saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 08/08/2008

Keunikan Galeri Diraja




KLANG 7 Ogos - Tak kenal maka tak cinta. Maka kenali ia dengan lebih dekat untuk mengenali keunikannya. Inilah ungkapan yang mungkin paling sesuai untuk menggambarkan keunikan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di sini.

Galeri Diraja yang berada di dalam sebuah bangunan yang dibina pada tahun 1909 bercirikan seni bina klasik kolonial ini terletak di Jalan Istana berhampiran dengan Istana Alam Shah.

Apa yang menarik, pengunjung boleh melihat sendiri dengan lebih dekat koleksi peribadi yang dikumpulkan oleh Sultan Selangor yang kelapan atau lebih dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat di kalangan rakyat Selangor iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Galeri setinggi dua tingkat ini yang lahir dari cetusan idea Sultan Salahuddin itu menyimpan lebih 1,500 koleksi peribadi baginda, hadiah rakyat jelata dan sumbangan pemimpin, raja-raja dan ketua-ketua negara dari seluruh dunia.

Di samping itu, pengunjung boleh melihat sendiri dengan lebih dekat salasilah kerabat diraja Selangor serta asal-usul kerajaan Selangor.

"Galeri ini sudah lama wujud iaitu sejak Mei 1988 lagi tetapi waktu itu ia menjadi sebahagian kawasan larangan istana.

"Pada waktu itu, galeri ini dipanggil sebagai Muzium Kenangan yang berfungsi sebagai tempat menyimpan koleksi peribadi dan juga barangan peribadi peninggalan nenek moyang Almarhum baginda,'' jelas Pengarah Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Munasor Aliyasak.

Katanya, sebelum ini galeri tersebut hanya dikunjungi oleh pengunjung yang mendapat jemputan baginda sahaja.

"Tetapi pada 1996, Almarhum Sultan mula terfikir untuk membuka galeri tersebut untuk tatapan umum khususnya rakyat negeri Selangor.

"Baginda berpendapat adalah perlu untuk menanam rasa cinta masyarakat terhadap pentingnya menghargai dan berbangga terhadap warisan sendiri dan dalam masa yang sama, baginda ingin berkongsi keseronokan bersama rakyat.

"Mungkin dengan cara ini sekurang-kurangnya baginda dapat mendidik masyarakat umum supaya mencintai seni warisan sendiri," jelasnya ketika ditemui di sini.

Sejak itu, kata beliau, galeri tersebut mula dirancang untuk tontonan umum dengan kerja-kerja ubah suai mula dilakukan. Ia siap sepenuhnya pada Oktober 1998.

Menurutnya, setiap koleksi yang dipamerkan di galeri itu dikelaskan berdasarkan jenis barangan supaya pengunjung boleh menghayati keunikannya secara lebih dekat kerana setiap satu bahan pameran itu ada ceritanya yang tersendiri.

Munasor berkata, susun atur barangan dalam galeri itu mendapat nasihat daripada Muzium Negara supaya lebih teratur dan memudahkan pelawat melihat setiap koleksi yang dipamerkan.

Beliau menambah, Galeri Diraja itu mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri Selangor.

Malah, Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said telah berjanji untuk mempromosikan galeri itu di dalam dan luar negara setelah beliau tertarik dengan koleksi yang dipamerkan.

Selain koleksi peribadi Sultan Salahuddin, terdapat juga barangan peninggalan daripada sultan-sultan dan kerabat diraja Selangor sebelum ini.

Antara tarikan utama galeri itu ialah Mahkota Leleng yang mula digunakan pada era zaman Sultan Muhamad iaitu Sultan Selangor yang ketiga hingga kini.

Mahkota itu dipakai pada acara rasmi seperti Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan Sultan.

Mahkota itu dihiasi dengan permata, intan dan berlian dari Pontianak, Indonesia serta delima yang diikat dengan emas 10 iaitu emas asli dari Pahang.

Koleksi lain yang turut dipamerkan termasuk pelbagai jenis cap mohor rasmi yang digunakan oleh Sultan-sultan Selangor yang terdahulu dan juga kerajaan Selangor.

Cop mohor tertua yang masih kekal dan dipamerkan di galeri itu adalah cop mohor yang digunakan oleh Sultan Selangor yang keempat iaitu Sultan Sir Abdul Samad Ibni Raja Abdullah yang memerintah negeri Selangor dari tahun 1857 hingga 1898.

Tarikan lain yang turut dipamerkan adalah seperti koleksi topi besi pahlawan Jepun iaitu kotak yang dihias cantik dan di negara Jepun, kotak itu digunakan hanya untuk menyimpan abu mayat pahlawan yang gugur di medan perang.

Turut dipamerkan termasuklah koleksi lukisan, gambar-gambar keluarga diraja, barangan kaca, kristal, seramik, tembaga, pewter, darjah kebesaran, model bangunan dan istana, model kereta api, peralatan kapal laut, basikal, cenderahati, jam, senjata, binatang peliharaan, buku dan pelbagai barangan peninggalan diraja.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:20
Asar 4:36
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.