek berpandangan jauh bagi meningkatkan keupayaan sumber air demi memenuhi keperluan penduduk Kuantan pada masa depan.

Kawasan takungan empangan ini dijangka mencapai paras aktif 70 meter dalam tempoh dua tahun atau dua musim tengkujuh.

Kawasan tadahan yang menjadi sumber bekalan air semula jadi Empangan Chereh merangkumi kawasan Hutan Simpan Reman Chereh yang diwartakan seluas 152 kilometer persegi.

Lokasi Empangan Chereh ialah 64 kilometer dari Bandar Kuantan dan 11 kilometer dari Pekan Sungai Lembing.

Menurut Pengarah JBA negeri, Datuk Ismail Mat Noor, pihaknya sebelum ini mengenal pasti dua tapak yang sesuai dijadikan empangan dalam kajian sumber air yang dijalankan sejak 1992.

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7), katanya, Kerajaan Pusat meluluskan pembinaan empangan tersebut bersama projek pembesaran Loji Air Semambu di sini dengan kos RM350 juta.

Selepas memperoleh kelulusan itu, jelasnya, JBA negeri mengambil dua langkah susulan iaitu melantik jururunding tempatan dan membuka tender kepada syarikat tempatan bagi melaksanakan projek empangan berkenaan.

Pada awalnya, Ismail memberitahu, projek yang dimulakan pada 1 Mac 2002 itu dijadualkan siap pada 17 Jun 2004.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, jelas beliau, projek itu dilanjutkan sehingga ia siap pada 29 Julai lalu.

''Sepanjang projek ini dijalankan, pelbagai cabaran dihadapi termasuk pengalihan 22 menara pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merentangi tapak projek.

''Kos pengalihan menara terbabit yang memakan masa enam bulan itu menelan belanja RM63 juta yang ditanggung bersama oleh Kerajaan Pusat dan negeri," katanya.

Selepas mengalihkan menara berkenaan, Ismail memberitahu, komponen penting yang perlu dibina ialah terowong air bagi aliran sungai semasa pembinaan empangan.

''Terowong ini membolehkan aliran sungai dilencongkan dan selepas terowong dibina, penutupan sungai dibuat supaya air boleh dilencongkan ke terowong yang dibina tadi," jelasnya.

Setelah sungai dilencongkan, ujarnya, penambakan empangan besar mula dibuat diikuti komponen lain yang dibina serentak iaitu pintu air, alur limpah dan empangan kecil.

Selain itu, tambah Ismail, apabila beroperasi sepenuhnya nanti, empangan itu akan mewujudkan lima buah pulau dengan keluasan setiap satunya kira-kira 400 hektar.

'''Empangan ini juga mampu memacu ekonomi negeri dalam sektor pelancongan suatu masa nanti," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, Empangan Chereh mampu meningkatkan pengeluaran air sehingga 1.934 juta meter padu sehari iaitu enam kali ganda berbanding 300,000 meter padu sehari pada masa kini sehingga tahun 2050.

Menurut beliau, jumlah pengeluaran itu sekali gus dapat menampung keperluan domestik dan industri di sekitar bandar Kuantan yang dijangka meningkat tiga kali ganda kepada 1 juta meter padu sehari menjelang 2025 berikutan pelaksanaan projek-projek ECER.

''Empangan ini dijangka dapat beroperasi sepenuhnya dalam masa dua hingga tiga tahun selepas dua musim tengkujuh.

''Air dari empangan ini akan disalurkan ke Sungai Kuantan sebelum dirawat untuk kegunaan rakyat," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.