saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 14/08/2008

Ida sertai Amazing Race Asia


BERSAMA pasangannya, Tania Khan (kanan) yang akan menyahut cabaran dalam The Amazing Race Asia 3 yang akan ditayangkan tidak lama lagi.


MELIHAT aksinya berlakon di layar perak mahupun di kaca televisyen, tiada siapa yang mampu menafikan kehebatan lakonannya.

Berikanlah apa sahaja watak kepadanya nescaya dia akan membawakannya dengan begitu baik dan hebat sekali.

Malah, sudah termaktub, dia merupakan antara pelakon wanita terbaik negara yang pernah lahir dan dia tidak perlu mengikut acuan mana-mana pelakon kerana dia mempunyai aura dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Meskipun bidang lakonan sudah menjadi makanan rujinya, namun satu yang pasti, Ida Nerina akan berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar dalam hidupnya.

Bukan filem mahupun drama terbaru yang memberikan satu cabaran besar kepadanya tetapi penglibatannya dalam rancangan realiti popular, The Amazing Race Asia (TARA) musim ketiga yang akan mula ditayangkan tidak berapa lama lagi.

Dalam diam rupanya, Ida telah menghantar penyertaannya dan dia sendiri tidak pernah menyangka namanya dipilih sebagai antara peserta yang akan membawa nama negara dalam pertandingan yang cukup diminati itu.

“Saya menganggap ini sebagai satu perkembangan yang positif dalam hidup saya kerana dengan menyertai TARA 3 ini, saya mahu membuktikan bahawa persepsi lapuk terhadap orang seni seperti kami tidak mampu bangkit dan berdepan dengan cabaran lasak seperti mana yang kita lihat dalam TARA.

“Malah, menerusi TARA 3 ini juga, saya mahu peminat dan penonton setia rancangan ini melihat saya sebagai Ida Nerina Hussain dan bukannya Ida Nerina, seorang selebriti,” katanya sewaktu ditemui di majlis Anugerah Stail EH! 2008 yang diadakan di GSC Signature, The Gardens, MidValley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Ida tidak hadir keseorangan sebaliknya ditemani suami tercinta, Sha'arin Mohammed Razali.

Berbicara lanjut tentang penyertaannya itu, Ida memberitahu, itu bukan kali pertama dia menyertainya kerana dia pernah menghantarnya buat kali pertama pada tahun lalu namun nasib tidak memihak kepadanya.

“Saya memang benar-benar terkejut apabila diberitahu saya akan mewakili negara dalam pertandingan ini. Masakan tidak, daripada ribuan penyertaan, nama saya yang dipilih.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepuasan diri saya sementelah saya juga merupakan peminat setia rancangan ini. Sudah pasti, saya juga mahu menang dan mengharumkan nama negara,” tutur wanita berusia 44 tahun ini optimistik.

Untuk pertandingan itu, Ida telah terpilih bersama pasangannya yang juga merupakan sahabat baiknya, Tania Khan untuk merebut hadiah kemenangan berjumlah AS$100,000 (RM320,000).

Selain Ida, selebriti terkenal, Bernice Chan juga turut terpilih menyertai pertandingan ini bersama abangnya, Henry.

Tahun lalu, TARA 2 diwakili oleh pasangan adik-beradik, Vanessa dan Pamela Chong yang berjaya mendapat tempat kedua manakala tahun sebelumnya menyaksikan anak kelahiran Malaysia, Zabrina Fernandez dan Joe Jer Tee menjadi pasangan pertama yang memenangi TARA musim pertama yang julung kali diadakan ketika itu.

“Kejayaan mereka juga sebenarnya merupakan pendorong buat saya untuk menyertai pertandingan yang penuh mencabar ini. Mereka telah membuktikan wanita Malaysia juga bertenaga dan berkeyakinan tinggi dalam apa jua cabaran yang dihadapi,” katanya.

Untuk memantapkan lagi staminanya dan menyiapkan diri dengan cabaran barunya itu, Ida menjelaskan, dia kini giat menjalani latihan di gimnasium serta menyertai kelas yoga dan pilates.

“Saya pasti saya sudah bersedia dari segi kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi segala cabaran yang akan datang kelak.

“Mungkin saya tidak kekok kerana sudah biasa menontonnya sebelum ini namun, saya sebenarnya teruja untuk melihat apa yang akan berlaku kelak,” jelas Ida yang mula mencipta nama menerusi filem Selubung pada tahun 1992 itu lagi.

Tidak kecewa
Apabila nama Ida tidak berjaya ditempatkan sebagai salah seorang calon bagi kategori Pelakon Wanita mahupun Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) yang baru berlangsung, terdengar juga bisikan sang bayu menyusup ke telinga.

Ramai yang mempertikaikan pencalonan itu memandangkan tahun ini, tiga filemnya dicalonkan iaitu Susuk, Anak dan Wayang.

Mustahil untuk pelakon sehebat Ida tidak langsung berjaya dicalonkan.

Sedangkan sebelum ini, namanya langsung tidak pernah tercicir daripada sebarang pencalonan dalam acara berprestij itu sejak mula dia mendamba diri sebagai anak wayang.

Penuh optimis dan langsung tidak ralat dengan apa yang telah berlaku, Ida menyifatkan, semuanya sudah tertulis dan bukan rezekinya untuk dicalonkan pada tahun ini.

“Juri lebih arif dan bijak dalam menentukan siapa yang layak untuk dicalonkan. Pada saya, semua calon yang bertanding ada keistimewaan dan kekuatan masing-masing.

“Saya lebih gembira apabila melihat nama Diana Rafar tercalon untuk kategori Pelakon Harapan Wanita kerana dia berjaya membawakan wataknya dengan cukup baik sekali.

“Begitu juga dengan calon lain seperti Erra Fazira dan Maya Karin yang telah mempamerkan lakonan cemerlang. Saya cukup gembira dengan kejayaan mereka. Dengan itu, tidak ada alasan untuk saya berkecil hati dan kecewa atas apa yang telah berlaku,” ujarnya lagi.

Menyingkap sejarah, Ida pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada FFM 13 (1997) menerusi filem Layar Lara.

Bukan itu sahaja, dua anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik berada dalam genggamannya sebagai ganjaran di atas kejayaannya mempamerkan lakonan cemerlang menerusi filem Mimpi Moon (2001) dan Sepet (2005).

Dalam perkembangan lain, Ida akan muncul dalam Los dan Faun arahan Afdlin Shauki yang akan menemui penonton pada penghujung tahun ini.

Menerusi filem berkenaan, dia bergandingan bersama Afdlin, Adlin Aman Ramlie, Hans Isaac, Erra Fazira dan Stephen Rahman-Hughes.

“Saya cukup seronok berlakon di dalam filem ini. Apatah lagi, dengan barisan pelakon yang hebat dan gila sehingga membuatkan saya tidak kering gusi sepanjang penggambaran,” kata anak kepada bekas ahli politik, Marina Yusof ini sambil ketawa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.